MORFOLOGI DAN SINTAKSIS
Dalam menyokong hujah Nothofer bahawa teks Meister menunjukkan kehadiran atau kemunculan sebuah lingua franca yang berbeza daripada dialek Melayu Jakarta, kita hanya perlu merujuk kepada kekurangan afiksasi dan reduplikasi yang amat ketara dalam dialog ini. Namun, terdapat tanda bahawa ada sekurang-kurangnya satu afiks purba. Walau bagaimanapun, sintaksis teks Meister – setakat yang dapat diperhatikan – menunjukkan penyimpangan yang besar daripada kebanyakan dialek Melayu. Tambahan pula, penyimpangan tersebut dan pengaruh sintaksis bahasa Jerman menambahkan kepercayaan terhadap tanggapan tentang sebuah lingua franca yang sedang muncul di Jakarta tiga ratus tahun dahulu.
Kepelbagain jenis afiks dalam kebanyakan dialek Melayu merangkaikan jaringan hubungan kasus dan semantik yang kompleks, yang sentiasa peka terhadap tuntutan wacana. Berbeza sekali halnya dengan dialog Meister, kerana dengan pemerhatian yang begitu teliti sekalipun kita dapat mengenal pasti hanya tiga afiks; itupun tidak jelas sama ada mana-mana afiks tersebut bersifat produktif.
Dengan mengambil kira konvensi ortografi seperti yang telah dibincangkan di atas, terdapat empat kehadiran {ber-}, suatu afiks yang dalam dialek Melayu yang lain menandakan kata kerja keadaan.
Sebagai contoh:
Meister(1692) :
Keterangan Meister :
Yang Dimaksudkan :
permein
play at
bermain
petiri
awaken
berdiri
ballari
race
berlari
balleyer
teach(?)
belajar
Satu-satunya tanda bahawa {ber-} mungkin merupakan afiks yang produktif ialah kehadiran ballari dan laeri dalam teks ini. Perenggan yang berkaitan adalah seperti yang berikut:
"Die Durchlauchtigsten Herren Printze konnen schone Exercitia mit denen Pferden machen / im Lauffen und andern Ritterspielen mehr allhier."
"Duan Bangarang aette dau sam Gauda permein laeri ballari ape laegi tite curang dissini."
Berdasar pada teks dalam bahasa Jerman, iaitu und memisahkan Exercitia machen "melakukan senaman" daripada andern Ritterspielen "permainan kesatriaan yang lain, maka teks bahasa Melayu dapat difahami sebagai bermaksud:
"Tuan Pangeran ada tahu sama kuda bermain lari; berlari apa lagi tidak kurang di sini."
Sekiranya, interpretasi ini betul, kata akar lari hadir dalam dua klausa dan, kerana itu, membayangkan bahawa {ber-} mungkin merupakan afiks yang produktif dalam dialek yang Melayu yang dicatatkan Meister.
Dengan itu kehadiran ko- -en dalam comdien atau comdigen tidak mungkin merupakan afiks yang produktif. Bentuk ini selari dengan kemudian dalam bahasa Melayu baku, yang asalnya terbentuk dengan menambahkan {ke- -an} kepada mudi `belakang’. Kata akar ini tidak lagi produktif dalam kebanyakan dialek Melayu dan mungkin telah menjadi usang dalam era Meister. Tambahan lagi, dalam beberapa banyak dialek
Melayu, kemudian telah berubah menjadi kendian, serupa dengan bentuk dalam catatan Meister dalam menggugurkan vokal yang berada dalam posisi kedua terakhir. Walau bagaimanapun, perhatikan bahawa seperti yang telah disebutkan di atas, kehadiran -en dalam teks Meister membayangkan retensi PAN *e.
