BAB    I

 

 

 

 

PENGENALAN

 

 

 

 

1.1      PendahuluaN

 

 

Bab ini menjelaskan secara ringkas tentang kajian yang dijalankan, yang meliputi latar belakang kajian, masalah kajian, kerangka konseptual kajian, tujuan kajian, kepentingan kajian, batasan kajian, dan definisi istilah. Bahagian tujuan kajian menjelaskan tentang objektif kajian, soalan kajian dan hipotesis kajian yang dibina untuk mencapai tujuan kajian. Bahagian definisi istilah pula menjelaskan istilah-istilah operational dalam kajian ini.

 

1.2              Latar belakang kajian

 

Ledakan era teknologi maklumat beranjak dari sistem analog kepada sistem digital, merubah rentak serta corak kehidupan manusia seharian. Jangkauannya meliputi seluruh aspek  daripada  pertanian,  perusahaan,  pengurusan,  ekonomi,   pendidikan dan  lain-lain (Mohd. Shanuddin   1996). Tapscott (Md.Yusof   2000) mengatakan kesan daripada ledakan teknologi maklumat ini amat jelas apabila kita melihat kepada kewujudan ekonomi digital sekarang.

 

 

Kerajaan dalam usahanya untuk  membudayakan teknologi maklumat dalam masyarakar telah melancarkan kempen   pemilikan  komputer (1 rumah 1 komputer). Dalam belanjawan 2000, kerajaan telah mengumumkan inisiatif yang membolehkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pembelian komputer bagi anak-anak yang berumur lebih 10 tahun. Kewujudan sekolah bestari, serta kurikulum yang mencerminkan pendidikan abad ke 21 juga menjadi teras kepada sistem pengurusan, pengajaran dan pembelajaran serta komunikasi (Md. Yusof   2000).

 

Komputer merupakan satu alat elektronik yang kompleks dan mempunyai banyak kelebihan. Kemampuan komputer dalam menjalankan pelbagai fungsi menjadikannya sebagai  satu alat   bantuan   yang   penting dalam  proses  pengajaran dan   pembelajaran di sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi. Heinich et al. (1996) menegaskan bahawa komputer dapat memperkayakan teknik pengajaran. Sementara Giesert dan Futrell (Jamaluddin & Muhamad Hassan 1997) menyatakan bahawa seseorang guru yang menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran boleh dikategorikan sebagai mempunyai bakat dan berkebolehan tambahan. Pengajaran yang menggunakan alat bantu mengajar terkini akan dapat menambahkan minat pelajar mempelajari sesuatu bidang.

 

Fenomena ledakan maklumat dan kemajuan sains dan teknologi dalam abad ke 21 juga memerlukan program pendidikan guru yang relevan dan pengurusan yang cekap. Penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar yang canggih dan teknologi yang tinggi perlu digalak untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Para guru digalakkan untuk menggunakan bahan bantu mengajar dalam pengajaran mereka untuk menarik minat pelajar dan membantu mereka memaham sesuatu topik. Heinich et al. (1996) mengatakan bahawa komputer dapat digunakan secara sistematik dan berkesan oleh guru-guru dan mampu menyelesaikan masalah tertentu dalam pengajaran dan pembelajaran.

 

Dalam konteks pendidikan, komputer bukan hanya mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, tetapi berpotensi sebagai alat untuk mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran bagi semua mata pelajaran. Penciptaan mikrokomputer pada awal tahun 70'an telah memberi kesan yang mendalam kepada penggunaan teknologi tersebut dalam bidang pendidikan di Malaysia (Norhashim et al. 1996).

 

Untuk mencapai hasrat supaya masyarakat celik komputer dan teknologi maklumat, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan sukatan pelajaran Literasi Komputer di peringkat sekolah menengah dan Sukatan Pelajaran Komputer Dalam Pendidikan di semua maktab perguruan pada tahun 1990. Syor Pelan Perkomputeran Bersepadu yang dikemukakan oleh jawatankuasa bersama Kementerian Pendidikan dan Institut Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) pada tahun 1989 merupakan kurikulum yang digubal bagi tujuan tersebut. Objektif Sukatan Pelajaran Komputer Dalam Pendidikan ialah untuk memastikan guru-guru pelatih didedahkan kepada teknologi maklumat. Di samping itu, guru pelatih juga akan dilengkapkan dengan pengetahuan asas untuk membolehkan mereka meneruskan proses pembelajaran dalam bidang ini selepas menjalani latihan perguruan (Sukatan Pelajaran Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan   1998).

 

Dewasa ini, alam pendidikan telah dibanjiri dengan pelbagai perisian, cakera video, CD-ROM dan lain-lain media pendidikan. Bahan-bahan berteknologi tinggi ini boleh mewujudkan situasi yang merangsangkan minat, mencetuskan pertanyaan, mencari penyelesaian masalah atau mendorong memotivasikan ke arah penyelidikan. Aspek teknologi ini telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan ingatan kepada pengetahuan, pemikiran, kreativiti dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini  (Kementerian Pendidikan Malaysia   1997) .

