Rencana Akhbar

Berita Harian Selasa 5 Mac 2002
Pinjaman Kereta untuk Jururawat Desa Dirancang

Berita Harian - KUALA NERANG, Isnin – Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan institusi kewangan bagi menyediakan pinjaman kenderaan kepada 6,000 jururawat desa dan 3,000 pembantu kesihatan awam.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed, berkata ia antara insentif yang sedang diusahakan oleh kementerian, selain kenaikan gaji dan elaun kritikal yang masih pada peringkat perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kementerian Kesihatan berharap institusi kewangan mampu memberikan kelonggaran kepada kakitangan kami bagi memiliki sekurang-kurangnya kereta Perodua Kancil, berdasarkan pendapatan mereka yang kecil.

“Kementerian berharap, institusi kewangan akan memberi pinjaman kepada mereka, sekurang-kurangnya bagilah kereta Kancil. Bidan kampung (jururawat desa) kalau tidak dijaga, payah.

“Mereka juga perlu menggunakan kenderaan untuk melaksanakan tugas dengan baik dan cekap, sekali gus memberikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat,” katanya selepas majlis perasmian Hospital Kuala Nerang di sini, hari ini.

Hospital yang mula beroperasi pada 1994 itu dirasmikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-74.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Noorimi Morad.

Hospital Kuala Nerang adalah hospital pertama di negeri itu yang menerima akreditasi untuk tempoh penuh tiga tahun.

Akreditasi adalah proses penilaian perkhidmatan kesihatan berbanding standard kualiti kerja yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Ia menyediakan perkhidmatan rawatan kecemasan dan heamodialisis dengan kemudahan 89 katil.

Mengenai perbincangan dengan JPA berhubung kenaikan gaji jururawat desa dan pembantu kesihatan awam, beliau berkata, kementerian yakin ia menghasilkan keputusan positif.

“Kenaikan gaji dan insentif lain untuk mereka wajar kerana mereka tidak menerima kenaikan gaji sejak 35 tahun lalu.

“Kalau hendak sebut gaji mereka pun kita malu mendengarnya kerana gaji mereka hanya RM490 sebulan manakala gaji maksimum RM1,200,” katanya.

Ada 7,100 kakitangan Jabatan Kesihatan Kedah. Daripada jumlah itu, 4,500 atau 63 peratus adalah anggota Kesihatan Bersekutu.

Selain itu, ada 467 doktor dengan 77 daripada mereka adalah doktor pakar, pegawai perubatan pentadbir (45), pegawai perubatan bukan pakar (294) dan pegawai perubatan latihan siswazah (51).

Perkhidmatan kesihatan itu disediakan melalui sembilan hospital, pejabat kesihatan daerah (11), klinik kesihatan ibu dan kanak-kanak (sembilan), klinik kesihatan (55), klinik desa (224) dan klinik pergigian (113).

Kredit

_____; "Pinjaman Kereta Untuk Jururawat Desa Dirancang"; Berita Harian Online; 5 Mac 2002 http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20020305084207/Article/


CARI Free Banner Exchange Network

Hosted by www.Geocities.ws

1