Nothofer (1994) menganggap kehadiran –en dalam komdien sebagai retensi penyebutan yang lebih tua bagi afiks proto *-en. Dia selanjutnya menghubungkan –en ini dengan satu lagi kata yang menunjukkan bentuk afiks. Pada halaman 214, terjemahan bagi kata Hoffligkeit `kesopanan’ ialah sumpeing dan sumpeng. Nothofer menghubungkan kedua-dua bentuk ini dengan sopan dalam bahasa Melayu baku; di samping itu, selari dengan pendapat Adelaar (1992: 48 – 49), dia mengatakan bahawa sopan/sumpeng berasal daripada Proto-Malayik, iaitu *sahup + en. Nothofer menegaskan bahawa bentuk -eing/-eng dalam Meister membuktikan kehadiran –en dalam dialek Melayu Jakarta pada abad ketujuh belas.
Interpretasi ini memang dapat diterima. Walau bagaimanapun, dapat ditambah bahawa sumpeing mungkin merupakan penggabungan sopan dan sumpah. Maknanya lebih dekat kepada sopan tetapi strukturnya lebih dekat kepada sumpa(h) + en. Penggabungan seperti ini hadir di tempat lain dalam teks Meister. Misalnya, pada hlm. 210 – 211, tanam atau tannam hadir sebanyak sembilan kali dengan maksud `tanah’ (Erde) atau `bumi’ (Land), terutama dalam kata majmuk tanam goggan `gempa bumi’. Yang dimaksudkan di sini ialah tanah seperti dalam dialek Melayu Ambon, tana(h) goyang `gempa bumi’; tetapi tanah (tana) digabungkan dengan tanam.Ada kemungkinan bahawa sop-en dan sumpa-en mengalami penggabungan yang sama.
Kurangnya contoh afiks selari dengan bilangan bentuk reduplikasi yang sangat kecil. Ada hanya lima contoh reduplikasi penuh atau, mungkin, reduplikasi separa, seperti yang berikut:
Meister(1692):
Keterangan Meister:
Yang Dimaksudkan :
ape-ape
anything
apa-apa
paeran-paeran
purchases
barang-barang
gallang-gallang
enticement
galang-galang
samsam
together
sama-sama
apape
various
apa-apa
Penggunaan reduplikasi secara meluas untuk menunjukkan kepelbagain, penggandaan,
kesangatan, pengulangan atau perbandingan dalam kebanyakan dialek Melayu sangat
sedikit terbayang dalam teks Meister. Malah, strategi morfologi bahasa Melayu yang
paling penting untuk menunjukkan nuansa makna dan hubungan kasus tidak terdapat
langsung dalam dialog ini. Sebaliknya, perangkaian dan partikel sintaksis memikul beban gramatikal ini.
Dalam kebanyakan dialek Melayu, perhubungan benefaktif, lokatif dan instrumental
ditandakan oleh afiksasi verbal. Tetapi dalam dialog Meister, banyak daripada perhubungan
ini yang ditandakan oleh partikel tunggal sam, yang ternyata ada kaitannya dengan sama
dalam bahasa Melayu baku dengan maksud ` serupa’ dan secara kolokial bermaksud `dengan’.
Beberapa contoh penggunaan sam termasuklah:
Meister (1692)
Persamaan dalam BM
Penjelasan
Perhubungan
sam tuan
sama tuan
berhubung dgn tuan
Datif(?)
sam Gauda
sama kuda
berhubung dgn kuda
Lokatif
sam putta
sama ekor
dgn ekor
Instrumen
sam orang beya
sama tambang
dgn feri
Instrumen
sam petta
sama saya
dgn saya
Benefaktif(?)
sam gogan tanam
sama tanah
berhubung dgn
Matlamat (?)
goyang
gempa bumi
Dalam kasus lain, sam berfungsi sebagai partikel komparatif (sam setang muda `seperti setan muda’) malah sebagai partikel yang memperkenalkan kata kerja statif, seperti dalam pachus samliet `kelihatan bagus’.
