Kedua-dua anak pohon kelapa dengan pelepah berwarna putih yang dipercayai baru berusia sebulan itu ditemui Khalid Omar, 49, yang menyewa sebuah rumah di Kampung Kilim, di sini, kira-kira tiga minggu lalu.
Ketika ditemui di rumah sewanya, hari ini, beliau yang bertugas dengan sebuah syarikat keselamatan berkata, anak pohon kelapa pertama ditemui tumbuh sendiri di bawah sepohon kelapa ketika beliau membersihkan kawasan rumahnya.
“Seminggu kemudian, saya menemui sepohon lagi anak pohon kelapa berhampiran tempat penemuan pertama. Pada mulanya, saya ingatkan ia berpenyakit dan membiarkannya begitu saja.
“Bagaimanapun, beberapa hari lalu, saya melihat pucuknya hidup subur dan tumbuh dengan pelepah berwarna putih,” katanya sambil menjelaskan orang ramai mula bertumpu ke rumahnya selepas penemuan ganjil itu.
Menurutnya, beliau kemudian menyerahkan kedua-dua anak pohon kelapa itu kepada tuan rumahnya, Sudin Rashid, 51, yang menetap di Kampung Bohor Merah, mukim Ayer Hangat.
Sudin ketika ditemui di rumahnya pula, berkata beliau menempatkan kedua-dua anak pohon kelapa itu di halaman rumahnya dan sehingga kini tidak berhasrat memindahkannya.
Berdasarkan pengamatannya, kata beliau, sepohon kelapa itu adalah betina manakala sepohon lagi jantan.
Pegawai Pertanian daerah, Abdul Razak Shafiai ketika dihubungi berkata, pihaknya belum pernah menemui tumbuhan kelapa berwarna putih seperti didakwa.
“Saya baru mendapat berita mengenai penemuan pokok kelapa putih ini daripada media. Sehingga saya pergi melihatnya, saya belum dapat mengulas,” katanya.
Sebelum ini, penemuan pertama yang disifatkan ganjil ialah seekor pelanduk putih yang ditemui di kawasan hutan Bukit Tekuh, sehari sebelum Langkawi diisytihar bandar raya pelancongan pada 24 Mac lalu.
Seekor kera putih pula ditemui seorang pengamal perubatan tradisional di kawasan kebun getah Bukit Temin ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada 27 April lalu.
Pelanduk berkenaan bagaimanapun dilaporkan mati selepas diserahkan kepada Sultan Kedah untuk dijaga pihak pengurusan zoo mini Istana Anak Bukit manakala kera putih yang kini dijaga Ahmad Yom di rumahnya di Kampung Mata Ayer, terus menjadi tumpuan ramai.