
Adnan bin Saidi atau
lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan anak
sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi juga
merupakan anggota tentera.
Ahmad Saidi terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939. Kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia. Adiknya
yang termuda Amarullah Saidi terselamat dari peperangan dan sekarang
bersara dan menetap di Kajang,
Selangor.
Adnan Saidi
menerima pendidikan
di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya
dalam pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu
tahun. Adnan Saidi kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera.
Pada tahun 1933,
ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment).
Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke
pangkat Sarjan kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda.
Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi
hormat di London bagi
menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan
pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus
latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .
Pendaratan tentera Jepun di Malaya [Tanah
Melayu](Malaysia) dan tindakan pantas tentera Jepun memaksa Tentera
British berundur ke Singapura. Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk
pertempuran di Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena kilang
memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut.
Pertempuran sengit
telah berlarutan beberapa hari sebelumnya. Tentera Jepun yang biasa tempur dari ketumbukan
Tentera ke 25 yang terkenal berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura. Bukit Candu menandakan sempadan pertahanan terakhir. Ia merupakan
kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik; ia boleh
melihat bahagian utara Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang,
ia memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra merupakan tapak depoh bekalan peluru
dan bekalan utama, hospital tentera dan kemudahan utama Tentera British. Dengan itu,
permatang tersebut perlu dipertahankan bersungguh-sungguh.
Pertahanan
permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni 'C' . Kompeni 'C' merupakan sebahagian satu pasukan kecil
Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu
dan Batalion 2 Melayu, bersama-sama dengan batalion ke-2 "Loyal Regiment" Tentera
British dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya
Brigade)
Pada 13 Februari
1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt.
Gen. Renya Mutaguchi menumpukan perhatian mereka kepada persisiran
selatan Singapura - Permatang Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut
dibedil bertalu-talu dengan sokongan udara, mortar
berat dan bedilan meriam.
Kompeni 'C' dan Lt. Adnan Saidi ketika itu telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah memberikan tentangan hebat. Akhirnya tentera
Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada Kompeni 'C'. Adnan dan
orang-orangnya telah membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang
dikenali sebagai Celah (Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai,
pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).
Pada tengah malam
14 Februari 1942, Kompeni 'C' menerima perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru -
Pt. 226, Bukit Candu. Lebih ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan
Adnan menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran
dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan benteng
pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi dengan benteng beg
pasir.
Pada awal petang
14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki
Pt.226, Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen "tentera Sikh" daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara.
Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu
tidak kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan
berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera
British. Menyedari helah tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan
tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat, dengan itu memaksa
tentera Jepun berundur.
Dua jam kemudian,
tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan
tersebut menumpaskan Lt. Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil
dan kekurangan peluru, Regimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati.
Korporal Yaakob,
yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan salah
seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau
pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau
terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian
mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan
dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum diserkup
dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri.
Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya
dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian
ini dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun
menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut
beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.
Beberapa tahun
lalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal berhampiran Bukit Candu, teringat telah memanjat
bukit dengan sepupunya beberapa hari selepas pertempuran tersebut. Dalam salah satu rumah
banglo yang terdapat di bukit Lorong Pepys, dia melihat mayat askar Melayu yang dipancung
merata-rata. Dalam salah satu bilik, terdapat mayat seorang tentera Melayu yang lehernya
dikelar. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana yang terdapat pada
pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah pegawai berpangkat. Dia percaya
bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan
Saidi tidak dibakar).
Keberanian Lt.
Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur
mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini
kekal dalam lipatan sejarah. Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt.
General A. E.
Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15
Februari 1942:
"Selepas
dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang
mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya
tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah
(Permatang Pasir Panjang)..."
"After
two hours of heavy shelling and mortaring, the Japanese attacked the Malay Regiment which
was holding Pasir Panjang Ridge. The latter fought magnificently, but suffered heavy
casualties, and by afternoon the enemy had reached the Gap (Pasir Panjang
Ridge)
"
Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah
berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat
tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera Jepun.