Contoh akhir ini menggariskan hubungan sintaksis dalam dialog Melayu ini dengan dialog Jerman. Kerapkali terdapat padanan kata demi kata antara ayat bahasa Melayu dengan ayat bahasa Jerman. Keadaan saling dapat diterjemah ini mungkin membayangkan keupayaan berbahasa Melayu penulis yang rendah bukannya suatu sistem penstrukturan wacana bahasa Melayu secara meluas. Perhatikan contoh berikut yang menunjukkan bagaimana hubungan antara bahasa Jerman dengan bahasa Melayu dijadikan jelas.
Sie seynd schon um zu besehen.
Dia attae pachus samliet.
Sepatutnya dalam bahasa Melayu baku:
Kelihatannya bagus.
Sesungguhnya, dalam seluruh teks, Meister menggunakan sam untuk mewakili beberapa partikel bahasa Jerman seperti in, mit, zu, wie, serta artikel datif.
Dalam sekurang-kurangnya satu kes lagi, kita dapat melihat bagaimana Meister menghubungkan partikel bahasa Melayu dengan pola bahasa Jerman. Dalam hal ini, dia menandakan kala sempurna dalam bahasa Jerman dengan partikel sudah (dengan pelbagai ejaan); pada hal sudah mempunyai fungsi wacana yang berbeza dalam bahasa Melayu. Ayat yang berikut membayangkan bahawa sudah (di sini dieja suda) disamakan dengan afiks bahasa Jerman ge-(-en).
Ich habe nichts neues gehort
Betta tida gabar suda tenger
Sepatutnya:
Beta tidak mendengar kabar; atau,
Beta belum mendengar kabar.
Dalam bahasa Melayu, penggunaan sudah oleh Meister sama ada tidak perlu atau tidak tepat, seperti yang ditunjukkan dalam dua alternatif di atas. Beberapa contoh lain tentang penggunaan sudah atau sudah habis sebagai padanan kepada penanda kala dalam bahasa Jerman termasuklah:
Meister (B. Jerman) Meister (B. Melayu) Penjelasan
gezeichnet suta tulis sudah tulis/lukis
gekommen suta dattang sudah datang
geschlagen suda buckel sudah pukul (jam)
geschossen suta pasang dican sudah panah (dengan anak panah)
gegessen sutaabis maccan sudah makan
gestorben sutabis matdi sudah mati
gewinnen gewesen ist sutabis undum sudah menang
Dalam beberapa kes, sudah/sudah habis digunakan untuk menandakan peristiwa sempurna dan tidak transitif yang lain, misalnya:
Meister (B. Jerman) Meister (B. Melayu) Penjelasan
beweget suta goggan sudah goyang
ist versuncken sute jetu sudah tenggelam
ausgeschlaffen sutabis titor sudah bangun
Setelah mengenal pasti dua pinjam terjemah sintaksis yang jelas daripada bahasa Jerman dalam teks Meister, kita secara ringkas mencatatkan satu lagi ciri sintaksis yang menonjol dalam dialog tersebut. Ciri sintaksis yang ketiga ini mungkin tidak terlalu bergantung pada sumber modelnya dalam bahasa Jerman, sungguhpun pemilihan struktur ini secocok dengan bahasa Jerman. Dalam bahasa Melayu kontemporari, ada beberapa strategi yang digunakan untuk membentuk frasa posesif atau genitif. 10 Dua strategi yang paling lazim digunakan ialah:
1)Menyusun kata nama dalam frasa nama genitif mengikut aturan, FN1 FN2, iaitu FN2 ialah pemilik dan FN1 ialah sesuatu yang dimiliki, misalnya: rumah teman; dan,
2)Menyusun kata nama dalam frasa nama genitif mengikut aturan, FN2 FN1 dengan partikel penghubung, punya, di antara kedua-dua FN, iaitu FN2 ialah pemilik dan FN1 ialah sesuatu yang dimiliki, misalnya: teman punya rumah.
Hari ini, strategi yang pertama dikaitkan dengan bahasa Melayu baku yang bersifat preskriptif dan yang kedua dengan bahasa Melayu tidak baku yang bersifat kolokial atau bahasa percakapan, sungguhpun tidak jelas bila timbulnya parameter sosiolinguistik yang begitu jelas seperti itu.
