Rencana Akhbar

Utusan Malaysia 26 Jun 2000
Kejururawatan – Tingkatkan professionalisme sesuai dengan alaf baru

TUGAS hakiki tradisi mereka memberi perkhidmatan kesihatan kepada para pesakit dan pelanggan perlu diperkaya dengan kemahiran-kemahiran baru agar dapat mengisi tuntutan pesakit kini dan cabaran masa hadapan.

Datin Paduka Siti Sa'adiah Sheikh Bakir, Ketua Eksekutif Kumpulan Perubatan Johor Sdn. Berhad (KPJ) berkata demikian sewaktu melancarkan persidangan kedua KPJ berjudul cabaran 'Kejururawatan Pada Alaf Baru' anjuran pusat perubatan tersebut di premis baru Kolej Kejururawatan Puteri atau PNC.

Sa'adiah berkata, para jururawat merupakan tenaga utama yang sangat berharga dalam industri penjagaan kesihatan lantaran mereka berinteraksi secara langsung dengan pesakit dan pelanggan.

Kini peranan mereka bukan hanya sebagai orang tengah antara doktor, pesakit dan kaum keluarga mereka. Para jururawat turut memberi nasihat, mendidik pesakit dan keluarga mereka berkaitan isu-isu penjagaan kesihatan. Malah jururawat perlu beredar jauh daripada tugas tradisi menjaga pesakit di katil dan mempelajari ilmu berkaitan penjagaan pesakit yang boleh bergerak (ambulatori) sejajar dengan perkembangan penjagaan kesihatan terkini.

Pada beberapa dekad yang lalu terdapat pertambahan isu-isu perundangan perubatan dan kepenggunaan.

Dalam era pendidikan kesihatan orang ramai berpeluang memahami banyak masalah kesihatan, penyakit-penyakit baru dan yang bukan lazim termasuk juga perkembangan dalam rawatan penjagaan kesihatan serta teknik-teknik baru memulihkan pesakit. Pesakit lebih menyedari hak mereka dan mempelajari kaedah-kaedah penjagaan kesihatan diri sendiri.

"Dengan itu para jururawat dan mereka yang terlibat dalam industri penjagaan kesihatan perlu lebih prihatin dan telus dalam memberi perkhidmatan.

"Pengamal industri itu tidak boleh cuai kerana kesalahan seperti itu akan membawa kerumitan kepada institusi dan juga profesion kejururawatan,'' ujarnya lagi.

Di samping itu Sa'adiah berpendapat, jururawat juga perlu mengikuti perkembangan teknologi maklumat dan celik teknologi tersebut.

Beliau juga menegaskan, Kumpulan Perubatan Johor yang mempunyai 10 cawangan seluruh negara akan membina tiga lagi cawangan baru di Kota Bahru, Seremban dan Kucing untuk memenuhi keperluan pesakit yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan pertengahan.

Potensi besar industri penjagaan kesihatan di negara ini memang wujud tetapi pusat-pusat penjagaan kesihatan perlu mempunyai prasarana dan peralatan yang mencukupi demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.

Dengan wujudnya pusat-pusat penjagaan kesihatan yang mempunyai kelengkapan yang sempurna ia bukan sahaja dapat menarik orang-orang tempatan malah pesakit dari luar negeri khususnya negara-negara ASEAN yang sudah pun mula mendapatkan rawatan di negara ini.

"Dengan cara itu kita bukan sahaja dapat menyelamatkan pengaliran wang keluar malah kita memajukan negara sebagai pusat penjagaan kesihatan terbaik di rantau ini.'' jelasnya..

Kredit

_____; "Kejururawatan — Tingkatkan Profesionalisme Sesuai Dengan Alaf Baru"; Utusan Express; 26 Jun 2000; http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2000&dt=0626&pub=utusan_malaysia&sec=gaya_hidup&pg=ls_01.htm


CARI Free Banner Exchange Network

Hosted by www.Geocities.ws

1