Tidak pernah dalam satu majlis di pulau legenda Mahsuri ini, lebih 10,000 orang sanggup bersesak untuk menyaksikan perarakan sempena perisytiharan Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) Bandaraya Pelancongan.
Khabarnya banyak kawasan lain di Langkawi seperti Pantai Cenang dan Padang Matsirat, sunyi apabila ramai penduduk bertumpu ke Kuah.
Sebaliknya, cahaya lampu berwarna-warni di sana-sini cukup untuk menukar suasana malam di Kuah yang biasanya suram, kepada senario umpama pesta.
Orang ramai memenuhi sepanjang dua kilometer Jalan Pesiaran Putra terutama di sekitar Layar Jam Kuah, semata-mata ingin bersama Sultan Kedah menyaksikan perarakan 33 kontinjen yang disertai oleh lebih 1,000 orang.
Para peserta mewakili pelbagai latar belakang daripada pelajar sekolah, kakitangan kerajaan hinggalah sektor swasta. Turut serta ialah kenderaan daripada basikal hinggalah motosikal berkuasa tinggi. Pendek kata, ia malam untuk semua.
Ini diikuti perarakan 15 buah kereta berhias, antaranya daripada MPL sendiri, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Pusat Kawalan Satelit Asia Timur Malaysia (MEASAT) dan beberapa hotel bertaraf antarabangsa seperti Pelangi Beach Resort, Berjaya Beach & Spa Resort dan Sheraton.
Apabila keputusan diumumkan beberapa hari kemudian pada majlis jamuan rakyat di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri, kereta berhias Lada muncul johan dengan meraih wang tunai RM5,000.
Kemuncaknya ialah pertunjukan bunga api pada pukul 10.30 malam. Biarpun berlangsung cuma lima minit, dentuman kuat dan ruang udara yang dihiasi percikan pelbagai warna cukup meninggalkan kesan.
Pada sebelah siangnya, upacara perisytiharan berlangsung ringkas tetapi penuh istiadat. Tujuannya ialah mempamerkan kepada masyarakat zaman kini tatacara penurunan kuasa pemerintahan dari istana.
Gimiknya ialah sebuah bahtera yang membawa pembesar dan pendekar dari tanah besar tiba membawakan watikah perisytiharan.
Diiringi paluan kompang, gendang dan deklamasi sajak hasil nukilan Jamaluddin D. berjudul Bukan Kepalang Namamu Langkawi, rombongan itu yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Shafie selaku Datuk Bentara, diarak dengan bunga manggar ke pentas diraja.
Watikah itu diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang kemudiannya disampaikan kepada Sultan Kedah.
Baginda menyerahkan pula watikah itu kepada Yang Dipertua MPL, Datuk Ismail Hamid selaku `pembesar' yang akan mentadbir jajahan takluk negeri bagi pihak istana.
Serentak dengan itu, tiga pucuk meriam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Hang Tuah yang dipasakkan di darat, melepaskan tujuh das tembakan ke udara selang seminit.
Acara bersambung pula di udara apabila tiga buah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat penerbangan lintas hormat sambil membawa Jalur Gemilang, bendera negeri dan bendera MPL.
Persiapan sejak berbulan lamanya selesai dilaksanakan dengan jayanya dalam masa sehari.
Buat penduduk Langkawi, peristiwa bersejarah yang berlangsung pada 24 Mac lalu bukan sekadar mengisi kalendar aktiviti, sebaliknya lebih penting menjadi peringatan untuk menghadapi era baru yang serba mencabar.
Seperti kata Syed Razak serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, masyarakat pulau ini perlu mengubah sikap sesuai dengan tuntutan sebuah `bandar raya.'
Ini bermakna mereka perlu ada semangat berlumba-lumba untuk meraih peluang-peluang baru ekonomi, melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, daripada bahasa asing hinggalah teknologi maklumat serta menjaga persekitaran.
Alam sekitar yang bersih cukup penting kepada Langkawi jika ia mahu terus laku sebagai pusat pelancongan.
Lagipun, tidak ada sesiapa pun yang berminat melawat dan menginap di tempat yang kotor.
Jika semua tugas tersebut dapat dilaksanakan, majlis siang dan malam pada 24 Mac lalu bukan sahaja satu detik bersejarah tetapi permulaan kepada masa depan yang lebih gemilang.
Oleh: ZUHAIRI ALI (UM)