Dalam dialog Meister, strategi pertama tidak hadir. Dengan beberapa kekecualian sahaja, setiap hubungan genitif terangkum dalam struktur [PEMILIK Partikel YANG DIMILIKI]. Contoh ayat yang tipikal ialah:
Wo seynd meine Sclaven
Mana peta punga orang Laeskar?
`Di mana (engkau) hambaku?’
Di sini kita dapati bahawa `hambaku’ (meine Sclaven) diterjemahkan dalam kerangka [PEMILIK (peta) Partikel (punga) YANG DIMILIKI (orang laeskar)], sedangkan dalam beberapa banyak dialek Melayu yang lain, bentuk yang digunakan ialah laskar saya
(= beta), iaitu susunan frasa nama yang berlawanan tanpa partikel posesif. Bahawa susunan FN dalam struktur bahasa Melayu yang dipilih oleh Meister benar-benar selari dengan struktur bahasa Jerman, sekurang-kurangnya dalam hal pemilik yang mendahului sesuatu yang dimiliki dan bahawa beberapa penanda (kes) sering betul-betul mengikuti FN pertama, kemungkinannya bukan suatu kebetulan.
Sebagai kesimpulan, wajar jika dikatakan bahawa morfologi dan sintaksis dialog ini menunjukkan pengaruh sebuah bahasa perhubungan yang sedang muncul yang mempunyai morfologi yang minimal serta beberapa partikel sintaksis serbaguna yang tinggi kekerapannya. Sungguhpun kita dapat mengesan pengaruh bahasa Jerman dalam struktur ayat, namun masih ada saki baki ciri morfologi dan sintaksis dialek Melayu Jakarta. Saki baki ini merupakan bukti yang menyeluruh yang menyokong kepurbaan dan kedudukan genetik dialek Melayu Jakarta. (Lihat Nothofer 1994).
LEKSIKON
KOSA kata dalam dialog Meister menampilkan ciri-ciri tersendiri yang membayangkan era dan persekitarannya. Dalam bahagian yang ringkas ini, kata pinjaman dan kosa kata kuno dibincangkan. Demikian juga, sejauh mana leksikonnya menggambarkan dialek Melayu Jakarta turut disentuh.
Sungguhpun bilangan item leksikal yang tersendiri yang digunakan dalam teks ini terbatas, sebahagiannya disebabkan oleh banyaknya fungsi yang dipikul oleh beberapa partikel, namun terdapat sebilangan besar kata pinjaman. Sebahagian daripadanya tidak lagi digunakan ataupun maknanya telah berubah. Di sini hanya kata pinjaman daripada bahasa-bahasa Eropah, bahasa Jawa dan bahasa Cina yang akan dibincangkan; item leksikal daripada bahasa Indik dan Arab berada pada strata yang lebih tua. Pertama, wajar disebutkan bahawa tidak ada kata pinjaman Belanda dalam dialog Meister! Sesudah pertembungan selama hampir seratus tahun di bahagian pesisir Jawa dan penjajahan langsung selama tujuh puluh tahun di Jakarta, ketiadaan kata-kata Belanda memang menakjubkan.Satu contoh terutamanya, banyak memberikan maklumat. Sejak penaklukan Jakarta oleh Coen pada tahun 1619, orang Belanda menamai bandar raya itu sebagai Batavia. Lama kelamaan, bandar raya tersebut terkenal dalam bahasa Melayu sebagai Betawi malah penduduk pribumi Jakarta merujuk kepada diri mereka sebagai orang Betawi. Tetapi sungguhpun dalam bahasa Jerman, Meister mencatatkan nama Batavia (hlm. 204, 212), terjemahannya dalam bahasa Melayu hanyalah Jaccatra, nama pelabuhan itu sebelum penaklukan – nama yang tidak dihidupkan semula secara rasmi sehingga pertengahan abad kedua puluh.
