Apa yang mendorong saya menulis adalah disebabkan ketidakpuasan hati saya mengenai tambang feri di Langkawi untuk ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis.
Untuk makluman, sebelum 1 April 2001 harga tiket yang dijual adalah RM15 bagi seorang dewasa dan RM9 bagi kanak-kanak dan orang tua untuk ke Kuala Kedah. Tetapi kami kakitangan kerajaan yang selalu berulang alik ke tanah besar membeli tiket pada kadar RM9 bagi dewasa di kaunter syarikat swasta.
Bermula 1 April 2001 yang lalu pihak LADA telah mengawal jualan tiket dengan menetapkan semua kaunter tiket menjual pada harga RM15 bagi dewasa, RM9 bagi kanak-kanak (2-12 tahun) dan RM15 bagi warga tua (55 tahun ke atas) pada kadar yang tetap.
Bayangkan kami kakitangan kerajaan dan rakan-rakan di pihak swasta yang bekerja di Langkawi yang sentiasa berulang- alik setiap minggu atau bulan ke tanah besar terpaksa membelanjakan RM120 untuk pergi dan balik setiap minggu iaitu pada kadar RM30 setiap bulan.
Itu baru jumlah untuk seorang. Bagaimana saya dan isteri dan anak terpaksa berbelanja RM276 sebulan untuk berulang alik setiap minggu? Jumlah ini mungkin tidak terasa oleh pelancong-pelancong kerana mereka hanya datang ke Langkawi setahun sekali atau seumur hidup sekali. Jadi kamilah penyumbang kepada aktiviti feri-feri itu di Langkawi ini.
Fikirkanlah, gaji kami
kakitangan kerajaan peringkat bawahan, kalau ditolak belanja makan, rumah,
feri dan sebagainya berapa yang tinggal untuk kami? Sudahlah kos sara hidup
tinggi di bandar raya ini.
- PEKERJA BAWAHAN, Langkawi.
(Forum Utusan Malaysia)