 

Penggunaan internet kini semakin bertambah untuk mencari bahan pengajaran dan pembelajaran. Kemudahan ini meningkat dengan wujudnya pelbagai laman sesawang yang berjaya mempersembahkan maklumat dalam bentuk multimedia yang dapat menambah minat dan motivasi pelajar. Melalui lebih daripada 50 ribu rangkaian komputer di seluruh dunia, 6.6 juta  komputer hos dan 50 juta pengguna daripada lebih 160 buah negara, penggunaan teknologi ini senantiasa bertambah dari hari ke hari (Zoraini   1995) . Apabila semua peringkat guru dapat memahami tentang komputer dan mempunyai sikap positif terhadapnya, barulah mereka boleh mendidik pelajar supaya menjadi anggota masyarakat yang boleh berfikir dan cekap menggunakan teknologi. Ini bersesuaian dengan hasrat Perdana Menteri (Mahathir  1991) yang mengatakan usaha bersungguh-sungguh dalam membangunkan sumber manusia adalah ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang kaya maklumat menerusi penguasaan literasi komputer.

 

            Menurut Mohd. Shanuddin (1996), internet yang menyediakan perkhidmatan seperti mel elektronik, Protokol Pindah Fail (File Transfer Protocol - FTP), Net Meeting dan World Wide Web (WWW) boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Terdapat banyak laman sesawang yang dibina bagi tujuan pendidikan. Guru-guru dan pelajar boleh menfaatkan kemudahan ini. Mel elektronik atau membolehkan guru dan pelajar berinteraksi dengan mudah tanpa dibatasi oleh jarak dan masa. Guru juga boleh berhubung melalui komputer di mana komputer akan menyimpan mesej atau pesanan suara yang boleh dicapai pada bila-bila masa oleh pelajar sehingga pelajar menghapuskannya daripada ingatan komputer mereka.

 

Menurut Zoraini  (1996), terdapat empat peranan utama WWW dalam pendidikan, iaitu sebagai tutor, pusat penerbitan, forum dan pengemudi. Sementara itu komputer dalam pendidikan memainkan tiga peranan utama iaitu tutor, alat dan tutee. Ini di ambil dari cadangan Taylor (Zoraini   1992) yang menyebut tiga peranan ini sering dikenali sebagai 3T. Sebagai tutor, komputer berperanan sebagai pengajar iaitu melalui pendekatan pengajaran berbantukan komputer. Sebagai alat, komputer menjadi alat untuk memudahkan proses pengajaran dan sebagai tutee pula, komputer berperanan sebagai alat yang diajar.

 

1.3              Masalah Kajian 

 

Guru memainkan peranan yang penting dalam sistem pendidikan. Merekalah yang banyak menyumbang ke arah kemajuan dan anjakan dalam memberikan perkhidmatan yang bermutu dan terbaik. Sikap para guru akan menentukan keceriaan dan keberkesanan suasana pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu menyesuaikan penggunaan alat teknologi canggih dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran mereka. Oleh itu, guru yang bersikap positif dan memajukan diri akan menfaatkan teknologi terkini dalam pendidikan.

 

 Ini sesuai dengan falsafah Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (1987) yang menekankan bahawa penggunaan pelbagai jenis media elektronik dan teknologi terkini secara terancang, boleh mengukuhkan proses pengajaran-pembelajaran di sekolah. Penggunaan teknologi canggih dan terkini juga memberi peluang kepada setiap murid untuk menguasai ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih menarik dan berkesan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang bertujuan untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu (Md. Yusof   1993)

 

Rasa risau untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa akan merosakkan dunia pendidikan, kerana  teknologi berubah  terlalu pantas.  Menurut Zoraini (1998), terdapat tiga jenis kerisauan dalam penggunaan komputer; iaitu (a) takut sekiranya komputer rosak apabila disentuh, (b) takut kerana tidak berupaya mempelajari perkara yang dianggap berteknologi tinggi dan (c) takut sekiranya sekolah mengarahkan guru yang tahu dan mahir komputer untuk membuat segala tugas yang memerlukan penggunaan komputer . Kerisauan inilah antara penghalang dalam penggunaan komputer di kalangan guru dan pelajar di sekolah atau di  institusi pengajian tinggi.

 

Penggunaan komputer dalam sistem pendidikan di Malaysia  telah menukar corak pendidikan yang biasanya berbentuk konvensional. Komputer yang digunakan sebagai alat dalam pengajaran dan pembelajaran telah banyak memudahkan tugas-tugas guru yang semakin hari semakin mencabar. Bentuk pendidikan masa hadapan juga telah mempengaruhi penggunaan komputer dalam sistem pendidikan kita. Penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran berkait dengan penggunaannya sebagai alat bantu mengajar atau alat yang mengendalikan pengajaran. Menurut Tengku Zawawi (1997), penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran melibatkan beberapa aplikasi seperti pemprosesan data, hamparan elektronik, pangkalan data, multimedia dan internet. Pada masa kini, penggunaan komputer merujuk kepada penggunaan perisian multimedia dan rangkaian internet yang menghubungkan berjuta-juta komputer di seluruh dunia. Penggunaan teknologi ini dapat dilihat dari tiga aspek yang utama iaitu pengajaran guru, pengurusan dan pembelajaran.