Ketiadaan kata pinjaman Belanda amat ketara bezanya daripada bilangan kata Portugis dalam dialog Meister. Dari abad keenam belas, bahasa Portugis mencapai kedudukan sebagai bahasa pertembungan tambahan. Pada abad ketujuh belas, berikutan dengan penaklukan Belanda terhadap petempatan yang penduduknya menuturkan bahasa Portugis di India, Sri Lanka dan Melaka, kepentingan bahasa Portugis meningkat setelah kedatangan beramai-ramai pekerja dan hamba abdi yang menuturkan bahasa Portugis dari wilayah-wilayah tersebut mempengaruhi demografi Jakarta. Misalnya, pada tahun 1656, 1688 dan 1689, tiga buku soal jawab agama Calvinisme diterjemahkan ke dalam bahasa Portugis (Landwehr 1991: 421); soal jawab agama tahun 1689 itu sebenarnya disusun di Jakarta pada tahun 1645. Tambahan pula, Nieuhof (1662) mengira 1100 orang Topazzer lelaki dewasa, iaitu kacukan berketurunan Portugis, di Jakarta. Maka tidak hairanlah bahawa, di samping dialog Jerman-Melayu yang dibincangkan di sini, Meister turut memasukkan dialog "Indianisch-Portugisisches und Deutsches dalam bukunya pada tahun 1692 (hlm. 215 ff.).
Di bawah ini, disenaraikan beberapa kata pinjaman Portugis, yang diambil daripada dialog Jerman-Melayu.
Meister (1692)
Penjelasan B. Melayu Moden
campang loceng
------------
Hollande
Holland Belanda
legarti buaya
-----------
limon lemon
(lemong dlm. dialek Melayu Ambon)
masqui
tidak mengapa meski
miste
mesti mesti
per untuk
ke (par dlm. dialek MelayuAmbon)
Dua kata pinjaman yang paling menarik dalam senarai ini ialah partikel sintaksis, miste `mesti’ dan per `untuk, ke’. Bahawa kata-kata ini digunakan secara meluas pada abad ketujuh belas terbukti oleh kehadirannya dalam teks-teks lain seperti terjemahan Genesis oleh Brouwerius (1662) dan kumpulan khutbah Caron (1678). Tambahan pula, kedua-dua perkataan itu tetap bertahan dengan makna dan fungsi yang sama dalam dialek Melayu Ambon dan dialek Melayu lain di bahagian timur Indonesia. Sesungguhnya, mesti merupakan sebahagian daripada kosa kata bahasa Melayu baku di Malaysia dan Indonesia. Satu lagi partikel, masqui, terdapat juga dalam kebanyakan dialek Melayu, walaupun maknanya telah berubah kepada kata penghubung tolak ansur: meski(pun). Kebanyakan kata pinjaman Portugis yang lain telah menjadi usang ataupun kekal hanya dalam beberapa dialek pinggiran.
Terdapat sebilangan kecil butiran leksikal yang dipinjam daripada bahasa Jawa, termasuklah:
Meister (1692) Keterangan B. Melayu Moden
pockenere awak __________
bangarang putera (pangeran, hanya dlm. gelaran)
mattschan, madschan harimau ( macan dlm. dialek Melayu Jakarta)
putta ekor (buntut dlm. dialek Melayu Jakarta)
Sebagaimana halnya dengan kata pinjaman Portugis, sesetengah daripada kata Jawa ini telah menjadi usang atau terpinggir. Bentuk hormat kata ganti diri kedua tunggal yang dipinjam daripada bahasa Jawa, pakanira, tidak lagi digunakan dalam mana-mana dialek Melayu kontemporari, sungguhpun pada abad keenam belas, istilah ini digunakan dalam dialek Melayu yang dituturkan di Ternate (Collins dan Schmidt 1992) dan pada abad ketujuh belas pula muncul dalam teks agama Protestan (Brouwerius 1662 dan Caron 1678). Istilah pangeran digunakan sekarang hanya untuk gelaran istana, bukan sebagai gelaran umum seperti yang dicatatkan oleh Meister. Perkataan macan `harimau’ dan buntut `ekor’ bersaing dengan harimau dan ekor dalam bahasa Melayu baku. Istilah kolokial ini biasanya muncul dalam dialek daerah yang dipengaruhi bahasa Jawa, terutama dialek Melayu Jakarta.
