Gimik KRU menjadi
Oleh:Sani Salleh
Setiap kemunculan KRU dengan produksi baru tidak lengkap tanpa gimik unik.Jika kehadiran album Formula Luar Biasa dicanang menggunakan helikopter di udara,album terkini KRUjaan pula diwar-warkan di jalanraya dengan lori.Tidak pernah terlintas di fikiran terdapat artis terkenal sanggup mengadakan persembahan percuma dari atas lori sedang bergerak,singgah di beberapa lokasi tumpuan ramai sepanjang perjalanan.

Tetapi,itulah yang dilakukan KRU selama hampir sepuluh jam,kelmarin,sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan trio unggul tanah air itu serta pelancaran KRUjaan yang menjengah pasaran tempatan 16 Mei lalu.Usaha serta persediaan hampir sebulan bagi merialisasikan acara berkenaan nyata tidak sia-sia,kerana ia dijayakan dengan sempurna serta menampilkan kejutan spontan kepada orang ramai.


Tidak seperti persembahan biasa di arena tertutup,acara yang dinamakan Parti Jalanan KRUjaan itu,membuka
ruang seluas-luasnya buat KRU memperagakan bakat dan kerja seni termasuk di kalangan warga asing.
Namun sebelum acara bermula,Norman,Yusry dan Edry tidak dapat mengelak dicengkam rasa gusar terhadap reaksi orang ramai,apalagi acara berkenaan berlangsung secara spontan tanpa pengetahuan ramai.

KRU tidak bersendirian menjayakan acara itu kerana mereka turut disertai Skuad Perodua ERA dan 20 penunggang skuter Kelab Bringin Bikers hingga ke destinasi terakhir,di sebelah pusat hiburan Planet Hollywood.Perjalanan bersejarah bagi trio itu bermula di pejabat KRU Berhad,di Jelatek Business Centre,pada jam 6petang dan detik kemeriahan bermula sebaik saja anggota produksi diterajui KRU,merentasi Jalan Jelatek.

Ia bukan sekadar memutarkan lagu dari cakera padat,sebaliknya ketiga-tiga beradik itu menyanyisecara langsung menggunakan minus-1,tanpa menghiraukan kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak .Lori yang membawa KRU begaimanapun,bergerak perlahan-lahan serta diatur sebegitu rupa supaya tidak memberikan kesulitan kepada pengguna jalan raya lain,selain memberi peluang kepada orang ramai melihat aksi mereka.

Dari Jalan Jelatek,mereka bergerak ke Jalan Ampang,seterusnya ke Sunway Pyramid.Kemudiannya,mereka bergerak ke seluruh jalan utama di sekitar ibu kota.Dalam perjalanan itu,KRU singgah di beberapa tempat tumpuan ramai di beberapa tempat tumpuan ramai di malam minggu serta mengadakan persembahan dari atas lori.Trio itu mendendangkan tiga lagu terbaik di setiap lokasi persinggahan.

Mereka membuat kejutan dengan persembahan langsung di kawasan tumpuan muda-mudi di malam minggu iaitu di lokasi berhampiran Sunway Pyramid,Up-Town,Ampang Park,dan jalan bersebelahan Planet Hollywood.
Parti jalanan KRUjaan tiba di lokasi terakhir pada jam 11.45 malam yang nyata mengejutkan orang ramai,termasuk warga asing yang menjamu selera di restoran sepanjang Bintang Walk dengan aksi menarik.

Di lokasi itu,KRU sempat mengira detik 12 tengah malam,menandakan tarikh keramat 19 Mei yang genap usia 10 tahun pembabitan kumpulan itu di persada muzik tanah air.Norman yang ditemui Harian Metro,selepas acara itu menyatakan rasa syukur kerana ia dapat direalisasikan dengan sempurna.

"Sambutan yang diterima orang ramai juga amat hebat.Malah,ramai yang menunggu kehadiran KRU di lokasi tertentu,meskipun publisiti mengenai lokasi perhentian tidak dihebahkan terlebih dulu."Nampaknya orang ramai gembira dengan apa yang kami lakukan.Sebenarnya,ia adalah salah satu cara promosi album terbaru KRU.Ia tetap agenda promosi,cuma pendekatannya yang agak berbeza dan unik.

"Ia juga adalah penghargaan KRU buat peminat yang selama ini menyokong pembabitan KRU di persada seni,hingga mampu bertahan selama 10 tahun.Kami cuba mendekati peminat secara terus dengan acara sebegini,"katanya.

Menurut Norman lagi,berdasarkan pemerhatian menerusi acara itu,muzik KRU terus relevan dengan cita rasa peminat masa kini,cuma mungkin keghairahan membeli album tidak lagi seperti dulu.Ujarnya lagi,lokasi yang paling meriah dengan reaksi hebat orang ramai ialah di Jalan Telawi,Bangsar,yang sememangnya menjadi lokasi tumpuan muda-mudi,mencari hiburan di malam minggu.

Mengenai KRUjaan,KRU berharap mendapat sambutan baik kerana ia menampilkan hasil kerja berkualiti dengan rangkaian lagu terbaik.Sepuluh ribu cetakan KRUjaan,kini sudah berada di kedai muzik seluruh negara.
Hosted by www.Geocities.ws

1