 

WWW  merupakan satu pendekatan yang mengabungkan maklumat yang ada dalam internet, dan membolehkannya dilakukan dengan menggunakan satu protokol yang mudah. WWW berasaskan satu konsep yang amat mudah -- HyperText Markup Language (HTML) dan Universal Resource Locator (URL). Menurut Zoraini (1996), pengguna boleh membuat jalinan ke mana-mana sahaja sumber maklumat yang disambungkan dengan sistem ini. Penggunaan HTML membolehkan guru-guru menjalankan pengajaran, ujian atau menghantar nota-nota pelajaran kepada pelajar-pelajar mereka.  Pelajar pula boleh mengikuti pembelajaran berdasarkan kesesuaian masa mereka dan pengajaran tidak terbatas di dalam bilik-bilik kuliah sahaja. Pelajar boleh mencuba soalan-soalan yang dibina dan menguji tahap kefahaman mereka terhadap sesuatu topik. Menurut Shyam dan Gloria (1997), pelajar boleh melayari laman sesawang dan menjadikannya sebagai medium utama dalam penghasilan dan penyebaran bahan-bahan pendidikan. Laporan Jemaah Nazir Sekolah (Sumilah  1997), tentang penggunaan media elektronik telah menyatakan:

Penggunaan sumber-sumber pendidikan oleh pelajar-pelajar dan guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran adalah pada kadar yang rendah disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kekurangan kemudahan fizikal, kekurangan koleksi sumber-sumber pendidikan, kekurangan tenaga manusia yang terlatih, kelemahan dalam pengurusan pusat sumber sekolah, sikap dan minat guru yang tidak mengalakkan  serta kurang bimbingan dan penyeliaan pihak sekolah.

 

Nyatalah dari segi amalannya,  pembudayaan media elektronik belum boleh dikatakan telah berlaku secara menyeluruh. Kesungguhan pihak penggubal dasar, khususnya Kementerian Pendidikan, jelas   menunjukkan usaha-usaha telah dijalankan secara berterusan, tetapi dari segi penerimaan dan perlaksanaannya di peringkat sekolah, masih belum memuaskan lagi.

 

            Kaedah pengajaran dan pembelajaran rata-rata masih secara konvesional, terlalu berpusatkan kepada guru, terikat  dengan faktor masa, ruang dan peluang. Halimah (1996) mengatakan penggunaan media dalam pengajaran dan pembelajaran terutamanya komputer dan internet masih kurang. Suasana  pengajaran  dan pembelajaran yang tidak interaktif, elemen-elemen seperti bunyi, grafik, animasi, warna dan sebagainya tidak dioptimakan penggunaannya. Penjelasan atau penerangan sesuatu proses terlalu statik dimana elemen-elemen audio dan video tidak dapat diterapkan.

 

Melihat kepada kepentingan dan kemampuan komputer dalam menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan, maka tenaga pengajar dan pelajar perlu menfaatkan peluang ini. Peranan komputer di dalam pendidikan telah dibuktikan berkesan dan dapat menarik minat dan motivasi pelajar untuk mengikuti pembelajaran. Taylor (Md Yusof   2000) menyenaraikan tiga fungsi utama komputer dalam pendidikan iaitu sebagai tutor, tutee dan tool (3T). Peranan komputer sebagai pengajar, pelajar dan alat ini seharusnya dikembangkan bersama-sama pembelajaran berasaskan komputer iaitu: belajar dari komputer, belajar mengenai komputer dan belajar dengan komputer.

 

1.4      Kerangka Konseptual Kajian  

 

Pengetahuan dan pemahaman yang cetek terhadap komputer akan melambatkan penerapan inovasi teknologi maklumat dalam pendidikan. Kemampuan guru dan pelajar melaksanakan inovasi komputer dalam pendidikan bergantung kepada tahap pengetahuan dan pemahaman tentang komputer. Seterusnya keputusan untuk melaksanakan sesuatu inovasi bergantung kepada tahap pengetahuan individu Rogers (Roslina   1999) . Sesuatu inovasi itu tidak akan dilakukan jika pelajar dan guru tidak faham bagaimana menggunakan sesuatu perubahan itu di dalam persekitaran yang sedia ada (Chiero   1997).

 

            Kesedaran tentang kepentingan inovasi teknologi maklumat adalah berkait rapat dengan sikap guru dan pelajar terhadap komputer. Sikap terhadap komputer merupakan komponen dalam objektif program literasi komputer (Heinich et al.   1996). Kajian-kajian Garder et al. (1986), Ee (1992) dan Zulkifli dan Raja Maznah (1994) menunjukkan penerimaan guru terhadap penggunaan komputer dalam pendidikan adalah bergantung kepada sikap positif terhadap komputer. Menurut Heinich et al. (1996), sikap terhadap komputer adalah penerimaan seseorang terhadap komputer sebagai alat yang berguna dalam melakukan sesuatu pekerjaan dan seterusnya untuk meningkatkan produktiviti. Oleh itu, permasalahan kajian ini ialah mengenal pasti sikap tenaga pengajar dan pelajar terhadap komputer.