Kata pinjaman daripada bahasa Cina hanya beberapa sahaja, biarpun menjelang tahun 1662, orang Cina merupakan 18% daripada penduduk lelaki dewasa Jakarta yang bukan orang Eropah (1200 orang lelaki, menurut Nieuhof). Antara kata pinjaman Cina termasuklah schuncke ( cengkih dalam bahasa Melayu moden) dan Jappon ( Jepun dalam bahasa Melayu moden, istilah ini sekarang umumnya hanya digunakan di Malaysia). Kata ganti diri bahasa Cina (Hokien), iaitu goa `saya’ muncul tiga kali juga dalam teks Meister tetapi sebagai kata ganti yang akrab.
Gehet die Reise nun wieder nach ihren Hause
Pigi compally goa punya rumah
`Mari kita kembali ke rumah awak.’
Kekeliruan antara `saya’ (bahasa Cina goa) dengan `awak’ nampaknya kesilapan yang dilakukan oleh Meister. Dengan mengingati kekeliruan terhadap bunyi huruf g dan k seperti yang dibincangkan dalam bahagian awal makalah ini, dapat dibuat kesimpulan bahawa Meister mungkin mengelirukan goa dengan kau, kata ganti akrab yang digunakan dalam dialek Melayu pribumi. Pada hlm. 213, dao punya laescar (seine ... Sclavin `hamba engkau’ nampaknya menunjukkan kesilapan percetakan bagi cao (kau dalam bahasa Melayu). Namun demikian, perlu dijelaskan bahawa penggunaan goa [ gu ] sebagai kata ganti diri pertama tunggal itulah yang merupakan salah satu ciri dialek Melayu Jakarta hari ini
Di samping kata ganti yang dibincangkan di atas, satu lagi ciri leksikal teks Meister ialah kehadiran beberapa kata Melayu yang kini usang atau yang telah berubah maknanya. Seperti yang disebutkan di atas, pengekalan Jaccatra `Jakarta' sebagai nama tempat mungkin dianggap usang dalam erti kata bahawa kata ini secara umumnya hilang selama 250 tahun yang berikutnya hingga golongan nasionalis Indonesia memperkenalkannya semula sebagai nama untuk menggantikan `Batavia’ . Di bawah ini ialah empat lagi perkataan usang.
Meister (1692) Penjelasan B.M. Moden
contatdi, conttaddi kehendak hati kendati(pun)
petta saya beta
synta berduka cinta
gusar marah gusar
Dua perkataan, kendati dan beta kekal hanya dalam penggunaan yang terbatas.
Istilah abad ketujuh belas untuk `kehendak hati’, iaitu kendati kini digunakan
hanya sebagai kata hubung tolak ansur (iaitu kendatipun) dan itupun jarang-jarang.
Kata ganti tunggal orang pertama, beta, digantikan sepenuhnya (mungkin pada
abad kesembilan belas) oleh kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, sahaya/saya.
Pada masa ini, beta digunakan hanya oleh raja yang memerintah di Malaysia dan
Brunei apabila merujuk kepada diri sendiri terutama dalam ucapan rasmi ataupun
oleh penutur dialek pinggiran yang kerana itu merupakan dialek konservatif,
seperti dialek Melayu Ambon, yang masih mengekalkan maknanya yang kuno (Collins 1980).
Satu lagi kata pinjaman Sanskrit, cinta, telah berubah sama sekali daripada maknanya
pada abad ketujuh belas, iaitu `risau, bimbang, sedih’ yang diberi keterangan oleh
Meister sebagai `Melancholischen Gedancken’; dalam bahasa Melayu moden,
cinta bermakna `kasih, terutama cinta berahi antara lelaki dengan perempuan
dan komitmen yang sepenuhnya.’ Namun begitu, beberapa dialek daerah,
seperti dialek Kedah (Siti Hawa Salleh, p.c.) dan dialek Pahang (Darus Tharim, p.c.)
masih mengekalkan makna yang hampir dengan maknanya yang lama.
