Sedekad dalam dunia seni,KRU mengakui mereka telah mengharungi pelbagai kesukaran dan kesulitan yang sekaligus menjadikan mereka sebagai penggiat seni yang matang.Apatah lagi selama berjuang dalam bidang ini,KRU sering menghasilkan karya yang di luar aliran muzik mainstreem dan menjadikan mereka sebagai artis lain dari yang lain.

Kerana itu juga,jika diperhatikan susur galur perjalanan seni mereka,banyak di kalangan masyarakat yang sering menganggap 'kiblat' seni KRU lebih kepada barat daripada timur.


"Mungkin ada salah tanggapan di sini.Sebagai artis pop kita harus mengakui genre' muzik itu universal dan ke negara mana sahaja anda pergi,aliran muzik pop ada meskipun di negara yang terlalu kaya dengan khazanah kebudayaan mereka sendiri.

"Kerana itu,muzik pop yang kami perjuangkan selama ini,sudah disalah anggap.Kami mengharapkan kesilapan ini dapat diperbaiki,"jelas KRU lagi.

Kata KRU,ketika berkarya,tidak pernah terlintas di ruang fikiran untuk mrmbinasakan bangsa Malaysia,apatah lagi untuk menjahamkan generasi muda menerusi lagu-lagu yang dihasilkan mereka.Sebaliknya,KRU memberitahu,golongan pendengar dan peminat yang peka dengan perkembangan seni mereka pastinya bersetuju yang KRU sebenarnya lebih banyak menyuntik elemen-elemen positif dalam karya-karya mereka.

"Dalam muzik,kita harus bersikap terbuka dan berpegang kepada prinsip itu juga,kami terlalu terbuka dan telus ketika membicarakan pelbagai isu yang berkaitan isu semasa,"tegas mereka lagi.


Kata KRU,banyak karya yang dihasilkan kebiasaannya mempunyai pertalian dan kaitan dengan apa yang berlaku di persekitaran mereka.KRU mengakui,sebagai artis,khususnya,pada awal kebangkitan mereka,tanggungjawab mereka terhadap masyarakat bukan sekadar sebagai penghibur.

"Kami sedar tanggungjawab kami untuk menyedarkan masyarakat mengenai pelbagai perkara khususnya yang berkaitan dengan kehidupan,"KRU menjelaskan tanggungjawab mereka.

Menyentuh mengenai resipi kejayaan KRU selama 10 tahun,ketiga-tiga mereka tidak menafikan,faktor pertalian darah antara mereka juga antara sebab yang membawa mereka ke tahap kedudukan hari ini.

"Walaupun kami adik-beradik,kami juga bergaduh dan pernah bermasam muka tetapi semuanya untuk kemajuan dan kebaikkan karier seni kami,"kata KRU jujur.

Selain pertalian darah,KRU memberitahu,bakat yang dikurniakan kepada mereka juga faktor paling utama.Kata KRU,jika tiada bakat mereka tidak boleh berkarya.Pada masa yang sama,kejujuran dalam berkarya juga perlu ditekankan oleh setiap individu selain bijak mengatur strategi dalam usaha menhudangkan hiburan bersifat baru dan segar kepada pendengar.

"Bukan mudah membina nama sebagai kumpulan yang ada originality',tetapi kami tetap bersyukur kerana diberi kesempatan itu,"sambung mereka lagi.

Kata KRU,sebetulnya juga mereka tidak pernah menganggap untuk menggengam apa yang ada pada mereka hari ini.

"Sepuluh tahun dahulu ketika ditanya oleh EMI apa rancangan masa depan kami,jawapan kami ialah mahu memiliki record label' kami sendiri ,itu sahaja...Tetapi,hari ini..apa yang ada pada kami merupakan sesuatu di luar jangkaan tetapi kami percaya dalam kehidupan kita sendiri,"tambah KRU.

Ditanya bagaimana KRU mahu diri mereka dikenali selepas mereka membuat keputusan untuk bersara,jawapan mereka,"Biarlah kami dikenang sebagai pencetus kepada revolusi muzik Melayu moden."
Hosted by www.Geocities.ws

1