Menggilap status Langkawi

 
ALAF baru menjanjikan masa depan lebih terjamin untuk Langkawi apabila hari ini pulau legenda Mahsuri secara rasminya diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) Bandar Raya Pelancongan di Laman Marmar yang juga tapak asal pekan Kuah.
 
Peristiwa bersejarah ini memberi beberapa petanda. Pertama, ia satu lagi komitmen kerajaan memajukan pulau ini dengan isyarat yang jelas kepada rakyat, pelabur dan pelawat bahawa Langkawi tetap penting dalam agenda pelancongan negara.

Kedua, sokongan kepada MPL seperti tambahan peruntukan, peralatan dan tenaga profesional dengan tujuan supaya mutu perkhidmatan serta imej negara yang dipikulnya, dapat dipertingkatkan.

Ketiga kepada masyarakat Langkawi sendiri supaya sedia mengubah sikap dengan merebut peluang ekonomi, menambah ilmu pengetahuan seperti teknologi maklumat, menguasai bahasa antarabangsa serta mementingkan kebersihan persekitaran.

Melihatkan pencapaian semasa Langkawi, seseorang itu patut merasa syukur dan kagum dengan pembangunan yang pantas sehingga memberikan banyak pekerjaan dan kemakmuran hidup.

Pastinya ramai masih ingat imej Langkawi sebagai pulau buangan, betapa sukarnya menaiki bot tambang berulang-alik, hartanah yang hampir tiada nilai dan anak-anak yang tidak mahu kembali bekerja di sini selepas tamat belajar di tanah besar.

Detik perubahan untuk Langkawi bermula pada 1 Januari 1987 dengan pengisytiharan sebagai pulau bebas cukai. Ia cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan memandang ke Pulau Pinang sebagai contoh.

Empat bulan kemudian Majlis Daerah Kerajaan Tempatan Langkawi (MDKTL) pula ditukar kepada Majlis Daerah Langkawi (MDL). Ini diikuti penubuhan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menerusi Akta Parlimen 423 pada tahun 1990. Selepas sedekad, penubuhan LADA nyata tidak sia-sia, malah ia telah memainkan peranan penting membawa lebih RM5 bilion modal gabungan daripada sektor awam dan swasta.

Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) 1995-2000, kerajaan telah membelanjakan RM464.3 juta untuk Langkawi iaitu kira-kira 15 peratus peruntukan seluruh Kedah. Sebanyak RM214.8 juta atau 46.3 peratus digunakan untuk membina dan menyelenggara kemudahan awam. Biarpun banyak perbelanjaan telah dicurahkan, sektor pelancongan Langkawi memberikan pulangan yang menguntungkan.

Ini kerana kira-kira 1.5 juta pelancong telah membelanjakan RM910 juta pada sepanjang tahun 1999, meningkat berbanding RM768 juta pada 1998. Daripada jumlah itu, pelancong asing berbelanja sebanyak RM600 juta pada 1999. Biarpun begitu, Yang Dipertua MPL, Datuk Ismail Hamid berpendapat semua pihak tidak sepatutnya mudah berpuas hati kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk menjamin semua pelaburan, berhasil bagi tempoh jangka panjang. Jika dilihat pada syarat, Langkawi memang belum layak menerima taraf Majlis Perbandaran yang antara kelayakan ditetapkan ialah jumlah penduduk lebih 100,000 orang sementara pendapatan pihak berkuasa tempatan minimum hendaklah RM10 juta setahun.

Sebagai perbandingan, penduduk pulau ini hanya kira-kira 65,000 orang dengan pendapatan MPL sebanyak RM8 juta. Namun Langkawi adalah kes istimewa.

Dengan saiznya 48,000 hektar, ia mengendalikan kemasukan lebih 1.8 juta orang termasuk pelancong pada tahun lalu. Tekanan itu menuntut sistem pengurusan yang lebih cekap, daripada birokrasi, pemuliharaan aset-aset pelancongan, pemberian lesen hinggalah kepada pelupusan sampah-sarap.

Setakat ini, apa yang perlu untuk maju sudah disediakan, malah melampaui keperluan semasa. Seperti kata Ismail, tiada perubahan mendadak dijangka dalam tempoh terdekat ini kerana semua yang ada telah memadai.

Umpamanya kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air. Jalan raya pulau sejauh 210 kilometer pula adalah baik. Masalah kesesakan dari Kuah ke Padang Matsirat akan diatasi dengan projek LADA membina laluan empat lorong. Fasa yang pertama telah bermula awal Mac lalu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat pada tahun lalu mengendalikan 11,276 pesawat yang membawa hampir 950,000 penumpang sementara kargo 403,164 tan metrik.