Dalam beberapa dialek Melayu yang mengekalkan penggunaan gusar,
maknanya tidak lagi marah tetapi kini `risau, bimbang.’ Bahawa kesemua empat perkataan,
kendati, beta, cinta dan gusar, dengan makna dan penggunaan yang betul-betul serupa
seperti yang diterangkan oleh Meister, digunakan secara umum pada abad
ketujuh belas terbukti oleh kehadirannya dalam teks Brouwerius dan Caron yang
merupakan teks kontemporari pada waktu itu.
Kombinasi kata pinjaman dan item leksikal yang kuno adalah bukti kukuh tentang
kesahan dialog Meister dan merupakan rakaman yang tepat tentang cara penduduk
Jakarta lazimnya bercakap antara satu sama lain. Tambahan lagi, kesan formatif
bahasa Portugis, Jawa dan Cina dalam evolusi dialek Melayu Jakarta pada tahap
seterusnya sudah terlihat dalam teks Meister. Seperti yang ditegaskan oleh Nothofer (1994),
dialek Melayu Jakarta telah banyak kehilangan kosa kata yang diwarisi yang pernah
dikongsi bersama dengan dialek serumpun yang paling hampir dengannya, iaitu dialek
Melayu Bangka dan Palembang. Bukti daripada dialog Meister membayangkan
bahawa proses kehilangan melalui penggantian ini bermula sekurang-kurangnya
pada abad ketujuh belas.
KESIMPULAN
DALAM sejarah penulisan sejarah bahasa Melayu, jelas sekali bahawa suatu jenis
filologi telah memainkan peranan yang dominan dan eksklusif. Filologi ini jarang merujuk
kepada linguistik dan merupakan filologi belles lettres. Hanyalah "daftar karya" kesusasteraan
Melayu, seperti yang didefinisikan oleh penggemar seni abad kesembilan belas, yang telah
digunakan untuk menjelaskan sejarah bahasa yang kuno dan besar pengaruhnya ini. Setakat ini,
teks daripada abad ketujuh belas yang umumnya dianggap wajar sebagai filologisme
penggemar seni hanyalah babad dan puisi yang ditulis di istana sultan Melayu.
Dalam makalah ini, dengan secara tentatif mengkaji dialog Meister – yang begitu eksotik mengikut
standard bahasa Melayu moden, kepentingan SEMUA teks Melayu diperlihatkan.
Malah, korpus yang sebenarnya ialah setiap cebis bahasa Melayu yang masih ada,
dan metodologi yang wajar untuk menganalisis korpus tersebut ialah linguistik, terutama dialektologi.
Melalui proses-proses dialektologi, sumber teks bahasa Melayu abad ke tujuh belas yang
tidak digunakan dapat diungkap dan disari sehingga menjadi bukti penting untuk
penulisan sejarah bahasa Melayu yang realistik.
Dialog Meister tidak mungkin dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran untuk mata
pelajaran kesusasteraan Melayu; demikian juga bahan ini tidak begitu berguna
sebagai bahan pengajaran bahasa. Tetapi dialog tersebut menjadi bukti yang unik
tentang perubahan yang berlaku dalam dialek Melayu Jakarta serta peranan sosial
bahasa Melayu yang amat luas dalam masyarakat majmuk yang sedang berkembang
dalam dan di sekitar Batavia pada zaman penjajahan. Bahasa Melayu dalam dialog
Meister mempunyai perbezaan yang sangat jauh, namun boleh dipercayai, dengan
bahasa Melayu dalam karya kesusasteraan lingkungan istana Melayu dan bahasa
Melayu dalam tulisan paderi Calvinisme yang menunujuk-nunjuk pandai dan yang
pada waktu yang sama begitu giat menerbitkan khutbah, terjemahan kitab suci,
risalah dan soal jawab agama dalam bahasa Melayu. Sumbangan Meister tetap
mempunyai signifikan tidak sahaja sebagai rekod awal tentang dialek Melayu Jakarta
tetapi sebagai dokumen penting dalam tugas menyeimbangkan sejarah sosial bahasa Melayu.
