URTV MEI 2000 | INFOMASI | UTAMA


SITI NURHALIZA - TAK MAHU LAGI HADIR MAJLIS ANUGERAH?

Kesian Siti Nurhaliza! Sebaik sahaja selesai mengadakan persembahan Minggu Setiausaha anjuran Quality Hotel di Sogo Pernas pada 20 April lalu, dia terus bergegas ke Suite Room untuk dimekapkan bagi menjayakan sesi fotografi dengan URTV pukul 4.00 petang itu.

Walaupun nampak penat dan mengantuk, Siti tetap bersikap profesional. Setiap kali lensa kamera dihalakan ke wajahnya, senyuman manis Siti tidak putus-putus terukir di bibirnya sehinggalah sesi fotografi itu selesai pada pukul 8 malam.

"Lepas ni nak balik berkemas pula sebab tengah hari esok nak ke Singapura untuk menjayakan show di sana bersama dengan Sheila Majid, Hetty Koes Endang dan Anita Sarawak. Tapi sebelum tu, Siti kena pergi fitting baju. Di Singapura nanti, Siti dah disediakan pelbagai acara sehingga 28 April," kata Siti tersenyum. Dia ditemani oleh pengurus peribadi iaitu kakak iparnya Rozi.

Dalam pada itu Siti sempat meluahkan perasaanya terhadap sikap sesetengah pihak serta rakan-rakan seperjuangan sendiri yang kurang senang melihat kemenangannya setiap kali dia dicalonkan dalam mana-mana pertandingan.

"Siti nak buat macam mana, Sampai kadang-kadang Siti rasa takut nak naik ke pentas tapi Siti tak boleh nak tolak rezeki. Takkan Siti nak tolak penghargaan dan pencalonan. Bagi Siti apa sahaja kemenangan Siti selama ini, ia sebenarnya bukan hak peribadi."

"Ia juga kemenangan mereka yang membantu di belakang Siti. Misalnya kalau sesebuah lagu menang, bermakna ia kemenangan komposer, penulis lirik, pemuzik, jurutera bunyi dan ramai lagi...bukan hak Siti sepenuhnya."

"Jangan lupa, Siti membawa harapan orang yang bekerja keras untuk album Siti. Banyak tenaga yang membantu Siti selama ini bukan Siti berjaya atas usaha Siti semata-mata."

"Menang atau tidak, tidak menjadi masalah pada Siti. Yang penting Siti berusaha untuk membawa harapan mereka yang berada di belakang Siti. Tapi...sebelum ni Siti pernah kalah."

"Beberapa tahun lalu Siti pernah kalah dan langsung tak meraih apa-apa anugerah dalam AIM. Mungkin sekarang ni rezeki Siti...tahun ni mungkin rezeki orang lain pula."

"Kadang-kadang terkilan juga kalau orang asyik pertikaikan. Sampai kadang-kadang terfikir juga yang Siti tak nak datang kalau ada majlis penganugerahan. Biarlah wakil Siti saja yang datang. Kalaulah ditakdirkan menang...orang tak nampak muka Siti...kalau kalah pun orang tak mengata," kata Siti panjang lebar.

INFOMASI | UTAMA

Hosted by www.Geocities.ws

1