Rencana Akhbar

Utusan Malaysia 15 Julai 2001
Lima lelaki perintis kerjaya jururawat

Kalau dahulu bidang kejururawatan di negara ini dikaitkan dengan kaum wanita tetapi kini tidak lagi apabila lima jururawat lelaki yang merupakan kumpulan perintis Fakuti Perubatan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) membuktikan bidang itu sesuai untuk semua gender.

Kelima-lima jururawat itu ialah Mohd. Said Nurumal, Mohd. Zaidi Mohd. Daud, Mohamad Zikri Khamarudin, Zainuddin Rozali dan Syed Ahmad Kamri Syed Abu Bakar, selesai menjalani kursus diploma kejururawatan selama tiga tahun di pusat itu baru-baru ini.

Mereka merupakan kumpulan pertama yang mengikuti kursus kejururawatan selama tiga tahun itu hari ini membuktikan bahawa bidang kejururawatan kini mula mendapat perhatian kaum lelaki.

Kelima-lima jururawat lelaki itu hari ini menerima diploma dalam bidang masing-masing daripada Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr. Anuar Zaini Md. Zain di Auditorium Perdanasiswa UM, di sini.

Selain itu, seramai 389 graduan turut menerima diploma masing-masing dalam bidang Radiografi Perubatan, Teknologi Makmal Perubatan, Lanjutan Kejururawatan dan Sijil Klinik Diabetes.

Salah seorang jururawat lelaki, Mohd. Said Nurumal, 23, muncul sebagai salah seorang graduan terbaik dalam bidang kejururawatan bagi kelas 1998/2001.

Beliau yang menerima pingat perak berkata, kursus kejururawatan merupakan pilihan ketiganya selepas permohonan Teknologi Makmal Perubatan dan Radiografi ditolak.

"Bagaimanapun saya kini bangga menjadi seorang jururawat malah bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ini hingga ke peringkat yang lebih tinggi" katanya.

Sementara itu Mohd. Zaidi, 23, mengakui masyarakat tempatan pada awalnya bersikap negatif terhadap jururawat lelaki.

"Setelah diberi penerangan lama-kelamaan saya percaya masyarakat mula menerima peranan kami (jururawat lelaki) dan tidak ada bezanya dengan jururawat wanita," katanya yang mendapat sokongan keluarga.

Bagi Zainuddin, 28, pula melihat bidang kejururawatan merupakan satu profesion yang disegani dan mempunyai prospek kerjaya cerah pada masa hadapan.

Kredit

_____; "Lima Lelaki Perintis Kerjaya Jururawat"; Utusan Malaysia; 15 Julai 2001, pg 3


CARI Free Banner Exchange Network

Hosted by www.Geocities.ws

1