Bibliografi
Adelaar, K.A. 1992. Proto-Malayic. The Reconstruction of Its Phonology and Parts of Its Lexicon and Morphology. Pacific Linguistic C119. Canberra: The Australian national University.
Brouwerius, Daniel 1662. Genesis attau Kitab deri Miarahan, Kitab Mosis nang Bermoula. Amsterdam: Erfg. Van Paulus Matthysz.
Caron, Francois 1678. Tsjeremin acan Pegang Agamma. Amsterdam: Erfg. Van Paulus Matthysz.
Collins, James T. 1980. Ambonese Malay and Creolization Theory. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
-------------, 1983. "Syntactic Change in Ambonese Malay: The Possessive construction." Studies in Malay Dialects, Part II, edited by J. T. Collins. NUSA 17:28-41. Jakarta: Badan Penyelanggara Seri Nusa.
Collins, J.T. and H. Schmidt 1992. "Bahasa Melayu di Pulau Ternate: Maklumat tahun 1599" dlm. Jurnal Dewan Bahasa 36:100-115.
Grijins, C.D. 1991. Jakarta Malay. A Multidimensional Approach to Spatial Relationships. Leiden: KILTV Press.
Homan, J.D. 1868. Handleiding tot de kennis van’t Bataviasch Maleisch.. Ed.H.N. van der Tuuk. Zalt-Bommel: Joh. Noman & Zoon.
Kratz, E.U. 1981. "The Journey To the East. 17th. and 18th. Century German Travel Books As sources Of Study," dlm. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 54:1 hlm. 65-81.
Ladefoged, P. 1974. Preliminaries to Linguistic Phonetics. Chicago: The University of Chicago Press.
Landwehr, J. (Ed.) VOC. A Bibliography of Publications Related to the Dutch East Indies Company, 1602-1800. Utrecht: HES Publications.
L’Honore Nabe, S.P. (Ed.) 1930-1933. Reisebeschreibungen von Deutschen Beamien und Kriegsleuten im Dienst der Niederländischen West- und Ost-Indischen Kompagnien 1602-1797. Haag: Martinus Nijhoff.
Meister, George 1692. Der Orientalisch-Indianische kunst- und Lust-Gärtner. Dresden: In Verlegung des Autoris.
Nieuhof, J. 1682. Gedenkwaerdige Zee- en Lantreize door de voornaemste landschappen van West-en Oost- Indien. Amsterdam.
Nothofer, B. 1994. The History of Jakarta Malay. Paper presented at the Seventh International Conference on Austronesian Linguistics, Leiden, August 22-27, 1994.
Parkinson, S. 1784. A Journal of a Voyage to the South Seas in His Majesty’s Ship The Endeavour. London: Charles Dilly and James Philips.
Sonntag, H. and B. Schuster 1990. Meissen & Meissen. Älteste Porzellan-Manufaktur Europas. Berlion: RV Verlag.
Taylor, J.G. 1983. The Social World of Batavia. European and Eurosian in Dutch Asia. Madison: The University of Wisconsin.
Warld, B. 1981. "Swahili Prepidgin and Depidginization in Coastal Kenya: A Systematic Discontinuity in Non-First Varieties of Swahili," dlm. Historicity and Variation In Creole Studies, A. Highfield and A Valdman ed. Ann Arbor: Karoma Publichers.
[Zomerdijk, A.] and [L. dominicus] 1780. Nieuwe woordenschat, uyt der Nederduitsch in het gemeene Maleidsch en Portugeesch, zeer gemakkelyk voor die eerst op Batavia komen. Batavia: Lodewijck Dominicus, Stads Drukker
Kirimkan sumbang saran dan kritik ke: Kampung Terempa