Rencana Akhbar

Utusan Malaysia 2 Februari 1998
Jururawat berhari raya bersama pesakit

Yang penting apabila saat itu sampai semua orang berpusu-pusu pulang ke kampung. Dalam hubungan ini cuti menjadi agenda pertama untuk pulang berhari raya di kampung selain membuat persiapan pakaian dan kuih-muih.Seboleh-bolehnya setiap orang mahu bercuti kerana ingin berhari raya sepuas-puasnya terutama apabila dapat pulang menyambutnya bersama keluarga di kampung halaman.

Menyentuh tentang cuti tentunya tidak semua orang dapat bercuti sempena hari perayaan seperti ini. Pasukan keselamatan, pemandu bas, teksi, jururawat adalah di antara mereka yang tidak mungkin meninggalkan tugas jika tidak mendapat cuti. Mahu tidak mahu suasana gembira itu dikongsi dengan rakan-rakan sekerja. Contohnya jururawat yang bertugas terpaksa berhari raya di wad bersama pesakit. Perasaan sedih dan menerima hakikat tanggungjawab dan amanah yang dipikul menjadikan mereka akur pada keadaan dan membataskan kerinduan anak dagang untuk pulang beraya bersama keluarga.

Jururawat bahagian Wad Ortopedik Siti Sarah Mohamad, 25, sedih kerana tidak dapat berhari raya walaupun terselit rasa tanggungjawab terhadap tugas yang diberikan. Menurutnya, perasaan hiba dan sedih akan bertambah sayu apabila menjelangnya malam raya yang kebiasaannya akan diraikan bersama oleh keluarga di samping bertungkus-lumus untuk membuat persiapan akhir menyambutnya. Siti yang berasal dari Pahang mengakui kepiluan menyelubungi dirinya memandangkan perayaan nanti merupakan kali pertama beraya di hospital juga tanpa suami dan anak.

''Kalau dahulu tak kisah sangat tak dapat raya di rumah kerana suami faham akan tugas saya. Tetapi kini lain sikit sebab anak dah semakin besar,'' katanya. Siti berkata, persiapan untuk anaknya yang berumur sebulan setengah seperti membeli baju baru telah pun dilakukan, cuma dia yang tidak ada pada Hari Raya.

Pembantu Jururawat Norimah Abd. Aziz, 29, berkata peranan itu secara tidak langsung menunjukkan komitmen yang padu daripada kaki tangan hospital yang bertindak memberi peluang kepada jururawat lain untuk bercuti. Sejak empat tahun setengah bekerja di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL), Norimah berkata sambutan untuk kali keduanya di tempat kerja mula menjadi rutin biasa bagi kakitangan hospital.

Menurut Norimah, pada kebiasaannya iaitu pada hari lebaran nanti, sekurang-kurangnya dua atau tiga orang petugas akan berada di dalam wad untuk membantu jururawat. Walaupun begitu, dia yang tinggal bersama kawan-kawan di rumah sewa mengakui akan bersedih apabila menjelangnya malam raya, lebih-lebih lagi apabila mendengar takbir raya.

''Semua orang pasti akan bersedih kalau mendengar takbir raya, lebih-lebih lagi apabila berada jauh dari kampung dan tidak dapat pulang bercuti bersama keluarga,'' katanya.

Bagi Jururawat Roslina Daud, 24, yang baru pertama kali bekerja di hari lebaran serta berhijrah dari negeri asal merasakan begitu janggal untuk berhari raya di tempat orang. Menurutnya, kedaan itu sekali gus mengubah cara sambutan raya yang biasa dialaminya pada tahun-tahun lalu lebih-lebih lagi apabila tidak dapat bersalam dengan ibu bapa tersayang.

''Segala-galanya lain dan janggal sekali. Payah saya nak terangkan memandangkan inilah kali pertama saya berjauhan dan merayakan tanpa ibu bapa di sisi,'' katanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Roslina berkata, sambutan beraya di tempat lain semestinya tidak akan menyamai beraya di tempat sendiri kerana hari lebaran akan bermakna apabila dapat berjumpa adik-beradik serta sanak saudara di kampung.

Berbeza dengan Rohana Ismail, 40, yang mengendalikan peralatan pembedahan di HBKL pula akan memberi peluang kepada rakan yang lain untuk pulang berhari raya di kampung. Menurutnya, tanggungjawab dan peranan yang terpaksa dipikul dalam bertugas membuatkan seseorang itu merasa diri dihargai apabila tidak dapat bercuti di Hari Raya. Rohana berkata, peluang yang diberikan kepada rakan lain secara tidak langsung akan menambah tenaga kerja di hari lebaran kerana pesakit akan ada tidak kira sama ada di musim perayaan atau tidak.

''Kalau semua nak cuti pada Hari Raya, siapa pulak yang nak kerja. Susahlah macam tu. Jadi, sebagai pekerja lama, eloklah saya memberi peluang kepada rakan yang baru,"'katanya yang sudah 14 tahun bekerja di HBKL. Apa pun, Rohana mengatakan sambutan Hari Raya masih tetap meriah walau disambut bersama petugas dan pesakit yang tidak pulang di hospital.

Kredit

______; "Jururawat Berhari Raya Bersama Pesakit"; Utusan Express; 2 Feb 1998; http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=1998&dt=0202&pub=utusan_malaysia&sec=gaya_hidup&pg=ls_06.htm


CARI Free Banner Exchange Network

Hosted by www.Geocities.ws

1