37 lubuk ikan di Langkawi


PERTANDINGAN memancing Safari Langkawi 2001 yang bermula 18 Mei ini akan memberikan peluang keemasan kepada peserta kategori laut dalam untuk mempamerkan kehandalan menaikkan tangkapan ikan besar di perairan negara yang dianggap di antara kawasan yang mempunyai paling banyak lubuk ikan.

Dengan kawasan seluas 450 kilometer (km) persegi yang dikhaskan untuk kategori laut dalam, peserta Safari Langkawi mempunyai taburan lokasi tukun paling banyak di pulau percutian itu.

Ia bermula dari utara Pulau Chorong menganjur 30km ke barat daya Pulau Singa Besar dengan lebar perairan kira-kira 15km.

Di perairan inilah para peserta laut dalam akan beradu kepintaran mengesan kawasan-kawasan yang terdapat banyak ikan. Lebih menarik ia dikepung oleh pulau-pulau besar dan kecil untuk memberikan ketenangan dari tiupan angin dan arus deras di bahagian selatan pulau besar Langkawi.

Menurut Pegawai Perikanan Daerah Langkawi, Badeli Hassan, di perairan ini sahaja terdapat 37 kawasan tukun yang menjadi tempat pembiakan pelbagai spesies ikan.

``Inilah kawasan yang paling sesuai untuk memancing, malah untuk pertandingan peringkat antarabangsa sekalipun,'' katanya sambil mengakui lokasi pertandingan kali ini akan memberi peluang besar kepada peserta untuk menaikkan ikan-ikan baik dan berharga.

Badeli juga memberitahu pihak Jabatan Perikanan tidak pernah mendedahkan kawasan-kawasan tukun ini kepada orang ramai kecuali mereka yang berjaya menemuinya sendiri.

Beliau menganggap tukun-tukun semula jadi dan tiruan daripada pelbagai jenis ini adalah sumber pembiakan ikan di perairan Langkawi yang terpelihara termasuk daripada pukat-pukat besar nelayan.

``Inilah peluang terbaik untuk kaki-kaki pancing menjelajah sendiri kawasan-kawasan tukun yang bertaburan di selatan Langkawi dan kalau bernasib baik mereka akan penat menaikkan ikan pelbagai saiz daripada kerapu sebesar tapak tangan hingga jenahak besar yang banyak terdapat di Langkawi,'' katanya.

Keseluruhan tukun di perairan ini belum pernah didedahkan kepada umum, akui Badeli yang mempunyai banyak maklumat penyelidikan dan pembangunan ikan di pulau legenda Langkawi ini.

Badeli yang juga mengetuai jawatankuasa kecil teknikal pertandingan memancing Safari Langkawi 2001 anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama agensi dan jabatan kerajaan itu adalah orangnya untuk para peserta mendapatkan tips tentang lubuk-lubuk yang ada.

Para peserta laut dalam juga boleh mendapatkan panduan daripada kaki-kaki pancing dan nelayan pantai di pulau itu.

Enam jenis tukun yang terdapat di sini ialah tukun semula jadi (karang), tayar, konkrit, tukun bot dan sampan, unjam-unjam dan tukun udang karang.

Tukun udang karang menurut Badeli bukan sahaja menjadi tempat perlindungan udang karang yang boleh dipancing, malah ikan-ikan yang mendiami dasarnya.

Ada di antara tukun ini diperbuat daripada rangka feri. Di kawasan perairan antara Selat Batu Merah dan Pulau Dayang Bunting umpamanya, sebuah feri penumpang yang terbakar di Kuala Kedah tahun lalu, ditenggelamkan untuk menjadi rumah ikan.

Kapal kargo Bintang Barat yang tenggelam pada tahun 1970-an juga dijadikan tukun yang kaya dengan pelbagai spesies ikan di Pulau Bumbon Besar, tidak jauh dari jeti Kuah.

Bot-bot pukat tunda yang dirampas pula dijadikan tukun di Pulau Balar, di barat Pulau Beras Basah serta selatan Tanjung Timun.

Satu-satunya tukun udang karang di kawasan ini, terletak berdekatan iaitu di barat Pulau Singa Besar yang jauhnya hanya sekitar 30 minit perjalanan bot laju.

Walaupun ikan bernilai komersial menjadi tumpuan, pemancing yang mendapat spesies eksotik seperti udang karang mungkin antara yang bertuah meraih hadiah khas dengan wang tunai RM500 serta hamper.

Bagi yang gemar memancing di kawasan tukun semula jadi mereka boleh menghala ke Selat Chorong dan Tanjung Genting di selatan Pulau Singa Besar.

Kedua-dua kawasan ini mempunyai tujuh lokasi tukun semula jadi dan telah dikenali di kalangan kaki pancing di sini sebagai lubuk ikan gerut, alu-alu dan jenahak.

Tukun tayar pula tersebar di lapan tempat iaitu di Teluk Sepai (berdekatan jeti Pulau Singa Besar) dan dua lokasi di Pulau Jong.

Di perairan Pulau Paku pula terdapat dua lokasi tukun konkrit begitu juga di Pulau Tiloi.

Bagi membantu peserta memperoleh ikan-ikan besar, penganjur tidak mahu terlalu berahsia tentang lokasi tukun-tukun ini.

``Sewaktu sesi taklimat kepada tekong bot kita akan tunjukkan lokasi tukun di atas peta tetapi bukan koordinat yang tepat, itu biar mereka cari sendiri,'' kata Badeli.

Untuk tujuan keselamatan dan bantuan, penganjur menempatkan lima pusat hentian marsyal yang akan beroperasi sepanjang pertandingan iaitu di Pulau Chorong, Pulau Tiloi, Pulau Lima, Pulau Puchong dan jeti Pulau Singa Besar.

Pusat hentian ini membolehkan peserta naik ke darat untuk berehat atau mendapatkan bantuan seperti perubatan.

Ia akan menggunakan khidmat tujuh bot iaitu tiga milik Jabatan Perikanan, Polis Marin (dua buah) dan Jabatan Laut serta Hotel Awana Porto Malai masing-masing sebuah bot.

Bagi mendapatkan ikan besar seperti kerapu, kertang dan alu-alu, pemancing dinasihat menggunakan umpan hidup seperti sotong dan udang serta guna kaedah mengail tunda (trolling).

Sotong banyak di sekitar perairan Tanjung Genting, Pulau Cupak dan Pulau Puchong. Pertandingan yang diadakan pada waktu bulan gelap memudahkan pemancing mencandat sotong seawal pukul 8 malam.

Apa yang penting, Badeli mengingatkan, setiap peserta perlu mempunyai check-list peralatan sebelum pertandingan.

``Bawa peralatan memancing yang lengkap termasuk alat ganti, makanan dan minuman, jaket, ubat, lampu suluh atau gasolin untuk mencandat sotong.

``Paling utama umpan sendiri supaya masa tidak terbuang sementara menunggu umpan sotong hidup dinaikkan,'' katanya.

Oleh: ZUHAIRI ALI  (Utusan Malaysia)

Hosted by www.Geocities.ws

1