 

Motivasi adalah aspek yang penting dalam pembelajaran, yang merupakan dorongan semula jadi untuk belajar dalam diri individu. Teori Pengajaran Pemprosesan Maklumat Gagne (Amir Awang   1986) juga meletakkan motivasi sebagai salah satu daripada lapan fasa pengajaran dan pembelajaran dan proses yang berkaitan dengannya.. Menurut Amir Awang (1986), tiap-tiap orang melakukan sesuatu bagi mencapai sesuatu matlamat yang boleh membawa kepuasan kepada dirinya. Menurut beliau lagi, dalam pembelajaran, kita sering didorongkan pelbagai motivasi. Kewujudan motivasi inilah yang mendorong manusia terus belajar dan berkembang. Dalam kajian ini, pengkaji ingin mengenalpasti tahap motivasi pelajar dan guru terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.

 

Kemudahan prasarana adalah pra syarat kepada penggunaan sesuatu teknologi. Menurut Sumilah (1997), antara kekangan-kekangan terhadap penggunaan media elektronik di kalangan guru pelatih adalah kemudahan fizikal dan infrastruktur. Menurut beliau, ketiadaan faktor ini menyebabkan guru-guru tidak berminat untuk menggunakan media elektronik. Rohaty et al. (1990) dalam kajian mereka menegaskan perlunya pihak universiti menyediakan infrastruktur yang sewajarnya bagi mengalakkan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam kajian ini, pengkaji ingin menilai tahap kemudahan infrastruktur dalam penggunaan komputer.

            Keperluan latihan atau kursus adalah menjadi sebahagian program yang boleh meningkatkan kemahiran dan pemahaman seseorang terhadap sesuatu perkara. Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan guru-guru tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran tentang penggunaan komputer. Antaranya, kajian Sumilah (1997) mendapati 99.3 % guru pelatih memerlukan kursus penggunaan komputer. Dapatan kajian Zulkifli dan Raja Maznah (1994) juga mencadangkan agar lebih banyak bengkel, seminar dan pendedahan terhadap penggunaan komputer dalam pendidikan dapat dilaksanakan bagi menarik minat dan mengubah sikap guru-guru pelatih terhadap komputer. Dapatan kajian Rohaty et al. (1990) juga menjelaskan pensyarah-pensyarah merasakan keperluan menghadiri kursus-kursus tertentu yang boleh membantu mereka menguasai beberapa kemahiran terutamanya dalam pembangunan perisian dan pengurusan pengajaran berbantukan komputer. Dalam kajian ini, pengkaji ingin mengenalpasti keperluan latihan dan kursus bagi tenaga pengajar dan pelajar dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tentang komputer.

 

            Linda (1999)   mengatakan   guru-guru   kurang   menggunakan  internet,  simulasi, CD-ROM dan papan buletin dalam pendidikan. Beliau menambah ketiadaan kemahiran dalam penggunaan komputer adalah penghalang utama terhadap penggunaannya. Rohaty et al. (1990) mengatakan halangan-halangan dalam penggunaan komputer adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti pensyarah berpuas hati dengan pengajaran mereka, komputer sangat mahal, bilangan komputer yang tidak mencukupi, menggunakan komputer mengambil masa yang lama dan tidak mempunyai kemahiran dalam menggunakan komputer.

 

            Daripada dapatan-dapatan kajian di atas, pengkaji membentuk sebuah model kerangka konseptual untuk kajian ini. Hubungan antara faktor-faktor yang dinyatakan dapat membantu pengkaji menentukan hala tuju kajian ini, seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.1: Hubungan antara pengetahuan tentang penggunaan komputer, kemahiran menggunakan komputer, kepentingan menggunakan komputer, sikap terhadap penggunaan komputer, motivasi menggunakan komputer, prasarana dan kemudahan komputer, pengalaman menggunakan komputer, keperluan kursus dan latihan komputer terhadap tahap penggunaan komputer.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Rajah 1.1    Hubungan Antara Beberapa Faktor Dengan Tahap

                                            Penggunaan  Komputer.

 

 

 

 

 

 

 

1.5      Tujuan Kajian    

 

Kajian ini dilaksana untuk menentukan tahap penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar dan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta teknikal. Selain itu, pengkaji cuba mengaitkan beberapa faktor (seperti rajah 1.1) dengan tahap penggunaan komputer.

 

1.5.1        Objektif Kajian 

 

Kajian ini dijalankan bagi mencapai objektif-objektif berikut :

(a)    Menentukan tahap pengetahuan tentang komputer di kalangan tenaga pengajar

      dan pelajar di institusi pengajian tinggi teknikal swasta.

(b) Menentukan tahap pengetahuan tentang penggunaan komputer di kalangan

      tenaga pengajar dan pelajar di institusi pengajian tinggi teknikal swasta.

(c) Menentukan tahap kepentingan penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar

      dan pelajar di institusi pengajian tinggi teknikal swasta.

(d) Menentukan tahap kemahiran menggunakan komputer di kalangan tenaga pengajar

      dan pelajar di institusi pengajian tinggi teknikal swasta.

(e) Menentukan sikap pengajar dan pelajar terhadap penggunaan komputer di institusi

     pengajian tinggi teknikal swasta.

