![]() |
LANGKAWI 6 Mei - Selepas
seekor pelanduk putih ditangkap pada Mac lalu, mukim Hulu Melaka di sini
sekali lagi menjadi tumpuan apabila seekor kera putih ditemui oleh seorang
pengamal perubatan tradisional.
Ahmad Yom, 72, berkata, penemuan itu berlaku petang Jumaat minggu lalu sewaktu beliau memberhenti dan meninggalkan motosikal di kawasan kebun getah Bukit Temin. Menurutnya, apabila dia kembali semula ke kenderaannya, seekor kera putih dilihat berada di tempat duduk motosikal. ``Kera itu memang jinak
kerana ia tidak lari semasa saya mendekatinya, sebaliknya terus masuk dan
duduk dalam raga motosikal,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung
Mata Ayer, di sini hari ini.
|
Dia bertekad membela `Puteri' biarpun ada beberapa pihak berminat membelinya termasuk menawarkan harga setinggi RM5,000.
`Puteri' yang diletakkan dalam sangkar diberi makan pisang dan susu setiap hari.
Pada 23 Mac lalu, dua orang pencari madu lebah menangkap seekor pelanduk putih di hutan simpan Bukit Tekuh, di sini tetapi
Haiwan itu mati semasa di zoo mini Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah ketika dihubungi berkata, kera atau nama saintifiknya Macaca fascicularis berwarna putih belum pernah ditemui.
Namun tegasnya, sesiapa yang mahu membela kera perlu memohon lesen daripada jabatan itu dengan bayaran RM10 setahun.
Katanya, mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar, mereka yang tidak mempunyai lesen boleh didakwa di bawah Seksyen 68 dengan kompaun sehingga RM3,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan Ahmad supaya memohon lesen tersebut.