Rencana Akhbar

Harian METRO
Selasa 14 Mei 2002: Rencana: Minda: > oleh Rahayu Mohd Salleh
Hargai Tugas Mulia 'Misi'

KERJAYA jururawat yang menjanjikan seribu macam cabaran, seolah-olah tidak mampu menarik minat rakyat negara ini membabitkan diri dalam bidang berkenaan.

Pengiktirafan terhadap bidang berkenaan memang ketara namun berapa kerat rakyat negara ini mahu mengiktiraf kerjaya itu dengan menyanggupi segala kerenah dan cabarannya?

Bidang kejururawatan barangkali tidak sehebat golongan eksekutif atau mereka yang menduduki bilik berhawa dingin, namun tugas yang sering menjadi pilihan terakhir generasi muda ini sebenarnya memiliki status yang cukup penting.

Apatah lagi, kekurangan jururawat bermakna pincangnya mutu kesihatan negara yang sangat bergantung kepada tenaga perubatan termasuk golongan terbabit yang dianggap tulang belakang dunia perubatan.

Lantaran itu, sambutan Hari Jururawat Sedunia yang dirai pada 12 Mei sempena hari kelahiran tokoh jururawat Florence Nightingale itu seharusnya dijadikan titik tolak untuk mendalami tugas kejururawatan.

Sekiranya Nightingale bersama sekumpulan jururawat yang merawat mangsa sewaktu Perang Crimea pada 1854 mampu membuka mata dunia terhadap kepentingan dan kemuliaan bidang kejururawatan, perkara yang sama bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan kini.

Bidang kejururawatan memang diakui penting namun tugas itu masih tidak popular. Ini terbukti apabila Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, mengesahkan kementerian masih kekurangan 15 peratus tenaga kerja jururawat tahun lalu.

Sehingga pertengahan tahun lalu, ada 44,351 jururawat pelbagai kategori di negara ini yang berkhidmat di kementerian, sektor swasta dan hospital universiti. Bilangan itu masih belum mencapai sasaran kerana berdasarkan bilangan penduduk pada 2000 seramai 22.2 juta orang, ia menunjukkan nisbah seorang jururawat kepada 500 penduduk.

Sedangkan unjuran nisbah pada 2020 adalah seorang jururawat bagi setiap 300 penduduk bagi mencapai tahap kesihatan negara seperti yang dirancangkan oleh kerajaan.

Malah, kerajaan terus berusaha menarik minat orang ramai khususnya lepasan sekolah menyertai bidang kejururawatan menerusi pelbagai kaedah. Antaranya ganjaran dari segi kewangan dengan kenaikan elaun bulanan jururawat pelatih di peringkat sijil dan diploma yang mencatatkan peningkatan yang agak besar tahun lalu.

Misalnya, jika pelatih sijil menerima kenaikan elaun daripada RM171 kepada RM456, pelatih diploma tidak ketinggalan dengan kenaikan daripada RM345 kepada RM551.

Tugas jururawat yang begitu mencabar barangkali menjadi faktor kurang merangsangkan generasi muda negara ini mendekati bidang terbabit. Beberapa kes mengenai layanan buruk dan kecuaian jururawat menyebabkan ramai mungkin tertanya-tanya.

Adakah pesakit yang bergelumang dengan kesakitan harus memahami bidang tugas seorang jururawat atau jururawat yang dihujani pelbagai kerenah tugas setiap hari harus memahami kesakitan yang dialami seorang pesakit?

Apa sekalipun jawapannya, bidang kejururawatan tidak harus menyimpang daripada budaya kerja yang menekankan perkhidmatan penyayang, kerja berpasukan dan profesionalisme.

Menunjukkan sikap kasar atau kurang mengendahkan pesakit bukan jalan penyelesaian. Sebaliknya, jururawat harus bijak dan matang mengendalikan situasi pesakit yang sering meluahkan rasa tertekan dan kesakitan mereka menerusi pelbagai cara.

Apatah lagi, jururawat juga bagaikan seorang kaunselor yang tidak kering dengan nasihat untuk memberi dorongan kepada seseorang dalam usaha melawan kesakitan yang dihadapinya.

Berdasarkan kajian Dr Rene Spitz pada 1947 mengenai kuasa sentuhan terhadap bayi di rumah anak yatim, mendapati bayi yang mendapat susu mencukupi, namun tidak mendapat belaian jururawat lebih mudah jatuh sakit berbanding bayi yang mendapat belaian sewajarnya daripada jururawat.

Apa sekalipun hujah dikemukakan, ukuran terbaik untuk seseorang menyertai bidang kejururawatan bukan hanya bersandarkan ganjaran tertentu. Sebaliknya, keikhlasan hati menabur khidmat kepada mereka yang benar-benar memerlukan itu sudah menjadi asas yang cukup penting untuk meneroka kerjaya mulia ini.

Kredit

Rahayu Mohd Salleh; "Hargai Tugas Mulia 'Misi'"; Harian Metro; 14 Mei 2002


CARI Free Banner Exchange Network

Hosted by www.Geocities.ws

1