(f) Menentukan motivasi tenaga pengajar dan pelajar terhadap penggunaan komputer

     di institusi pengajian tinggi teknikal swasta.

(g) Menentukan tahap kemudahan prasarana dan kemudahan komputer di institusi

     pengajian tinggi teknikal swasta.

(h) Menentukan tahap penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar dan pelajar di

     institusi pengajian tinggi teknikal swasta.

(i) Menentukan perkaitan antara umur, status sosioekonomi, pengalaman kerja dan

     pemilikan komputer di rumah dengan tahap penggunaan komputer di kalangan 

     pengajar dan pelajar di institusi pengajian tinggi teknikal swasta.

(j) Menentukan hubungan antara pengetahuan tentang komputer, kemahiran

    menggunakan komputer, kepentingan menggunakan komputer, sikap, motivasi dan

    kemudahahan prasarana dan komputer dengan tahap penggunaan komputer di kalangan

    tenagapengajar dan pelajar di institusi pengajian tinggi teknikal swasta.

 

1.5.2    Soalan Kajian  

 

Untuk mencapai objektif-objektif tersebut, pengkaji cuba menjawab soalan-soalan

berikut :

(a) Apakah tahap pengetahuan tentang komputer di kalangan tenaga pengajar dan

      pelajar ?

(b) Apakah tahap pengetahuan tentang penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar 

      dan pelajar ?

(c) Apakah tahap pengetahuan tentang kepentingan penggunaan komputer di kalangan

      tenaga pengajar dan pelajar ?

(d) Apakah tahap kemahiran menggunakan komputer di kalangan tenaga pengajar dan

      pelajar ?

(e) Apakah sikap tenaga pengajar dan pelajar terhadap penggunaan komputer ?

 

(f) Apakah tahap motivasi dalam penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar dan

     pelajar ?

(g) Melihat apakah kemudahan prasarana dan kemudahan komputer mencukupi

      bagi tenaga pengajar dan pelajar dalam penggunaan komputer ?

(h) Apakah tahap penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar dan pelajar ?

(i)  Adakah wujud perkaitan antara umur, status sosioekonomi, pengalaman kerja dan

     pemilikan komputer di rumah dengan tahap penggunaan komputer di kalangan

     pengajar dan pelajar ?

(j) Menentukan adakah wujud hubungan antara tahap pengetahuan tentang komputer,    pengetahuan tentang penggunaan komputer, kemahiran menggunakan komputer, kepentingan menggunakan komputer, sikap, motivasi dan prasarana dan kemudahan komputer  dengan tahap penggunaan komputer di kalangan tenaga pengajar dan

pelajar ?

 

1.5.3.          Hipotesis Nol Kajian  

 

Untuk menjawab soalan-soalan berikut, 16 hipotesis nol kajian telah dibentuk :

(a) Tiada perkaitan antara umur dengan tahap penggunaan komputer di kalangan

      pengajar dan pelajar.

(b) Tiada perkaitan antara status sosioekonomi dengan tahap penggunaan komputer

      di kalangan pengajar dan pelajar.

(c) Tiada perkaitan antara pemilikan komputer di rumah dengan tahap penggunaan

      komputer di kalangan pengajar dan pelajar.

(d) Tiada hubungan antara pengetahuan tentang komputer dengan tahap penggunaan

      komputer di kalangan pengajar.

(e) Tiada hubungan antara pengetahuan tentang penggunaan komputer dengan tahap

      penggunaan komputer di kalangan pengajar.

(f) Tiada hubungan antara kepentingan penggunaan komputer dengan tahap

      penggunaan komputer di kalangan pengajar.

(g) Tiada hubungan antara kemahiran menggunakan komputer dengan tahap

      penggunaan komputer di kalangan pengajar.

(h) Tiada hubungan antara sikap terhadap komputer dengan tahap penggunaan

      komputer di kalangan pengajar.

(i) Tiada hubungan antara motivasi dengan tahap penggunaan komputer

      di kalangan pengajar.

(j) Tiada hubungan antara prasarana dan kemudahan komputer dengan tahap

     penggunaan komputer di kalangan pengajar.

(k) Tiada hubungan pengetahuan tentang komputer dengan tahap penggunaan

      komputer di kalangan pelajar.

(l)  Tiada hubungan antara pengetahuan tentang penggunaan komputer dengan tahap

      penggunaan komputer di kalangan pelajar.

(m) Tiada hubungan antara kepentingan penggunaan komputer dengan tahap

       penggunaan komputer di kalangan pelajar.

(n) Tiada hubungan antara kemahiran menggunakan komputer dengan tahap

      penggunaan komputer di kalangan pelajar.

(o) Tiada hubungan antara sikap terhadap komputer dengan tahap penggunaan

      komputer di kalangan pelajar.

(p) Tiada hubungan antara motivasi dengan tahap penggunaan komputer

      di kalangan pelajar.

(q) Tiada hubungan antara prasarana dan kemudahan komputer dengan tahap

      penggunaan komputer di kalangan pelajar.

