BAB    V

 

 

 

 

 

PENUTUP

 

 

 

 

5.1              PENDAHULUAN

 

Bab ini mengandungi lima bahagian iaitu ringkasan kajian, perbincangan dapatan kajian, kesimpulan dapatan kajian, implikasi dapatan kajian dan cadangan kajian lanjutan. Dalam ringkasan kajian, dijelaskan secara ringkas tentang tujuan kajian, bentuk kajian, sampel kajian, alat kajian dan kaedah analisis data. Bahagian perbincangan dapatan kajian pula menyatakan semula dapatan kajian  mengikut urutan persoalan kajian dan seterusnya membincangkan sama ada dapatan ini menyokong atau tidak dapatan kajian-kajian lepas. Implikasi dapatan kajian pula mencadangkan implikasi dapatan kajian terhadap amalan pendidikan berpandukan kepada dapatan soalan-soalan kajian. Akhirnya sekali, bahagian cadangan kajian lanjutan, pengkaji akan mengutarakan cadangan lanjutan.

 

5.2              RINGKASAN KAJIAN

 

Kajian ini mengkaji tahap penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi teknikal.

Berikut adalah rumusan tentang objektif dan kaedah kajian yang telah dibuat tentang kajian terhadap tahap penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar juga menerangkan hubungan antara tahap penggunaan komputer dengan beberapa faktor yang dikaji. Terdapat 10 objektif kajian yang telah ditetapkan iaitu :

a.       Mengenalpasti tahap pengetahuan tentang komputer di kalangan pengajar dan pelajar.

b.      Mengenalpasti tahap pengetahuan tentang penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar.

c.       Menentukan tahap kepentingan penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar dan pelajar.

d.      Menentukan tahap kemahiran menggunakan komputer di kalangan tenaga pengajar dan pelajar.

e.       Menentukan sikap pengajar dan pelajar terhadap penggunaan komputer.

f.        Menentukan motivasi tenaga pengajar dan pelajar terhadap penggunaan komputer.

g.       Menentukan kemudahan prasarana dan kemudahan komputer.

h.       Menentukan tahap penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar dan pelajar.

i.         Menentukan perkaitan antara umur, status sosioekonomi dan pemilikan komputer di rumah dengan tahap penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar dan pelajar.

j.        Menentukan hubungan antara pengetahuan, kemahiran, kepentingan menggunakan

komputer, sikap, motivasi dan pengalaman dengan tahap penggunaan komputer di

kalangan tenaga pengajar.

 

 

k.      Menentukan hubungan antara pengetahuan, kemahiran, kepentingan menggunakan

komputer, sikap, motivasi dan pengalaman dengan tahap penggunaan komputer di

kalangan pelajar.

 

Kajian ini dijalankan dengan berpandukan beberapa kajian lepas dan beberapa dimensi yang dibina oleh pengkaji sendiri yang mengandungi sembilan dimensi semuanya. Sebahagian dimensi adalah dipadankan dari kajian Roslina (1999) yang berpandukan Model Penilaian Program Komputer Dalam Pendidikan oleh Stecher (1987). Komponen utama yamg menjadi fokus kajian ini ialah pengetahuan, penggunaan, kepentingan penggunaan, kemahiran penggunaan, sikap, motivasi, prasarana dan kemudahan komputer, tahap penggunaan, keperluan latihan dan penyelenggaran.

 

Kajian yang dijalankan merupakan satu kajian tinjauan yang dijalankan ke atas sekumpulan pensyarah dan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).teknikal Sampel kajian adalah terdiri dari 60 orang tenaga pengajar  dan 200 orang pelajar dari semester 2 dan 4.

 

Instrumen yang digunakan dalam kajian ini merupakan dua set soal selidik yang dibina

iaitu :

i.                     Bahagian A – item-item mengenai latar belakang subjek kajian.

ii.                   Bahagian B – item-item mengenai tahap pengetahuan tentang komputer.

iii.                  Bahagian C – item-item mengenai tahap pengetahuan tentang penggunaan komputer.

iv.                 Bahagian D – item-item mengenai tahap kemahiran menggunakan komputer.

v.                   Bahagian E – item-item mengenai kepentingan penggunaan komputer.

vi.                 Bahagian F – item-item mengenai sikap terhadap penggunan komputer.

vii.                Bahagian G – item-item mengenai motivasi terhadap penggunaan komputer.

viii.              Bahagian H – item-item mengenai prasarana dan kemudahan komputer

ix.                 Bahagian I – item-item mengenai tahap penggunaan komputer

x.                   Bahagian J - item-item mengenai keperluaan latihan dan penyelenggaraan

Data yang diperolehi, kemudian dianalisis dengan bantuan Pakej Statistik Untuk Sains Sosial (SPSS versi 7.5), menggunakan kekerapan, peratusan dan khi kuasa dua serta analisis korelasi.

