Rencana Akhbar

Utusan Malaysia 22 Oktober 1999
Bidang kejururawatan diminati remaja

KERJAYA di bidang kejururawatan terus diminati gadis remaja walaupun semakin mencabar dan memerlukan kesabaran kerana tugas yang membabitkan perkhidmatan orang ramai bukannya mudah.

Bagaimanapun rata-rata daripada jururawat yang ditemui Utusan selepas majlis penyampaian Diploma dan Sijil Kejururawatan Peringkat Kedah di Dewan Majlis Perbandaran Kota Setar (MPKS) Alor Setar baru-baru ini memberitahu, mereka bersedia untuk memikul tugas rumit ini. Harapan mereka agar kemesraan dapat ditingkatkan sejajar dengan konsep masyarakat penyayang khususnya bagi anggota kesihatan yang berurusan secara terus dengan pesakit.

Shahrizan Mat Jenan, 23, jururawat di Hospital Mentakab, Pahang menjelaskan, sekalipun dia masih baru di dalam dunia kejururawatan tetapi perlu pandai menyesuaikan diri dengan sebaik mungkin.

"Saya sedar seorang jururawat bukannya sekadar melaksanakan tugas rawatan tetapi perlu juga mengutamakan perasaan pesakit yang memerlukan perhatian," katanya.

Sehubungan itu, katanya, dia perlu banyak bertolak ansur bagi memastikan pesakit berpuas hati dan tidak merasa tersinggung untuk terus mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

M. Vesalatchy, 23, jururawat di Hospital Pulau Pinang berkata, pengalaman sebagai jururawat pelatih banyak membantunya untuk meneruskan khidmatnya dengan lebih cemerlang lagi.

"Banyak perkara yang perlu saya pelajari lagi dalam bidang kejururawatan termasuk cara mengendalikan hubungan baik dengan pesakit," katanya.

Dia mengakui konsep penyayang perlu dihayati oleh setiap petugas hospital supaya rakyat tidak menganggap tempat untuk menerima rawatan sebagai penjara.

Emy Idayu Abu Bakar, 22, dari Terengganu yang kini bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, seorang jururawat sepertinya perlu mengawal perasaan supaya dapat bertolak ansur dengan pesakit.

"Kita tidak boleh mengikutkan perasaan marah sebaliknya cuba memahami perasaan pesakit dan simpati dengan keadaan yang dialaminya," katanya.

Beliau berkata, hubungan yang mesra perlu diwujudkan antara jururawat dan pesakit untuk mengelakkan berlakunya masalah.

Erni Hafiza Zakaria, 22, dari Kelantan bertugas di HKL juga mengakui sekalipun bukannya mudah untuk menghayati konsep penyayang tetapi itu merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh jururawat muda sepertinya.

Dia akui konsep itu jika dihayati sepenuhnya sekali gus akan meningkatkan lagi imej hospital menjelang alaf baru.

Kredit

Sholina Osman; "Bidang Kejururawatan Diminati Remaja"; Utusan Express; 21 Okt 1999; http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=1999&dt=1022&pub=utusan_malaysia&sec=gaya_hidup&pg=ls_04.htm


CARI Free Banner Exchange Network

Hosted by www.Geocities.ws

1