 

1.6          Kepentingan KajiaN

 

Kajian ini penting bagi sesebuah institusi dalam menilai tahap penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan pengajar dan pelajarnya. Ini membolehkan pihak-pihak tertentu mengenal pasti apakah tahap penggunaan komputer ini selari dengan misi dan objektif institusi serta hasrat untuk menggunakan teknologi canggih dalam sistem pendidikannya. Kajian ini juga penting dalam mengenalpasti tahap kemahiran dan kepentingan penggunaan komputer di kalangan pengajar dan pelajarnya. Ini penting bagi pihak pengurusan merancang dan merangka program dalam meningkatkan kemahiran dan mutu persembahan dalam perkara yang berkaitan dengan komputer.

 

Kajian ini juga mengkaji tentang keperluan kursus dan penyelenggaraan komputer serta mengenalpasti kemudahan prasarana. Bagi ketua-ketua jabatan, dapatan kajian ini boleh menolong mereka untuk merangka keperluan kursus dan menyediakan kemudahan prasarana yang lebih baik bagi mengalakkan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan tenaga pengajar dan pelajarnya. Ianya juga dapat memberi maklumat tentang bentuk kursus serta kemudahan-kemudahan prasarana yang perlu diberi perhatian dalam menyediakan kelengakapan yang lebih sempurna dan terkini.

 

Dapatan kajian ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada tenaga pengajar dan pelajar tentang kepentingan dan kelebihan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Ianya secara tidak langsung menyedarkan pengajar dan belajar bahawa komputer boleh memainkan peranan sebagai alat bantuan dalam pengajaran dan pembelajaran. Ia juga boleh mengalih daripada memberi pengisian secara tradisional iaitu perkuliahan kepada bentuk presentasi yang lebih menarik. Walaupun guru boleh melakukan sesuatu perkara lebih baik daripada komputer, tetapi alangkah baik sekiranya guru dapat menggunakan komputer sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan sebarang masalah dalam pengajaran dan pembelajaran.

 

            Akhirnya, dapatan kajian ini juga boleh memberi maklumat kepada pihak MARA untuk mengalakkan penggunaan komputer di kalangan pensyarah dan pelajar-pelajar di bawah tajaannya, terutama di semua Institut Kemahiran Tinggi MARA (IKTM) yang menawarkan kursus-kursus bertaraf profesional dan kemahiran tinggi. Hal ini penting bagi pihak MARA merangka strategi yang lebih berkesan terhadap perlaksanaan program-program baru agar tenaga pengajar dan pelajarnya tidak ketinggalan dari aspek perkembangan teknologi semasa seperti penggunaan komputer dan internet.

 

1.7            Batasan Kajian 

 

Kajian ini berbentuk kajian kes, yang hanya melibatkan sebahagian tenaga pengajar

dan pelajar-pelajar semester 2 dan 4.  Sebahagian pelajar dan tenaga pengajar pernah didedahkan dengan penggunaan komputer sebelum memasuki Institut ini. Tahap pemahaman dan pengetahuan diukur menggunakan soal selidik yang dibina berdasarkan Sukatan Pelajaran Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah 1998.  Ianya telah disesuaikan dengan keperluan penyelidikan ini. Dapatan daripada kajian ini tentunya tidak mengambarkan situasi sebenar di semua institusi teknikal di Malaysia.

 

            Sikap terhadap komputer diukur menggunakan Skala Sikap Terhadap Komputer

( Attitude Toward Computer Scale - ATCS). Skala ini disesuaikan berdasarkan ATCS yang dicipta Francis  (Walters & Necessary   1995). Soal selidik ATCS adalah mudah difaham dan pentadbiran soal selidik ini mudah dijalankan. Responden kajian boleh menjawab soalan dalam masa yang singkat. Soal selidik ATCS ini mengandungi lebih dari dua puluh soalan, tetapi dalam kajian ini pengkaji telah memilih sepuluh soalan saja. Pemilihan sepuluh soalan ini tentunya memberi kesan terhadap dapatan kajian ini. Soal kesesuaian item dengan keperluan kajian ini juga dibuat berdasarkan keperluan semasa dan faktor keperluan tempatan.

 

Masa yang digunakan untuk melengkapkan kajian ini adalah selama empat bulan. Ini menjadi kekangan untuk menjalankan kajian ini secara mendalam. Kajian ini juga tidak mengambil kira pembolehubah-pembolehubah lain, yang mungkin mempengaruhi dapatan kajian ini. Kajian ini juga banyak bergantung kepada kefahaman dan kejujuran responden semasa menjawab soal selidik yang diberikan. Kejujuran dan kefahaman yang tinggi boleh menyumbang ke arah keputusan yang lebih tepat dan memenuhi tujuan kajian. Alat kajian soal selidik mungkin tidak dapat menjawab dengan tepat kepada semua persoalan kajian yang ingin dijawab pengkaji. Maka perlu adanya alat tambahan atau tambahan item / dimensi dalam soal selidik yang dibuat. Dimensi serta bilangan item dalam setiap dimensi juga boleh memberi kesan ke atas keseragaman dan konsistensi dalam menjawab soalan-soalan dalam soal selidik.