 

5.3              PERBINCANGAN DAPATAN KAJIAN

 

Bahagian ini membincangkan dapatan kajian tentang perkaitan antara umur, status sosioekonomi dan pemilikan komputer di rumah dengan tahap penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi teknikal. Bahagian ini juga membincangkan hubungan antara beberapa faktor berkaitan komputer dengan tahap penggunaan komputer.

 

 

5.3.1    Perkaitan Antara Umur, Status Sosioekonomi dan Pemilikan Komputer

Dengan Tahap Penggunaan Komputer Di kalangan Pengajar dan Pelajar

 

 

Kajian ini mendapati wujud perkaitan antara umur pengajar dan pelajar dengan tahap penggunaan komputer. Hasil kajian menunjukkan 71.7% pengajar yang berumur antara 26 hingga 35 tahun adalah golongan pengajar yang tahap penggunaan komputer adalah lebih tinggi. Ini bersesuaian dengan Norhashim et al. (1996), yang menyatakan pencipta komputer mikro pada awal tahun 1970'an telah memberi kesan yang mendalam kepada penggunaan teknologi tersebut dalam bidang pendidikan. Dapatan lain kajian ini ialah terdapat perkaitan antara status sosioekonomi dengan tahap penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Akhirnya, kajian ini mendapati wujud perkaitan antara pemilikan komputer di rumah dengan tahap penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Dapatan kajian menunjukkan 81.7% pengajar memiliki komputer di rumah. Ini bertentangan dengan dapatan Roslina (1999), di mana tahap pemilikan komputer di kalangan pengajar adalah rendah. Pemilikan komputer yang tinggi mungkin dikaitkan dengan status sosioekonomi yang tinggi, di mana 68.4% pensyarah berada dalam kategori ini. Pemilikan komputer yang rendah di kalangan pelajar pula, di mana hanya 41.0% memiliki komputer di rumah juga boleh dikaitkan dengan kos pembelian komputer yang tinggi. Seramai 59.0% pelajar berstatus sosioekonomi rendah. Bier et al. (Tengku Zawawi   1997) menyatakan bahawa jurang perbezaan sosioekonomi di kalangan pelajar harus diambil kira semasa pendedahan teknologi komputer dan internet diberikan.

 

 

5.3.2    Hubungan Antara Faktor-faktor Berkaitan Komputer Dengan Tahap

Penggunaan Komputer

 

Kajian ini mendapati tahap pengetahuan tentang komputer dan penggunanya adalah tinggi di kalangan pengajar dan pelajar. Dapatan ini disokong dapatan Roslina (1999) serta dapatan Zulkifli dan Raja Maznah (1994). Kajian ini juga mendapati sikap pengajar dan pelajar adalah positif terhadap penggunaan komputer. Dapatan kajian ini disokong dapatan Roslina (1999) yang menyatakan sikap positif dari segi` kesediaan guru-guru untuk mendalami pengetahuan dan pemahaman tentang komputer. Dapatan kajian ini mempunyai persamaan dengan dapatan kajian Walters dan Necessary (Roslina     1999).

 

            Mengenai kemahiran menggunakan komputer, hasil kajian menunjukkan 50.0% pengajar dan 70.5% pelajar berkemahiran sederhana dan tinggi. Dapatan ini berbeza daripada dapatan kajian Rohaty et al. (1990) yang menyatakan pensyarah kurang mahir dalam melakukan kerja yang melibatkan komputer, seperti menulis program komputer. Dapatan ini juga berbeza daripada dapatan kajian Jamaluddin dan Muhammad Hassan (1997) yang mendapati 64.3% guru pelatih tidak mahir menggunakan komputer. Guru hanya menggunakan komputer untuk tujuan menaip sedangkan komputer boleh digunakan dengan lebih meluas lagi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

 

            Mengenai motivasi terhadap penggunaan komputer, pengajar dan pelajar mempunyai motivasi yang tinggi. Motivasi yang tinggi ini menyebabkan tahap penggunaan komputer yang tinggi. Dapatan ini disokong dapatan Roslina (1999), Jamaluddin dan Muhamad Hassan (1997).serta Zoraini (1998) yang mendapati guru dan pelajar mempunyai motivasi dan sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi semasa. Hubungan positif antara motivasi dengan tahap penggunaan komputer menjelaskan bahawa motivasi menyumbang ke arah tahap penggunaan teknologi yang melibatkan komputer.

