Bab 5  KESAN PENJAJAHAN JEPUN

Zaman pendudukan Jepun telah membawa dua kesan utama ke atas perkembangan institusi Polis di Malaya:

  1. Pendudukan Jepun telah menunjukkan bahawa penduduk-penduduk tempatan berupaya menjalankan tugas-tugas kepolisan tanpa pimpinan pegawai-pegawai Inggeris. Sistem stratifikasi anggota-anggota polis berasaskan pemisahan di antara pegawai asing dan pegawai tempatan tidak dapat diteruskan selepas tamatnya pendudukan Jepun.
  2. Sifat benci pihak Jepun terhadap kaum Cina sedikit sebanyak telah menyebabkan konflik antara kaum Cina dan Melayu di Tanah Melayu. Pada masa itu penduduk kaum Cina yang tertindas melarikan diri ke hutan memasuki pasukan Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA) yang diasaskan oleh pihak komunis. Pasukan polis yang memburu gerila-gerila itu kebanyakan terdiri daripada orang Melayu. Kesan langsung dari keadaan ini tercetus selepas penyerahan tentera Jepun. Pihak British mengambil masa lebih dari dua minggu untuk bertapak semula di Malaya. Dalam tempoh masa peralihan ini pejuang- pejuang gerila telah keluar dari hutan dan mengambil alih kuasa di beberapa tempat. Mereka telah mengambil kesempatan ini untuk membalas dendam.

 

KE ARAH KEMERDEKAAN

sumber: Utusan Malaysia, 26 Oktober, 1995

Tokoh-tokoh pengisahan sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu menyifatkan kedatangan Jepun sebagai pemangkin kepada kesedaran politik untuk mencapai kemerdekaan.

Menurut mereka, implikasi daripada kezaliman Jepun 50 tahun lalu, tidak boleh dipandang dari sudut negatif sahaja kerana Jepun juga telah banyak membantu membangkitkan semangat nasionalisme.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdullah Salleh berkata, walaupun rakyat negara ini pernah menjadi mangsa imperialisme Jepun, tetapi mereka juga telah menanamkan semangat anti-penjajah.

Katanya, meskipun Jepun pernah menjadi penyebab kepada kemerosotan ekonomi dan inflasi negara, namun kepemimpinan hari ini telah menjadikan Jepun model dalam bidang industri.

Beliau berkata demikian pada Simposium Perang Dunia Kedua Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945, bersama dua lagi tokoh pengisah iaitu pengajar bahasa Jepun, Institut Teknologi MARA (ITM), Abdul Razak Abdul Hamid dan tokoh seni, Datuk S. Roomai Noor.

Simposium tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Zakiah Hanum, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut tokoh-tokoh berkenaan telah menceritakan pengalaman sebenar yang dialami ketika berada di Hiroshima, Sumatera dan tanah air sepanjang pendudukan Jepun.

 


 

Hosted by www.Geocities.ws

1