1.8       Definisi Istilah

 

Bahagian ini memberikan definisi kepada istilah-istilah penting yang digunakan dalam kajian ini. Istilah-istilah tersebut ialah pengajaran, pembelajaran, sikap, motivasi, pengetahuan dan kemahiran, prasarana komputer dan kemudahan komputer.

 

1.8.1    Pengajaran

Menurut Robiah Sidin (1998), istilah pengajaran bermaksud usaha yang dibuat bagi membolehkan pembelajaran berlaku dalam diri orang lain. Ia merangkumi penyediaan rancangan-rancangan dan penggunaan teknik-teknik, alat dan sumber-sumber tertentu. Dengan itu dapat dikatakan pengajaran adalah usaha yang diatur dan mempunyai matlamat, yang biasanya untuk mencapai sesuatu yang boleh diukur kejayaannya. Dalam kajian ini, pengajaran adalah segala proses penyampaian ilmu pengetahuan dari seorang guru kepada pelajar yang merangkumi segala aspek-aspek yang berkaitan dengan teknik-teknik, alat-alat dan sumber-sumber tertentu.

 

1.8.2    Pembelajaran 

Menurut Tyler (Robiah Sidin   1998), pembelajaran adalah satu proses di mana pelajar itu membentuk cara pemikiran yang baru atau mengubahsuaikan pemikiran yang lama, yang seterusnya ia menunjukkan perubahan dalam tingkahlaku. Menurut Zanden dan Pace

(Amir Awang   1986), pembelajaran adalah sesuatu perubahan yang agak kekal di dalam tingkah laku atau kebolehan yang terhasil melalui pengalaman. Ia dapat diinferansikan daripada perubahan-perubahan tingkahlaku yang agak stabil lantaran interaksinya dengan persekitaran. Dalam kajian ini, pembelajaran adalah satu proses yang berlaku di dalam diri seseorang, ianya merupakan satu perubahan dalaman, pembentukan perkaitan-perkaitan baharu, ataupun potensi-potensi untuk tindak-tindak balas yang baharu. Pembelajaran membawa perubahan-perubahan yang agak kekal di dalam kebolehan seseorang.

 

1.8.3        Laman Sesawang

Menurut Mohd. Shanuddin (1996), laman sarang ialah satu laman yang dibina untuk mengabungkan maklumat yang ada dalam internet, dan membolehkan ianya dilakukan menggunakan satu protokol yang mudah. Ianya direka dengan menggunakan prinsip hyperteks di mana perkataan-perkataan dalam dokumen bolen dijalinkan (link) ke dokumen yang lain. Dalam kajian ini, laman sesawang bermaksud semua laman yang dibina dalam internet bagi membolehkan pengguna mengakses maklumat. Laman sesawang ini menggunakan prinsip jalinan (link) yang membolehkan pengguna menjalinkan maklumat dari satu dokumen ke satu dokumen menggunakan prinsip hyperteks dan hypermedia.

 

1.8.4        Multimedia

Menurut Feldman (1994), multimedia merangkumi pelbagai media seperti teks, grafik, animasi, imej, suara dan video. Menurut Thompson (Munir   1997), multimedia merupakan satu sistem yang mengabungkan pelbagai media seperti teks, grafik, suara imej, animasi dan video yang membolehkan berlakunya interaktiviti. Konsep ini mengabungkan unsur hyperteks dan hypermedia. Dalam kajian ini, multimedia bermaksud segala bahan pengajaran dan pembelajaran yang mengabungkan unsur-unsur teks, grafik, animasi, imej, suara dan video seperti CD-ROM, permainan komputer dan program komputer bagi membolehkan pengalaman sebenar terhadap tajuk yang diajar atau dipelajari. Tujuan utama penggunaan multimedia adalah sebagai alat komunikasi yang boleh meransang pelbagai deria.

 

1.8.5        Sikap

Philip Zimbardo (Abdullah &  Ainon   1997) mengatakan sikap ialah keadaan di mana fikiran kita berada dalam keadaan bersedia untuk melakukan penilaian atau tindakan pada bila-bila masa sahaja. Sikap juga merupakan gambaran kepercayaan seseorang berkenaan sesuatu perkara. Menurut mereka lagi, sikap mempunyai tiga dimensi, iaitu dimensi kognitif, dimensi afektif dan dimensi perilaku. Menurut Mohd Makzan (1997) pula, sikap dapat didefinisikan sebagai penilaian umum yang kekal yang dibuat oleh individu terhadap diri sendiri, individu lain, objek atau isu. Kekal disini bermaksud sikap cenderung untuk berterusan merintangi faktor masa. Dalam kajian ini, sikap bermaksud segala ransangan dan kecenderungan seseorang itu, atau tingkahlaku untuk membuat sesuatu bagi memenuhi objektif-objektif tertentu. Ransangan yang ditumpukan dalam kajian ini ialah komputer. Sikap yang dikaji ialah kecenderungan bersikap positif dan negatif terhadap penggunaan komputer. Dalam kajian ini, kecenderungan bersikap negatif atau positif diukur dengan menggunakan Attitude Toward Computer Scale (ATCS) yang dibentuk oleh Francis

(Walters & Necessary   1995).