 

            Kemudahan prasarana dan komputer juga mempunyai hubungan positif dengan tahap penggunaan komputer. Walaupun kajian ini mendapati hubungan yang diperolehi adalah lemah, tetapi ia menerangkan bahawa tahap penggunaan komputer berkait dengan kemudahan komputer dan prasarana. Rohaty et al. (1990) menyatakan pihak universiti perlu menyediakan infrastruktur yang sewajarnya bagi menjamin pendedahan yang meluas tenaga pengajar terhadap penggunaan komputer mikro. Hasil kajian Jamaluddin et al. (1998) mendapati, sekolah kekurangan komputer dan kemudahan infra dalam melakasnakan aktiviti yang melibatkan komputer.

 

5.4              KESIMPULAN DAPATAN KAJIAN

 

Dalam kajian ini, penyelidik cuba menentukan pengetahuan, penggunaan komputer dan kepentingan komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Seterusnya, penyelidik cuba menentukan perkaitan antara umur, status sosioekonomi dan pemilikan komputer di rumah dengan tahap penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Akhirnya, penyelidik cuba menentukan hubungan antara beberapa faktor berkaitan komputer dengan tahap penggunaan komputer. Berdasarkan dapatan-dapatan kajian, kesimpulan berikut dapat dibuat:

(a)          Tahap pengetahuan pengajar dan pelajar tentang komputer, penggunaan

komputer  dan kepentingan penggunaan komputer adalah tinggi.

(b)         Kemahiran menggunakan komputer di kalangan pengajar adalah tinggi, sementara

pelajar mepunyai tahap kemahiran yang sederhana.

(c)          Pengajar dan pelajar mempunyai sikap positif terhadap penggunaan komputer.

(d)         Tahap penggunaan komputer adalah tinggi di kalangan pengajar dan sederhana

di kalangan pelajar.

(e)          Umur pengajar dan pelajar mempunyai perkaitan dengan tahap penggunaan

Komputer. Bagi pengajar yang berumur antara 31 hingga 35 tahun didapati  menggunakan komputer lebih tinggi berbanding dengan yang berumur lebih 35 tahun. Bagi pelajar pula, mereka yang berumur 20 tahun ke bawah didapati menggunakan komputer lebih tinggi berbanding dengan mereka yang berumur lebih 20 tahun.

(f)           Status  sosioekonomi  pengajar  dan pelajar mempunyai perkaitan   dengan

      tahap penggunaan komputer. Bagi pengajar yang berstatus sosioekonomi yang

      tinggi didapati menggunakan komputer lebih tinggi berbanding dengan mereka

      yang berstatus sosioekonomi yang sederhana dan rendah. Bagi pelajar pula,

       didapati mereka yang bersatus sosioekonomi yang rendah menggunakan

      komputer lebih tinggi berbanding dengan mereka yang berstatus sosioekonomi

      sederhana dan tinggi.

(g)          Pemilikan komputer  di rumah  mempunyai  perkaitan dengan tahap penggunaan

komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Pengajar yang memiliki komputer didapati menggunakan komputer lebih tinggi berbanding mereka yang tidak memiliki komputer peribadi di rumah. Bagi pelajar, mereka yang tidak memiliki komputer didapati menggunakan komputer dengan lebih tinggi berbanding mereka yang memiliki komputer.

(h)          Pengetahuan tentang  komputer mempunyai hubungan  dengan tahap penggunaan

komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Pengajar dan pelajar yang mempunyai pengetahuan tinggi tentang komputer menggunakan komputer dengan lebih tinggi.

(i)            Pengetahuan tentang penggunaan komputer mempunyai hubungan dengan tahap

penggunaan komputer di kalangan pelajar iaitu semakin pengetahuan tentang penggunaan komputer  meningkat di kalangan pelajar, maka semakin tinggi tahap penggunaan komputer. Bagi pengajar pula, dapatan kajian menunjukkan tiada hubungan antara pengetahuan tentang penggunaan komputer dengan tahap penggunaannya.

(j)           Pengetahuan  tentang kepentingan  penggunaan  komputer mempunyai  hubungan

dengan tahap penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Bagaimanapun, hubungan yang diperolehi adalah sederhana kuat. Pengajar dan pelajar yang mempunyai pengetahuan yang tinggi, mempunyai tahap penggunaan komputer yang tinggi.

