Rencana Akhbar

Utusan Malaysia 23 Januari 1999
Bilik bersalin – Peranan jururawat penting

KATA orang, pengalaman bersalin diibaratkan sebagai mempertaruhkan nyawa di antara hidup dan mati. Dalam menempuhinya tiada siapa yang berani menjangkakan apa yang bakal terjadi kepada si ibu mahupun anak yang bakal dilahirkan. Namun segala rintangan yang dilalui oleh si ibu terpaksa jua ditempuhi oleh para petugas atau jururawat yang mengendalikan bilik bersalin. Selain menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja, mereka juga terpaksa melaksanakan tanggungjawab sebagai manusia kepada manusia yang lain.

Bagi jururawat-jururawat wanita di bilik bersalin Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) sudah menjadi satu tanggungjawab kepada mereka untuk melakukan tugas dengan sebaik mungkin.

Bagi Esah Nini Tajuddin, 24, bertugas di bilik bersalin merupakan antara pengalaman yang sukar dicari kerana tidak semua orang bersedia untuk bertugas di tempat yang penuh mencabar. Anak bongsu daripada lima orang adik beradik itu mengakui pada mulanya dia berasa janggal dengan keadaan dan suasana di bilik bersalin tetapi sekarang dia telah menerimanya dengan tenang dan rela hati.

"Bagi saya tidak ada yang lebih menyeronokkan selain dapat menolong para ibu yang sudah tentunya berada dalam keadaan genting pada masa itu," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.

Bagi Sa'edah Yaakob, 51, sifat keibuan yang ada pada dirinya banyak membantu dia menghadapi keadaan di bilik bersalin. Menurutnya, sebagai ibu yang telah mempunyai tiga orang anak dia boleh merasai keperitan yang dihadapi oleh si ibu ketika menghadapi saat kelahiran.

"Saya selalu meletakkan diri saya di tempat mereka. Kalau saya berasa sakit ketika melahirkan anak begitu juga dengan mereka,'' katanya yang berasal dari Johor itu. Katanya, peranan yang dimainkan oleh jururawat amat penting bagi menenangkan para pesakit yang diibaratkan sedang bergelut dengan maut.

Bagi Mazilah Shukor, 25, yang berasal dari Sungai Besar, Selangor, bertugas di bilik bersalin memberi peluang kepadanya untuk menjadi seorang yang lebih penyabar. Menurutnya, biarpun masih tidak berpengalaman melahirkan anak, sekurang-kurangnya bertugas di bilik bersalin memberi pengalaman yang baru kepadanya.

"Jururawat perlu cekap dalam menjalankan tugasnya di bilik bersalin. Selain membantu doktor, mereka juga terpaksa bertindak sendirian ketika doktor tidak ada di bilik bersalin itu,'' katanya.

Mazilah menambah, selain menghadapi kerenah bakal ibu, jururawat sepertinya juga terpaksa menghadapi suami atau ahli keluarga pesakit yang lain yang ada kalanya tidak memahami bidang tugas mereka. Pendapat Mazilah turut dipersetujui oleh rakannya, Nik Ramlah Nik Daud, 43, yang telah hampir tiga tahun bertugas di bilik bersalin..

Kredit

______; "Bilik Bersalin — Peranan Jururawat Penting"; Utusan Express; 23 Jan 1999; http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=1999&dt=0123&pub=utusan_malaysia&sec=gaya_hidup&pg=ls_03.htm


CARI Free Banner Exchange Network

Hosted by www.Geocities.ws

1