Jeti Kuah yang menjadi pintu masuk utama, bakal berubah imej menerusi program pengambil alihan pentadbiran daripada Jabatan Laut kepada Lada Jetty Ventures Sdn. Bhd., April ini. Satu lagi penyumbang utama kepada pembangunan Langkawi ialah dermaga kargo di Tanjung Lembung yang dibina dengan peruntukan RM70 juta di atas kawasan seluas 10 hektar pada November 1997.

Prestasinya meningkat saban tahun sejajar dengan perkembangan pesat ekonomi Langkawi. Pada puratanya ia menerima 200 kapal sebulan termasuk daripada para pengusaha tempatan, Belawan (Indonesia), Satun (Thailand) dan Singapura.

Di puncak Gunung Raya pula terbinanya Pusat Kawalan Sistem Satelit Asia Timur Malaysia (MEASAT) yang mengawal perjalanan satelit MEASAT 1 dan MEASAT 2 yang sentiasa berputar 35,000 kilometer di orbit.

Melihatkan kepada prasarana sedia ada, Langkawi mampu bersaing dengan mana-mana destinasi pelancongan terkemuka lain, dan lebih penting, mengikut acuannya sendiri sebagai pusat percutian seisi keluarga.

Jika sebelum ini ia mengharapkan tarikan sebagai pulau bebas cukai, keadaan telah beralih arah dengan tumpuan kepada alam semula jadi sebagai aset utama.

Ismail menarik perhatian, Langkawi tidak akan menjadi satu lagi Phuket atau Bali tetapi sebuah destinasi percutian untuk pelancong beristirahat sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Dari jauh, tidak kira seseorang itu menaiki kapal terbang atau feri penumpang, Langkawi kelihatan diselubungi hutan dan bukit-bukau. Hutan masih mendominasi pulau ini dengan keluasan 26,000 hektar atau 65 peratus kawasan daratan.

Ia mempunyai 16 hutan simpan kekal dengan tiga yang terbesar ialah Gunung Raya, Bukit Sawak dan Gunung Mat Cincang. Hutan bakaunya pula seluas 3,600 hektar, kebanyakannya ditemui di Kilim, Belanga Pecah dan Pulau Dayang Bunting.

Berbeza dengan tanah besar, hutan di sini terpelihara kerana dikategorikan sebagai hutan perlindungan, ini termasuk hutan bakau yang lesen membalak tidak lagi akan diperbaharui mulai tahun ini.

Kedudukan hutan bakau sebagai aset pelancongan kini semakin diiktiraf. Boleh dikatakan majoriti agensi pelancongan di sini menawarkan pakej menjelajah hutan bakau khususnya di Kilim yang dipercayai berusia 400,000 tahun.

Pelancong juga turut menggemari pakej lawatan ke Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah atau dipanggil Island Hopping. Setiap hari ada yang membawa pelancong mengikut pakej tersebut.

Peminat geologi pula digalakkan melihat lebih dekat Gunung Mat Cincang setinggi 708 meter di utara Langkawi. Di kawasan ini dilaporkan pernah ditemui fosil zaman lampau yang berusia lebih 500 juta tahun.

Formasi batu granit di gunung itu memberikan satu lagi tarikan pelancong iaitu air terjun Telaga Tujuh.

Kawasan sawah padi turut menjadi aset pelancongan yang penting. Pelancong asing tidak kira yang bermotosikal atau menaiki kereta, kerap dilihat sanggup berhenti semata-mata untuk mengambil gambar dan melihat petani mengerjakan sawah.

Melihatkan potensi pada sawah padi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah membina Laman Padi di Pantai Cenang, satu pusat setempat yang mempamerkan semua aktiviti penanaman padi termasuk bendang, tanaman atas bumbung dan peralatan yang digunakan pada zaman lampau.

Memperkatakan tentang keindahan alam semula jadi, aset penting yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong khususnya dari luar negara ialah Taman Laut Pulau Payar yang terletak kira-kira 19 batu nautika di selatan Langkawi. Pada tahun lalu sahaja kira-kira 100,000 orang telah mengunjungi taman laut ini dengan 70 peratus daripada mereka dari luar negara. Levi yang dikenakan sejak awal tahun lalu oleh Jabatan Perikanan bagi menampung kos menguruskan taman laut sejak tahun lalu, nampaknya tidak menjadi penghalang.

Secara umumnya, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha memajukan Langkawi, kini terpulanglah kepada mereka yang berkepentingan khususnya rakyat pulau ini sendiri, meneruskan apa yang telah dimulakan untuk masa depan mereka sendiri.

Oleh: ZUHAIRI ALI (UM 24.03.2001)

Hosted by www.Geocities.ws

1