 

 

(k)         Kemahiran   menggunakan   komputer   mempunyai   hubungan   dengan   tahap

penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Pengajar dan pelajar yang mempunyai kemahiran dalam mengunakan komputer didapati menggunakan komputer dengan lebih tinggi.

(l)            Sikap  pelajar  terhadap  komputer  didapati  mempunyai hubungan  dengan tahap

penggunaan komputer, di mana pelajar yang mempunyai sikap yang positif terhadap komputer didapati menggunakan komputer dengan lebih tinggi. Bagi pengajar pula, dapatan kajian menunjukkan tiada hubungan antara sikap pengajar terhadap penggunaan komputer dengan tahap penggunaannya.

(m)        Motivasi  terhadap   komputer    di kalangan   pengajar   dan    pelajar mempunyai

hubungan dengan tahap penggunaan komputer, di mana pengajar dan pelajar yang mempunyai mempunyai motivasi yang tinggi didapati menggunakan komputer dengan lebih tinggi.

(n)          Prasarana   dan   kemudahan   komputer   mempunyai   hubungan   dengan   tahap

penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Prasarana dan kemudahan komputer yang baik akan menyababkan penggunaan komputer meningkat di kalangan pengajar dan pelajar.

 

5.5              IMPLIKASI DAPATAN KAJIAN

 

Berdasarkan dapatan yang telah dibincangkan, implikasi dapatan kajian terhadap amalan pendidikan berikut dicadangkan.

(a)                Hubungan yang positif antara pengetahuan tentang komputer dan penggunaan dengan tahap penggunaan komputer akan membantu pengajar dan pelajar menggunakan komputer dengan lebih kerap. Zulkifli dan Raja Maznah (1994) serta Roslina (1999) menyatakan bahawa pengetahuan dan pemahaman tentang komputer akan meransang dan menandakan kesediaan guru-guru dalam menerapkan teknologi komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, pihak pengurusan di institusi berkenaan, perlu mengambil kira tahap pengetahuan pengajar dan pelajarnya bagi membolehkan usaha ke arah penggunaan komputer yang tinggi. Ini bersesuaian dengan hasrat pemimpin negara yang mengharapkan rakyat menjadi celik komputer menjelang alaf baru.

(b)               Hubungan yang positif antara pengetahuan tentang kepentingan penggunaan komputer dengan tahap penggunaan komputer menunjukkan kesediaan pengajar dan pelajar untuk menggunakan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini memudahkan segala usaha pihak pengurusan dalam menerapkan kesedaran menggunakan teknologi terkini dalam pendidikan.

(c)                Kemahiran menggunakan komputer mempunyai hubungan dengan tahap penggunaan komputer. Oleh itu, pihak pengurusan perlu mengambil kira faktor ini sebagai salah satu kriteria dalam pengambilan tenaga pengajar dan pelajarnya. Ini bagi menjamin bahawa semua perancangan terhadap sistem pendidikan yang melibatkan penggunaan teknologi maklumat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

(d)               Sikap dan motivasi yang positif terhadap penggunaan komputer juga perlu diambil kira sebagai faktor yang menyumbang ke arah kecemerlangan pendidikan. Pihak pengurusan perlu memastikan bahawa setiap tenaga pengajar dan pelajarnya mempunyai sikap dan motivasi yang tinggi terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini bertepatan dengan Zoraini (1992), yang mengatakan komputer adalah sebahagian daripada kemestian sistem pendidikan masa kini dan masa depan. Pendapat ini juga disokong Koohang dan Byrd (Roslina   1999) yang menyatakan sikap dan motivasi yang positif menunjukkan kesediaan guru-guru dalam mendalami pengetahuan dan pemahaman mereka dalam penggunaan komputer. Pendapat ini juga disokong Jonassen (1996), yang mengatakan pelajar-pelajar yang memperoleh bahan pengajaran melalui komputer mempunyai motivasi yang tinggi.

(e)                Kemudahan prasarana dan komputer menentukan penggunaan komputer yang lebih tinggi di kalangan pengajar dan pelajar. Ini bertepatan dengan dengan Jamaluddin dan Abd. Rashid (1998), yang mengatakan kemudahan komputer akan menyemarakkan lagi penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, pihak pengurusan perlu memastikan kemudahan prasarana dan komputer dipertingkatkan dari masa ke semasa sesuai dengan keperluan dan hasrat pendidikan masa kini. Kekurangan aspek ini akan membantutkan sistem pendidikan yang semakin berkembang.

