Penghidap leukemia - Perlu sokongan moral dan kewangan Utusan Malaysia 20/12/2002

Oleh Roslah Othman
TIADA yang lebih mengerikan bagi seorang ibu dan ayah apabila anak kesayangan disahkan menghidap penyakit yang mengundang maut. Selain belas melihat kesakitan yang terpaksa ditanggung si anak, emosi mereka turut terganggu apabila menerima berita itu.

Bahkan, corak hidup juga mula berubah apabila terpaksa berulang alik membawa si anak ke hospital untuk dirawat.

Tambah menyedihkan lagi apabila kos rawatan untuk merawat penyakit yang dialami si anak menelan belanja yang tinggi.

Menghadapi saat genting ini, selain doa dan sokongan penguat semangat, sumber kewangan untuk membiayai kos rawatan juga menjadi penentu si anak mampu untuk terus berjuang menahan kesakitan.

Inilah dilema yang terpaksa ditanggung oleh seorang nelayan, Majid Amil Husin, 39, apabila anak bongsunya Zul Arif, 2, disahkan menghidap penyakit leukemia.

Menurut Majid, Zul merupakan seorang anak yang lincah dan periang. Namun pada Januari lalu, ada sesuatu yang tidak kena dikesan pada diri anaknya itu.

``Muka Zul semakin hari semakin pucat dan tenaganya berkurangan. Dia cepat menjadi letih, lesu, dan sesak nafas. Apabila selalu diserang jangkitan penyakit yang sangat sukar sembuh, saya dan isteri membawanya ke hospital,'' cerita Majid yang berasal dari Kudat, Sabah.

Pemeriksaan kesihatan yang dijalani Zul di Hospital Kudat mengesahkan kanak-kanak itu menghidap leukemia.

Bapa kepada enam cahayamata ini memberitahu, berita yang disampaikan doktor benar benar memeranjatkannya.

``Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya dan isteri ketika itu,'' katanya sambil mengakui sebelum ini tidak mempunyai pengetahuan mengenai penyakit leukemia.

Mengenang nasib diri, pada awalnya Majid buntu memikirkan jalan membantu anak lelaki tunggalnya itu.

Apatah lagi hidup keluarganya selama ini tak ubah umpama pepatah `ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Begitupun, peluang adalah antara harapan yang sentiasa ditanam di jiwa Majid. Bahkan beliau percaya, Zul berupaya memperoleh kejayaan di luar dugaan.

Semangat itulah yang sentiasa bertiup dalam jiwa Majid yang sentiasa berharap Zul akan pulih dan membesar seperti anak-anak yang lain.

Justeru, Majid tidak kisah sekalipun terpaksa mempertaruhkan nyawa demi memastikan Zul pulih seperti sedia kala.

``Anak lelaki saya ini bernasib baik kerana mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kudat dan itulah yang membolehkannya menerima bantuan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

``Jika hendak diikutkan, saya tidak mampu menyediakan wang untuk rawatannya apatah lagi untuk ke Kuala Lumpur,'' akuinya jujur ketika ditemui pada majlis meraikan anak-anak yatim dan pesakit HKL, oleh Hotel Shangri La, di ibu negara baru-baru ini.

Menjawab satu soalan, katanya, pemeriksaan doktor menunjukkan penderma tulang sum-sum paling sesuai untuk Zul ialah adik-beradiknya sendiri.

Menurut Majid, doktor telah mengenal pasti tulang sum sum Siti Nurhaliza, 6, iaitu anak keempatnya sesuai dengan Zul.

``Saya dan isteri bersetuju dengan nasihat doktor walaupun pada mulanya perasaan berbelah bagi menguasai diri,'' ceritanya.

Pemindahan tulang sumsum adalah satu lagi kemajuan dalam rawatan penyakit leukemia, justeru Majid menaruh harapan kedua-dua anaknya akan selamat.

Menyingkap pengalamannya sebagai seorang ayah yang terpaksa menjaga anak yang sakit, Majid menjelaskan, pesakit leukemia memerlukan sokongan moral yang tinggi dan tidak putus selain bantuan kewangan yang agak besar.

``Kalau mengharapkan duit saya, mungkin anak-anak saya tidak akan dapat rawatan di HKL,'' katanya yang bersyukur kerana segala perbelanjaan penerbangan mereka tiga beranak turut ditanggung JKM.

Sementara itu, kata Majid, isterinya, Distimon Asakil, 36, tidak dapat berada di sisi Zul kerana terpaksa menjaga anak-anak mereka yang lain iaitu Siti Sharmila, 12, Siti Naridhana, 10, Siti Nufadilah, 8 dan Siti Nurajmah, 5.

Ditanya mengenai pengorbanan Siti Nuhaliza, Majid berkata, amat sukar beliau menyingkap perasaan anak kecilnya itu.

``Dia tidak mengerti apa-apa, begitu juga dengan Zul. Keputusan ini dipersetujui oleh saya dan isteri. Mengenangnya, kadang kala, timbul juga perasaan bersalah di hati kami,'' ujarnya.

Namun, inilah yang dikatakan pengorbanan. Sokongan moral kepada kanak-kanak yang diserang leukemia sangat penting terutama daripada ibu bapa dan ahli keluarga.

Berikan kasih sayang sepenuhnya. Kehidupanseharian mereka perlu selesa dan bahagia. Beritakejayaan dan kegagalan mangsa leukemia dalam akhbar tempatan menjadipanduan. Manusia hanya mampu berusaha dan merancang merawat penyakit dan Allah merestui usaha kita.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1