Rencana Akhbar

Utusan Malaysia 3 April 1998
Saluran kedua – Peluang jururawat tingkat kerjaya

Ini bermakna orang ramai boleh mengikuti pengajian pada peringkat diploma dan ijazah dengan menggunakan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) dan pengalaman kerja sebagai syarat untuk memasuki IPT berbanding dengan kelayakan menggunakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk kemasukan biasa.

Menurut Pengerusi Program Diploma Kejururawatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Cawangan Kelantan, Profesor Madya Datin Rashidah Shuib, kemasukan melalui saluran kedua dapat membantu menambahkan bilangan jururawat profesional di negara ini.

Menjelang tahun 2000, mengikut Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7), Malaysia memerlukan tidak kurang 50,551 jururawat terlatih untuk memberikan khidmat sebagai sebahagian daripada pasukan kerja perubatan di pelbagai hospital dan pusat perubatan.

Pendapat ini disokong oleh para pelajar yang sedang mengikuti program Diploma Kejururawatan di USM Kampus Cawangan Kelantan, Mohd. Zaid Abdul Rashid, 34 tahun, seorang daripada empat pelajar lelaki yang mengikuti kursus tersebut. Menurutnya, peluang untuk mengikuti pengajian pada peringkat diploma setelah sebelas tahun bertugas sebagai Pembantu Kesihatan di Hospital USM (HUSM) amat bermakna sekali.

''Saya yakin peluang ini dapat saya gunakan untuk menambahkan pengetahuan dan ilmu dalam bidang kejururawatan bagi meningkatkan lagi profesionalisme kerja serta berpeluang pula untuk memajukan kerjaya ini pada masa hadapan,'' tambah Mohd. Zaid.

Ditanya tentang perasaannya yang bekerja di dalam profesion yang sebahagian besarnya dimonopoli oleh wanita, Mohd. Zaid berkata, ia adalah satu peluang yang berharga. Menurut beliau, sepatutnya lebih ramai lelaki yang memilih kerjaya ini untuk memberikan khidmat kepada pesakit. Jururawat lelaki sebenarnya dapat memberi banyak sumbangan dalam perawatan pesakit.

''Apa ganjilnya kerana pada hari ini pun banyak doktor sakit puan adalah lelaki,'' kata Mohd. Zaid, bapa kepada empat orang anak.

Roslina Abdul Rahim, 24, ibu kepada seorang anak, berpendapat peluang untuk melanjutkan pengajian melalui saluran kedua ini amat bermakna sekali.

''Kalau boleh saya ingin menggunakan diploma ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,'' kata Roslina. Ditanya tentang masalah yang dihadapinya dalam mengikuti pengajian, Roslina memberitahu, memang banyak masalah yang dihadapi, apatah lagi setelah lima tahun bekerja dan meninggalkan bangku pengajian.

''Tentu sahajalah kami agak lambat menguasai pelajaran di dewan-dewan kuliah jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang masuk terus setelah tamat pengajian. Tetapi pengalaman yang dilalui semasa bekerja memberikan kami kelebihan semasa latihan klinikal,'' tambah Roslina lagi.

Ilyazuliana Awang, 22, pula berpendapat peluang melanjutkan pengajian melalui saluran kedua amat berharga kerana dapat mendalami lagi bidang kejururawatan yang sangat diminatinya.

''Saya berpeluang ke maktab perguruan untuk menjadi guru seperti yang diharapkan oleh keluarga, tetapi meninggalkan maktab kerana lebih berminat dengan bidang ini,'' kata Ilyazuliana yang mempunyai pengalaman kerja di wad selama tiga tahun.

Indra Shanmugam, 25, dari Pulau Pinang dan pernah bekerja di hospital swasta berpendapat, peluang berharga seperti ini harus digunakan untuk meningkatkan lagi mutu kerja jururawat yang selama ini hanya dianggap pembantu doktor di hospital. Menurutnya lagi, jururawat mempunyai peranan yang lebih daripada hanya seorang pembantu. Mereka seharusnya juga mampu untuk membuat keputusan semasa perawatan dan boleh membantu doktor semasa keadaan-keadaan kritikal.

Siti Nor Abdul Rahman, 27, berkata orang ramai patut mengambil peluang ini bukan sahaja untuk mereka yang berminat dengan kursus kejururawatan tetapi juga kursus-kursus lain yang ditawarkan oleh IPT. Ibu kepada dua orang anak ini menambah, dengan cara itu, kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan mendalami sesuatu bidang ilmu untuk meningkatkan taraf kerjaya pada masa hadapan.

''Saya percaya dengan peluang ini saya dapat memainkan peranan sebagai seorang ibu dan pada masa yang sama memajukan kerjaya saya dalam bidang kejururawatan,'' katanya lagi yang mempunyai pengalaman tiga tahun sebagai pembantu wad di HUSM.

Tuan Ruasmani Tuan Daud, 28, berpendapat wanita harus berusaha menambahkan pengetahuan dan pengalaman mereka untuk masa hadapan yang lebih baik. Beliau yang mendapat dorongan kuat daripada suaminya itu berpendapat, melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tidak bermakna seseorang wanita akan mengabaikan tanggungjawabnya kepada rumah tangga dan keluarga. Malah, katanya lagi, ilmu dan pengetahuan yang ada itu menjadi aset yang amat berguna untuk masa hadapan.

''Saya berharap untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi setelah tamat pengajian kelak di samping memastikan ilmu yang dipelajari dapat membantu meninggikan lagi mutu kerjaya serta profesionalisme kejururawatan,'' tambah Tuan Ruasmani.

Sementara itu, Profesor Madya Datin Rashidah berkata, pihaknya berharap untuk melahirkan jururawat yang benar-benar profesional.

Mereka perlu menguasai spektrum pengetahuan kejururawatan untuk keperluan masyarakat dengan menguasai secara mendalam asas saintifik kejururawatan dan penggunaannya dalam penjagaan pesakit. Katanya lagi, di HUSM usaha dibuat untuk melahirkan jururawat yang terus berusaha untuk belajar, mempunyai komitmen yang tinggi, sentiasa mempunyai sikap mengambil berat dan mempunyai orientasi pemikiran berlandaskan keperluan masyarakat.

''Kerana itu para pelajar ini diberikan pengetahuan klinikal dan akademik sebagai persediaan menghadapi keadaan sebenar pesakit,'' jelasnya lagi.

Para pelajar Diploma Kejururawatan di sini perlu mengikuti kuliah selama empat belas minggu serta enam minggu mengikuti latihan klinikal wajib sepenuh masa di wad..

Kredit

______; "Saluran Kedua — Peluang Jururawat Tingkat Kerjaya"; Utusan Express; 3 Apr 1998; http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=1998&dt=0403&pub=utusan_malaysia&sec=gaya_hidup&pg=ls_04.htm


CARI Free Banner Exchange Network

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1