(f)                 Latar belakang seperti umur, status sosioekonomi dan pemilikan komputer di rumah juga didapati mempunyai perkaitan dengan tahap penggunan komputer. Oleh itu, dalam langkah bagi menjamin hasrat pihak pengurusan dalam meningkatkan sistem pendidikan di institusi tersebut, maka faktor-faktor latar belakang ini perlu dijadikan sebagai dari kriteria pemilihan bagi pengambilan tenaga pengajar atau pelajarnya. Ini membolehkan pihak pengurusan melaksanakan segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran dengan melibatkan teknologi perkomputeran.

 

5.6              CADANGAN KAJIAN LANJUTAN

 

Kajian ini mempunyai beberapa batasan, seperti saiz sampel yang kecil dan terhad kepada sebuah isititusi pengajian tinggi. Justeru, banyak kekurangan yang terdapat dalam kajian ini. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya kajian ini telah menjadi perintis dalam membuka laluan ke arah kajian yang lebih menyeluruh. Untuk itu, berikut dinyatakan batasan kajian dan cadangan penyelidik bagi kajian lanjutan :

(a)                Responden kajian ini hanya dipilih daripada sebilangan pengajar dan pelajar dari semester dua dan empat. Untuk kajian pada masa hadapan, pemilihan responden seharusnya melibatkan populasi yang lebih besar, yang meliputi pengajar dan pelajar dari semua jabatan dan semester, iaitu dari jabatan teknikal dan tidak teknikal dan pelajar dari semester satu hingga enam.

(b)               Responden kajian ini juga hanya melibatkan sebuah institusi pengajian tinggi teknikal swasta sahaja. Kajian pada masa hadapan sepatutnya lebih menyeluruh dengan melibatkan beberapa institusi pengajian teknikal yang lain, khususnya semua institusi pengajian tinggi teknikal di bawah tajaan MARA dan lain-lain institusi teknikal sebagai perbandingan.

(c)                Kajian ini hanya menentukan hubungan antara beberapa faktor berkaitan dengan komputer dengan tahap penggunaan komputer sahaja. Bagi kajian masa hadapan, hubungan antara beberapa faktor berkaitan komputer dengan pembolehubah yang lain perlu dikaji.

(d)                Kajian ini hanya menggunakan analisis kekerapan, peratusan dan korelasi. Untuk kajian masa hadapan,  perlulah ditambah dengan analisis regresi berganda, untuk menentukan peratus sumbangan faktor-faktor yang dikaji. Analisis regresi juga membolehkan penyelidik menentukan faktor yang mana menyumbang lebih besar terhadap pembolehubah bersandar yang dikaji.

(e)                Maklumat kajian ini diperoleh daripada soal selidik semata-mata. Maka ketepatan hasil kajian bergantung kepada kejujuran dan keikhlasan pengajar dan pelajar. Dalam kajian lanjutan, kaedah lain seperti temubual dan pemerhatian perlu digunakan.

(f)                 Keperluan satu ujian perlu dibuat bagi mengetahui keperluan khas pengajar dan pelajar mengikut jabatan pengajian dan keperluan kursus yang diikuti. Untuk kajian lanjutan, penyelidik mencadangkan tumpuan perlu diberikan kepada aspek-aspek yang lain seperti kajian keberkesanan terhadap kepentingan dan pengurusan komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Ini boleh memberi dimensi yang lain terhadap kajian yang melibatkan penggunaan komputer.

 

5.7              RUMUSAN

 

Kajian ini mendapati wujud perkaitan antara umur, status sosioekonomi dan pemilikan komputer di rumah dengan tahap penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajar. Dapatan kajian juga mendapati faktor –faktor yang berkaitan dengan komputer yang dikaji dalam kajian ini mempunyai hubungan yang positif di kalangan pelajar dengan tahap penggunaan komputer. Sementara bagi pengajar pula, beberapa faktor yang dikaji didapati tidak mempunyai hubungan dengan tahap penggunaan komputer. Faktor tersebut adalah pengetahuan tentang penggunaan komputer, sikap terhadap penggunaan komputer dan kemudahan komputer serta prasarana. Untuk kajian lanjutan, dicadangkan kepelbagaian dari aspek dimensi dapat dijalankan bagi memberi keputusan yang lebih jitu dan menyeluruh terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.

Hosted by www.Geocities.ws

1