 

1.8.6        Motivasi

Saedah et al. (1996) mengatakan motivasi ialah penggerak kepada kemahuan dan keinginan untuk berjaya atau mencapai sesuatu. Motivasi juga dikatakan sebagai rancangan untuk kejayaan seseorang atau ransangan untuk mengelakkan diri dari kegagalan. Crooks dan Stein (Mahmood Nazar   1990) pula mendefinisikan motivasi sebagai sebarang keadaan yang mendorong dan mengarah sesuatu tingkah laku. Ia merangkumi aspek fisiologi dan aspek kognitif (pemikiran) manakala menurut Hamachek (1990) pula, motivasi bermaksud kemahuan seseorang untuk melakukan sesuatu dan ia berkait rapat dengan tujuan atau motif yang berfungsi untuk memberi tenaga atau kekuatan, mengarah dan menjurus jenis tingkah laku yang bersesuaian dalam mencapai tujuan atau motif tersebut. Dalam kajian ini, motivasi bermaksud kecenderungan atau kemahuan seseorang menggunakan komputer dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

 

1.8.7        Pengetahuan dan Pemahaman

Bloom (Roslina  1999) menyatakan pengetahuan ialah kebolehan mengingat atau mengenali bahan-bahan yang dipelajari tanpa perlu memahami, mengguna atau menukarnya. Definisi pengetahuan yang digunakan dalam kajian ini merujuk semua fakta dan maklumat yang diperolehi hasil dari pengalaman atau pendedahan sebelum ini. Fakta dan maklumat ini termasuklah mengetahui istilah-istilah khusus, mengenali pelbagai komponen dalam sistem komputer, mengetahui situasi bagaimana sesuatu alatan komputer digubakan dan menghuraikan kegunaan komputer. Pemahaman ialah keupayaan memahami makna atau maksud sesuatu perkara yang dikomunikasikan tanpa perlu menghubungkan kepada bahan lain (Roslina   1999).  Dalam kajian ini, pemahaman bermaksud  kemampuan memahami penggunaan komputer untuk pelbagai fungsi seperti pemprosesan perkataan (word processing) dan pangkalan data (database). Pengetahuan tentang komputer dalam kajian ini bermaksud pengetahuan secara umumnya tentang komputer  dari segi istilah-istilah, sejarah dan mengenali secara umumnya pelbagai komponen dalam sistem komputer. Pengetahuan tentang penggunaan komputer pula bermaksud keupayaan dan kemampuan memahami penggunaan komputer untuk pelbagai fungsi.

 

1.8.8        Prasarana Komputer

Prasarana komputer ialah segala kemudahan infrastruktur yang dibina bagi menyokong penggunaan komputer. Menurut Zoraini (1998), prasarana ini meliputi ruang atau tempat, sistem pendawaian dan punca kuasa elektrik, kemudahan perabut, keselamatan dan sebagainya. Dalam kajian ini, prasarana komputer bermaksud kemudahan seperti bilik atau makmal komputer, kemudahan rangkaian, soal-soal keselamatan peralatan dan perisian, sistem pengudaraan dan sebagainya. Ringkasnya, segala kemudahan yang disediakan bagi membolehkan segala proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan menggunakan komputer.

 

1.8.9        Kemudahan Komputer

Kemudahan komputer adalah merupakan segala kemudahan dari aspek kebendaan

(perkakasan dan perisian) yang berkaitan dengan komputer itu sendiri. Menurut Zoraini (1992), perkakasan merupakan komponen fizikal sesebuah komputer seperti pemacu cakera, modem, pencetak, papan kekunci dan tetikus. Perisian merupakan program atau arahan komputer yang dilaksanakan untuk menjalankan sesuatu tugas. Dalam kajian ini, kemudahan komputer bermaksud perkakasan dan perisian yang disediakan bagi membolehkan pengajar atau pelajar menggunakan komputer dalam melakukan sesuatu tugasan. Ini termasuklah segala sistem komputer dan komponen-komponen utamanya dan segala bentuk perisian samada perisian sistem atau perisian aplikasi. Contoh perisian sistem ialah DOS (Disk Operating System), CP/M dan Unix. Contoh perisian aplikasi pula adalah seperti Microsoft Office, WordPerfect, Fontasy, Lotus 1-2-3, Photoshop, Dbase IV, CorelDraw, PrintShop, AutoCad dan sebagainya.

 

1.9        RUMUSAN  

 

 

Kemampuan komputer dan peranannya dalam membantu guru-guru dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran tidak boleh dinafikan lagi. Komputer sebagai alat dalam pembelajaran, membentuk ke arah pemikiran kritis dan kreatif serta memotivasikan diri (Jonassen   1996). Tujuan kajian ini dilakukan adalah bagi melihat dan mengenalpasti tahap penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di sebuah Institusi Teknikal. Kajian ini penting bagi memberi maklumat kepada pihak-pihak tertentu dalam merangka dan menyusun strategi bagi meningkatkan penggunaan teknologi semasa dalam proses pendidikan yang sering berubah. Ini bertepatan pula dengan hasrat dan wawasan negara yang menitik beratkan penggunaan teknologi terkini dalam era teknologi maklumat, yang memerlukan pengajar dan pelajar yang bersikap positif dan berdaya saing dalam menakluki teknologi semasa.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1