General Discussion About Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (in Malay). Perbincangan Umum Mengenai Sultan Haji Omar Ali Saifuddien


Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien


Assalamualaikum

Persoalan yang pertama yang ingin kita perbincangkan ialah bilakah Sultan Haji Omar Ali diputerakan?

Berdasarkan kepada penulisan Yang Dimuliakan Pehin Pengetua Pusat Sejarah,Sultan Haji Omar Ali Saifuddien adalah putera yang ketujuh daripada sepuluh orang adik beradik. Tetapi kebanyakan adinda-adinda baginda telah lindung masa kecil dan remaja kecuali kekanda baginda Sultan Ahmad Tajuddin dan Pengiran Anak Hajjah Besar. Ayahanda baginda ialah Sultan Muhammad Jamalul Alam 1906-1924) dan bonda baginda ialah Raja Isteri Pengiran Anak Siti Fatimah.

Persoalan pertama ialah mengenai tarikh keputeraan. Adakah baginda diputerakan pada 3hb. Zulkaedah T.H. 1332 bersamaan 23hb. September T.M. 1914?

Berdasarkan kepada temubual yang telah diadakan di antara pemberita suratkhabar tempatan Borneo Bulletin dengan baginda sendiri. Baginda mengakui bahawa tarikh keputeraan baginda telah dimudakan dua tahun daripada usia baginda yang sebenarnya. Perubahan ini berlaku adalah kerana atas inisiatif British Resident untuk membolehkan baginda memasuki Kolej Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1932. Bagaimanapun perubahan ini tidak melibatkan hari dan bulan.Perubahan tersebut hanyalah pada tahunnya saja. Hal ini jelas sebagaimana pengakuan baginda sendiri:

�I had my birth reduced by two years. The day and the month on my paper were correct but the year was not. I was accepted by the college but had anyone found out I would have been expelled."

Ini bermakna bahawa tarikh keputeraan baginda yang sebenarnya ialah 23 September 1914 dan telah diubah oleh Resident British kepada 23 September 1916. In dapat dibuktikan berdasarkan sambutan Hari Keputeraan baginda pada setiap tahun,(sejak baginda menaiki takhta pada tahun 1950 sehingga baginda turun takhta pada bulan Oktober 1967) usia baginda sebenarnya telah dimudakan sebanyak dua tahun. Misalnya dalam Sambutan Puja Usia pada tahun 1967 usia baginda dinyatakan 51 tahun. Dan sambutan Hari Keputeraan ini berdasarkan kepada tarikh keputeraan baginda pada 23 September 1916. Sekiranya, sambutan Hari keputeraan ini berdasarkan kepada tarikh keputeran baginda yang sebenarnya iaitu pada 23 September 1914 maka pada tahun 1967 usia baginda adalah 53 tahun dan bukannya 51 tahun.

Sebaliknya, apabila baginda lindung pada 7 September 1986 dinyatakan baginda berusia 16 hari lagi menjangkau kepada 72 tahun. Pengiraan ini adalah berdasarkan tarikh keputeraan baginda yang sebenarnya iaitu pada 23 September 1914. Makanya, nyatalah bahawa keputeraan baginda yang rasmi ialah 23 September 1914.

Kesimpulannya, ketika baginda berangkat untuk belajar ke Kolej Kuala Kangsar pada tahun 1932, usia baginda telah dikurangkan kepada 15 tahun daripada 17 tahun dengan mengubahkan tahun tarikh keputeraan dari 1914 kepada 1916 tanpa ada perubahan pada hari dan bulan. Keberangkatan baginda ke Kolej Kuala Kangsar ini jelas dinyatakan dalam Laporan tahunan pada tahun 1932:

�In February the sons of the Duli Pengiran Bendaha and Duli Pengiran Pemancha, the two Cheif Minister of State, were admitted to the College at Kuala Kangsar. It had been hoped to send the Pengiran Muda (Sultan Omar Ali Saifuddien) at the same time but unexpected diffulties were arised. As this was the first occasion on which boys princely rank had been sent for education outside the State considerable anxiety was felt as to the success of the experiment. So succesful was the outcome that it proved possible to overcome the scruples concerning the Pengiran Muda he too was admitted to the College in July.�

Ini bermakna bahawa kelambatan penghantaran Pengiran Muda Omar Ali Saifuddien ke kolej ini adalah kerana masalah usia baginda yang sudah 17 tahun sedangkan syarat kemasukan ke peringkat menengah mestilah kurang lebih 15 tahun. Oleh itu setelah usia baginda dapat dikurangkan kepada 15 tahun barulah baginda berangkat untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Kuala Kangsar, Perak pada bulan Julai 1932. Jestru itu tepatlah bahawa keputeraan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien yang sebenarnya ialah 23 September 1914.

