Penyakit Koronari Jantung
 Penyakit yang berkenaan jantung dikenali sebagai penyakit kardiovascular. Penyakit kardiovascular merupakan punca utama kesakitan dan kematian yang disahkan oleh doktor di Malaysia. Pada tahun 1988, 29.4% dari angka kematian yang disahkan oleh doktor di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan oleh penyakit kardiovascular.

Di antara tahun 1981 hingga 1989, kadar kematian yang disebabkan oleh penyakit kardiovascular di Semenanjung Malaysia bertambah dari 15.3 bagi setiap 100,000 penduduk kepada 37 bagi setiap 100,000 penduduk. Kemasukan ke hospital bagi penyakit ini telah bertambah dari 10,190 kepada 64,696 di antara 1965 dan 1989, pertambahan sebanyak 534% dalam masa 24 tahun. Tetapi ini berlaku disebabkan oleh beberapa pekara, antaranya kemungkinan disebabkan timbulnya kesedaran mendalam di kalangan penduduk Malaysia menyebabkan mereka memeriksa kesihatan mereka. Ini menyebabkan lebih banyak kes baru direkodkan berbanding masa yang lalu.

Jantung merupakan satu organ yang penting dan sebarang gangguan kepada jantung akan mengakibat penyakit yang boleh membawa maut. Antara keadaan yang mengakibatkan sakit jantung adalah kerosakan pada koronari arteri dalam jantung. Keadaan kerosakan pada koronari arteri ini dikenali sebagai penyakit koronari jantung. Penyumbang utama penyakit koronari jantung adalah arthrosklerosis. Arthrosklerosis berlaku apabila gumpalan lemak terkumpul dalam saluran darah lalu menyempitkan laluan darah beroksigen kepada jantung. Ini akan menjadikan jantung kekurangan oksigen dan apabila keadaan ini berterusan, bahagian jantungyang  tidak menerima oksigen itu akan mati dan menjadi biru kehitaman.

Gumpalan lemak ini dipercayai berasal daripada kalesterol yang tinggi dalam darah, oleh itu anda dinasihatkan mengurangkan kadar pengambilan lemak tepu yang mengandungi kalesterol yang tinggi. Arthroskelorosis berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa yang panjang untuk terbentuk. Bagaimanapun sekiranya tidak dikesan dan dirawat awal, arthrosklerosis boleh menjadi bertambah buruk dan boleh menyebabkan kematian. Tanda-tanda penyakit koronari jantung adalah sesak nafas atau tercungap-cungap bila kepenatan, degupan jantung yang luarbiasa, angina pektoris, sakit jantung, lemah jantung dan kematian mengejut.

Bagaimana Terjadinya Sakit Jantung

Angina (sakit dada bila kepenatan) terjadi akibat berlakunya arthrosklerosis di mana saluran yang membekalkan darah ke otot-otot jantung menyempit dan pengaliran darah terhalang.  Serangan sakit jantung terjadi apabila darah membeku di kawasan arthrosklerosis dan menghalang sepenuhnya pengaliran darah ke otot-otot jantung. Keadaan ini menyebabkan sel jantung mati akibat tidak mendapat oksigen.

Tanda-tanda serangan sakit jantung termasuklah kesakitan di bahagian jantung, berpeluh, loya dan kesukaran untuk  pernafasan.

Dalam kes-kes serangan sakit jantung tertentu ia tidak menunjukkan tanda-tanda biasa.

Faktor-faktor yang meningkatkan kemungkinan menghadapi penyakit jantung koronari
 

·  Jika anda mempunyai keturunan yang mengidap penyakit jantung.

·  Jika anda berusia 35 tahun ke atas dan mempunyai masalah berat badan.

·  Jika anda merokok.

·  Jika anda gagal mengawal tekanan darah anda.

·  Jika anda mengidap penyakit kencing manis.

·  Jika anda menghadapi masalah mengawal tekanan.

·  Jika pemilihan makanan anda tidak betul makanan anda mengandungi kadar kolesterol dan lemak yang tinggi.

·  Jika anda kurang bersenam.

·  Jika anda kurang memakan sayur dan buah segar.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1