LAGU-LAGU FILEM & TV MEI 2000 | INFOMASI | UTAMA


Tunduk je Siti? Kesian letih agaknya..

SITI NURHALIZA...DIANTARA BUAH HATI, CINTA DAN WANG BERJUTA!

Kehidupan tanpa corat-coret yang mendapat perhatian, pastinya hambar. Kehidupan tanpa suara sorak dan sorai juga membosankan. Begitulah KEHIDUPAN seorang yang bernama penyanyi.

Perhatian peminat adalah satu kemuliaan buat dirinya. Sorak dan sorai peminat juga adalah 'pengubat rindu' baginya. Tetapi dalam kejauhan itu, dia juga seorang yang bergelar manusia. Mahukan sesuatu yang baik buat dirinya. Kehidupan seorang artis yang tidak pernah terlepas dari 'janji-janji kontroversi' yang merupakan satu tamparan hebat bagi mereka, adalah satu cabaran paling memeritkan. Apatahlagi sekiranya ia berbaur fitnah.

Apa yang berlaku kepada penyanyi sensasi dan popular. Malaysia hari ini - Siti Nurhaliza adalah satu 'warna-warni' yang kebiasaannya menimpa seorang artis. Sejak kemunculannya dalam bidang seni suara, penyanyi ini tidak henti-henti 'dikecam' dengan kontroversi.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih mampu menjulang dan membuktikan bahawa dia diterima ramai. Di samping itu, dia juga menerima tawaran dari pelbagai pihak. Sudah termaktub dia dilahirkan sebagai seorang penyanyi yang berbakat besar. Tawaran demi tawaran itu bukan sahaja diterima malah ada juga yang ditolak. Mengapa?

Siti Nurhaliza pernah mengejutkan dunia hiburan tanahair dan peminat-peminatnya apabila menolak tawaran berlakon yang bernilai RM 1 juta. Dia yang masih tetap dengan pendirian tidak mahu berlakon, menolak dengan baik tawaran itu. Tetapi, penolakkan secara baik yang dibuat oleh penyanyi ini, masih tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak. Ada yang berkata, Siti menolak tuah. Ramai peminat yang mahu melihat Siti Nurhaliza berlakon berasa kesal.

Walaupun perkara ini sedikit reda tetapi ianya seperti 'diungkit' kembali apabila dia muncul dalam iklan Pepsi "Ask For More Music'. Dalam iklan komersial itu sendiri telah terbukti kemampuan penghibur yang disegani ini berjaya 'berinteraksi' dengan suasana lakonan. Lagaknya bersahaja apabila berada di atas pentas dengan ribuan penonton yang berasak-asak. Mungkin ada pihak yang menilai bahawa Siti Nurhaliza bukan sahaja boleh menyanyi dengan baik tetapi juga berlakon?

Masih terngiang-ngiang lagi di kepala yang mengatakan bahawa penyanyi ini sudah pandai bersikap 'besar kepala' dan keras hati. Tetapi, kalau sudah itu pegangannya, apa lagi yang harus diperkatakan? Hidup mestilah berpengang teguh kepada perinsip. Kalau tidak ada prinsip hidup, tak guna juga. Terkontang-kanting mengharungi badai kehidupan. Jangan pula ikut resam lalang!

"Siti tak suka dipaksa buat kerja tanpa kerelaan Siti. Kalau Siti buat juga, takut tak berbaloi hasilnya. Kalau dah jadi macam tu....sudah pasti bukan Siti saja yang sakit hati tengok hasilnya. Orang yang terlibat sama pun akan rasa macam tu. Sudah Siti katakan, Siti tak mahu tergopoh-gapah buat dua kerja dalam satu masa. Menyanyi bidang yang Siti pilih. Itu keputusan Siti. Siti lakukannya dengan kerelaan hati sendiri," ujarnya.

Baginya, tidak adil sekirannya ada pihak yang masih menuding jari ke arahnya. Walau macam mana sekalipun tawaran berlakon diberikan kepadanya, dia tetap tegas dengan pendirian bahawa 'tidak mahu berlakon'. Mungkin hatinya belum terbuka. Atau....memang itulah kenyataannya sampai bila-bila; Siti Nurhaliza tak mahu berlakon!

Kenyataan yang dibuat melalui sebuah akhbar menjelaskan bahawa penyanyi ini sekarang boleh dikatakan sebagai seorang penyanyi bergelar jutawan. Mungkin, sudah ramai yang sedia maklum dengan projek besar Pepsi untuk penyanyi yang benar-benar mempunyai potensi dan kejayaan besar. 'Nilai' yang diberikan kepada pihak yang terbabit juga 'besar'.

Bukan calang-calang penghibur yang terpilih dalam setiap projek Pepsi. Micheal Jackson yang terkenal dengan jolokan 'raja pop' juga pernah ditawarakan untuk berlakon iklan Pepsi. Dari kenyatan tersebut, dapatlah kita gambaran hal yang sebenarnya.

"Siti tak nafikan, dalam iklan Pepsi itu Siti kena berlakon. Tapi, bagi Siti itu yang mampu Siti lakukan. Memang berlakon iklan itu berat. Tetapi, berlakon filem...lagi berat dari berlakon iklan. Siti pun baru mencuba nasib. Sekurang-kurangnya, Siti dapat berjumpa secara langsung dengan peminat ketika promosi. Jangan pula kata nanti Siti dah besar kepala atau keras hati," tambahnya lagi.

Sebagai seorang penghibur yang disegani ramai, Siti seorang penyanyi yang cukup kuat 'bekerja'. Kejayaan demi kejayaan sering dimiliki. Program seni yang tak putus-putus masih menantinya. Baru-baru ini, Siti berjaya menggondol 4 persembahan sempena Minggu Setiausaha di sebuah hotel di ibu negara.

Apa yang menarik ialah, walaupun hal peribadinya sentiasa 'diintai', namun dia hanya gigih mencari wang. Kehebatannya meraih kejayaan dalam karier yang diceburi tidak setanding kisah cinta dan 'buah hati' yang sering digembar-gemburkan suatu ketika dulu. Atau...Siti Nurhaliza juga adalah seorang 'pencinta' yang sejati dalam diam-diam? Antara buah hati, cinta dan wang berjuta.......sedikitpun tidak 'mengaburi' dirinya yang sentiasa berpegang kepada prinsip.

INFOMASI | UTAMA

Hosted by www.Geocities.ws

1