| KRU and Friends hangatkan Genting Highlands Oleh: Jamilah Abdullah, Pancaindera (Mingguan Malaysia). |
| Sudah sedekad kumpulan artis popular, KRU yang dianggotai oleh tiga adik-beradik, Norman, Yusry dan Edry bertapak dalam dunia seni tanah air.Sepuluh tahun itu penuh dengan pelbagai peristiwa yang tidak hanya berjaya mempopularkan nama mereka tetapi juga megukuhkan empayar muzik mereka sendiri. Daripada sekadar tiga anggota anak muda yang ghairah mewarnai dunia seni sepuluh tahun lalu dengan muzik rap mereka, kini lahir tiga penghibur, komposer dan usahawan muda yang dedikasi dengan misi mereka.Untuk kejayaan besar seperti itu, ia tentunya wajar diraikan dengan sesuatu yang istimewa. Jadi, genapnya usia sepuluh tahun itu telah diraikan dengan penuh meriah oleh KRU yang kini bernaung di bawah syarikat milik mereka sendiri KRU Music Group (KMG). Pastinya juga keistimewaan KRU kerana istimewanya peminat mereka yang selama ini terus meyokong mereka. Banyak agenda yang diatur adalah untuk peminat mereka. Antara agenda utama KRU adalah melahirkan album kompilasi 10/10. Album itu istimewa kerana menggabungkan sepuluh lagu daripada sepuluh artis KRU untuk meraikan sepuluh tahun pembabitan KRU dalam dunia hiburan.Artis baru dan lama KMG yang terbabit dalam album itu adalah Elite, Indigo,X-Factor, Dr. Kronik, Trez, Phynne Ballerz, Pretty Ugly, Ezlynn, Farra, dan John Boy. Lagu-lagu yang termuat di dalam album tersebut adalah lagu popular KRU sendiri yang digubah semula mengikut konsep artis terbabit daripada pop, soul, modern rock hingga pop dance. "Untuk album ini, KRU cuma memerhati dari jauh. Memandangkan ia adalah album tribute untuk KRU jadi kami beranggapan bukan idea yang baik untuk kami campur tangan. Artis memilih sendiri lagu pilihan mereka sebelum digubah semula oleh Archie dan Neves," ujar Norman pada majlis pelancaran album itu. Album tersebut memuatkan lagu poular daripada tujuh buah album KRU yang pernah dihasilkan daripada 1993 hingga 2000. Lagu seperti Fanatik, Mengerti, Bidadari, Apa Saja, 2, Awas, Semuanya OK, Negatif, Jangan Lafazkan, dan Di Dalam Dilema dinyanyikan semula oleh artis-artis KRU."Walaupun ia dinyanyikan semula oleh artis lain, namun kami berharap ia dapat diterima oleh peminat kami," komen Norman tentang album 10/10 itu. Majlis pelancaran album 10/10 itu berlangsung di Genting Highlands,Pahangminggu lalu. Pelancaran berlangsung dalam suasana sederhana dan dihadiri oleh semua artis terbabit serta sekumpulan wartawan. Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Norman sebagai CEO KRU Music Group, serta Edry. Menurut Norman, dia berbesar hati dengan pembabitan serta komitmen yang diberikan oleh artis dalam pembikinan album kompilasi itu dan program tersebut."Ia sekaligus menjelaskan keakraban seluruh keluarga KRU," katanya. Rombongan yang disertai oleh artis terbabit serta wartawan sudah tiba awal di Genting Highlands. Bukan saja untuk menjayakan majlis pelancaran tersebut, tetapi juga untuk menjalani latihan bagi showcase KRU and Friends. Persembahan showcase itu sebahagian daripada program tiga hari KRU di Genting Highlands. Showcase yang diadakan di Arena of Star itu diadakan khas untuk peminat. Persembahan itu yang mengambil masa lebih dua jam dan dihadiri oleh ribuan peminat yang membanjiri sebahagian dewan tersebut, cukup menghiburkan. Apatah lagi apabila lagu yang dipersembahkan adalah daripada sepuluh artis daripada pelbagai ragam muziknya.Mereka menyampaikan lagu-lagu daripada album 10/10 tersebut. Kumpulan X-Factor iaitu diantara artis awal KRU memulakan persembahan lagu Di Dalam Dilema dan single terbaru mereka Disco. Kumpulan Pretty Ugly yang terkenal dengan muzik modern rock kemudian tampil dengan lagu Bidadari dan Encik Ronald Moore, serta CD Bagasi Honey. Persembahan pada petang itu turut dihiburkan oleh artis Ezlynn yang mendendangkan lagu Semuanya OK, dan Farra (Dua). Ezlynn dan Farra adalah dua artis solo perempuan KMG yang berbakat besar dan mampu cemerlang dalam dunia nyanyian.Tidak ketinggalan adalah artis paling lama KRU Music Group, kumpulan Elite yang ke pentas mendendangkan lagu Mengerti. Showcase tersebut turut dimeriahkan dengan dengan artis berkumpulan baru KMG, Phynne Ballerz. Phynne Ballerz yang bakal tampil dengan album sulung mereka yang berentak pop latin tidak lama lagi, kini popular degan lagu Vida. Pada showcase tersebut, empat anak muda itu mempersembahkan lagu Apa Saja dan Vida yang diterjemahkan daripada lagu English Sepanol popular, Purest of Pain. Kumpulan Indigo pula ke pentas cuma berdua, namun persembahan Shah dan Badrul tetap menghiburkan denan Jangan Lafazkan. Dua lagi artis berkumpulan KMG, iaitu Dr. Kronik dan Trez menyampaikan lagu popular KRU, Negatif dan Fanatik dengan konsep dan gaya mereka tersendiri. Showcase tersebut diadakan sebagai menghargai peminat yang selama ini menyokong KRU. Kumpulan KRU sendiri turut mempersembahkan tiga buah lagu terbaru mereka,Impak Maksima, Aku Benci dan Impian. Mereka juga ke pentas bersama penari dan kumpulan muziknya sendiri. Show case tersebut juga bukan sekadar tontonan biasa. Sebaliknya rakaman untuk seluruh persembahan tersebut akan dimuatkan dalam VCD untuk peminat kelak. Bagi Norman, program yang diatur bukan saja untuk meraikan ulang tahun ke-10 mereka, tetapi lebih kepada tanda terima kasih kepada peminat. "Sepuluh tahun kami di sini, dan sepuluh tahun lagi kami harap kamimasih di sini," jelasnya. |