Bagaimanapun, meskipun tarikh ini adalah betul tetapi terdapat juga masalah apabila dikaitkan dengan tarikh keputeraan kekanda baginda Sultan Ahmad Tajuddin. Berdasarkan Laporan Tahunan Negeri Brunei pada tahun 1924, jelas dinyatakan bahawa ketika Sultan Ahmad Tajuddin menaiki takhta mengganti ayahanda baginda Sultan Muhammad Jamalul Alam pada tahun 19 September 1924; usia baginda baru sahaja menjangkau 11 tahun. Ini bermakna baginda diputerakan adalah dalam sekitaran tahun 1913.

Sekiranya tarikh keputeraan Sultan Ahmad Tajuddin betul, persoalannya ialah jarak antara Sultan Ahmad Tajuddin dengan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien adalah hanya setahun. Sedangkan pada kenyataannya jarak di antara mereka terdapat lagi dua orang puteri Sultan Muhammad Jamalul Alam iaitu Pengiran Anak Puteri Tengah yang dikatakan lindung pada tahun 1910 dan Pengiran Anak Puteri Damit yang kemungkinan diputerakan pad 6 April 1911. Oleh itu berdasarkan fakta ini maka adalah kemungkinan keputeraan Sultan Ahmad Tajuddin adalah dalam tahun 1908 dan bukan pada tahun 1913. Kesilapan kenyataan laporan Tahunan yang mencatatkan bahawa Sultan Ahmad Tajuddin 11 tahun pada tahun 1924 adalah kiraan secara kasar sahaja disebabkan ketiadaan surat beranak dan mati ketika itu.

Kenyataannya adalah lebih tepat jika dinyatakan bahawa Sultan Ahmad Tajuddin diputerakan pada 18 November 1908. Hal ini jelas berdasarkan kenyataan Laporan Tahunan Negeri Brunei pada tahun 1908 yang berbunyi:

�A son and heir was born to His Highness the Sultan of the 18th November. In accordance with Brunei custom the child will not be named for some years to come.�

Kenyataan yang tercatat dalam Laporan Negeri Brunei 1908 ini memang tidak dapat dinafikan adalah merujuk kepada keputeraan Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin. Tarikh ini juga memang tepat dan lojik kerana terdapat jarak lebih kurang 6 tahun di antara Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin dan Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien. Ini bermakna terdapat dua orang adik perempuan Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin sebelum Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien diputerakan iaitu Pengiran Anak Puteri Tengah yang lindung pada tahun 1910 dan Pengiran Anak Puteri Damit yang diputerikan pada tahun 1911. Di samping itu, berdasarkan gambar yang tersimpan di Arkib, Jabatan Pusat Sejarah jelas menggambarkan bahawa jarak antara usia Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin dan Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien lebih kurang 6 tahun. Oleh itu apabila Sultan Muhammad Jamulul Alam lindung pada tahun 1924, Sultan Ahmad Tajuddin telah menaiki takhta pada 19 September 1924 dan usia baginda adalh 13 tahun 10 bulan 1 hari dan bukan 11 tahun. Dan apabila baginda lindung pada bulan Jun 1950, usia baginda ialah 41 tahun 7 bulan.

Bagaimanapun, penemuan ini bukanlah satu kenyataan yang muktamad dan tepat mengenai penetapan tarikh keputeraan Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien dan juga kekanda baginda Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin. Maka terserahlah kepada penyelidik-penyelidik sejarah khususnya mengenai Brunei untuk mencari kebenaran kenyataan ini.

Mengenai persoalaan kedua iaitu tempat keputeraan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien. Adakah baginda diputerakan di Istana kampung Sultan Lama atau di Istana Kota (di mana ayahanda baginda, Sultan Muhammad Jamalul Alam bersemayam sebelum ayahnada baginda perpindah ke darat iaitu ke Kampung Kianggeh selaras dengan projek perpindahan penduduk kampung Air ke darat yang telah dicadangkan oleh Kerajaan Brunei pada tahun 1909) atau di Istana Tekuyung(Kampung Kianggeh) atau Istana Kaca, Bandar Brunei? Dan sekiranya anda ingin memberi pandangan dan pendapat selanjutnya mengenai persoalan ini atau tajuk perbincangan di atas bolehlah membuat komen anda dalam guestbook atau mengemail saya.

Hosted by www.Geocities.ws

Sekian Wassalam.
1