| Cakaran harimau: Nor Bahyah dihujani panggilan, SMS |
| KUALA LUMPUR 19 April - Penceramah agama, Siti Nor Bahyah Mahmood menerima
banyak panggilan telefon dan pertanyaan menerusi sistem pesanan ringkas
(SMS) daripada golongan wanita berikutan tersiarnya tip urutan `cakaran
harimau' dan `urutan labah-labah' supaya isteri sentiasa dicintai suami.
Kebanyakan panggilan serta SMS itu menyambut baik saranan Nor Bahyah dan ingin mengamalkan teknik urutan itu seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia hari ini. Nor Bahyah ketika bercakap kepada Utusan Malaysia berkata, sejak pagi hingga ke malam ini, beliau tidak putus-putus menerima panggilan telefon dan SMS yang rata-rata daripada para isteri yang mengucapkan penghargaan kerana memberi tip mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Kata beliau, malah tanpa segan silu mereka meminta beliau menjelaskan dengan lebih terperinci teknik itu dan tip-tip lain serta dirakamkan dalam pita kaset. ``Tidak cukup saya, malah suami (Wan Akashah Wan Abdul Hamid) turut dihujani panggilan telefon dan usikan rakan-rakannya. ``Ada yang mengatakan tip tersebut merupakan kaedah baru yang kreatif dan menarik untuk diamalkan walaupun bunyinya menggerunkan,'' kata penceramah wanita popular itu yang sering muncul dalam program agama di televisyen. Utusan Malaysia pada muka depan melaporkan kenyataan Nor Bahyah bahawa urutan `cakaran harimau' dan disusuli `urutan labah-labah' boleh diamalkan oleh isteri agar mereka sentiasa menjadi `bidadari' kepada suami masing-masing. Ketika menyampaikan ceramah bertajuk ``12 Tip Agar Dicintai Suami' pada Seminar Setiausaha anjuran Utusan Publications and Distributors di Hotel Concorde di sini, semalam, beliau menerangkan mengurut suami ada caranya iaitu bermula pada bahan belakang badan dengan memicit bahagian tengkuk dan bahu hingga ke lengan. ``Lepas itu buat cakaran harimau di belakang badan suami. Ini semua jika dilakukan akan membangkitkan rasa kasih sayang yang mendalam antara pasangan terbabit,'' katanya. Urutan berkenaan bagaimanapun, jelasnya, perlu disusuli dengan `urutan labah-labah' secara perlahan-lahan dari bawah ke atas supaya suami rasa `aman dan tenteram'. Mengulas lanjut mengenai petua yang didedahkannya itu, Nor Bahyah mengakui bahawa dia dan suaminya mulai menjadi perhatian masyarakat. ``Ketika ke Kajang bersama anak-anak saya pagi ini, ada pihak melemparkan senyuman berikutan tersiarnya berita tersebut,'' katanya. -Utusan Malaysia |
Copyright © 2004 JUNAIDIX™ Laboratories |