LENGGOK SITI
Metro Ahad, 21hb Mei 2000

Kaji Semula Cuti

Salam sejahtera buat pembaca Metro Ahad, terutama peminat Siti. Selamat bercuti sekolah kepada adik-adik, mulai minggu depan.

Harapan Siti, gunakan masa cuti sebaik mungkin tanpa melakukan kerja yang boleh menjejaskan nama baik diri, keluarga dan sekolah.

Oh ya, sebut fasal cuti, tidak lama dulu, Siti ada memberitahu peminat bahawa Siti mahu bercuti selama setahun. Nampaknya, pelbagai pro dan kontra yang Siti terima daripada peminat. Ada yang menggalakkan dan tidak kurang juga yang merasakan tempoh cuti Siti terlalu lama.

Ada juga yang mengakatan tanpa kehadiran Siti, persada seni tanah air kelihatan lesu dan sepi. Tak tahulah Siti.

Memang Siti berhasrat untuk bercuti selama setahun. Bukan untuk berehat sepenuhnya tetapi mahu menilai diri dan memikirkan sesuatu yang berguna untuk masa depan Siti.

Siti akan melihat perkembangan seni tanah air, termasuk serangan lanun cetak rompak yang tidak putus-putus.

Sebenarnya, dalam tempoh bercuti, banyak perkara yang hendak Siti lakukan tetapi atas desakan peminat, Siti telah memikirkannya semula. Siti mengambil keputusan untuk terus bercuti tetapi tempohnya bukan setahun.

Siti belum berfikir lagi berapa lama Siti ambil cuti tetapi Siti tidak akan bergoyang kaki dalam tempoh itu kerana ada perkara yang Siti fikirkan, terutama mengenai kerjaya Siti.

Barangkali dalam tempoh bercuti itu, Siti akan cuba mencari sesuatu yang lebih bagus untuk kerjaya Siti, termasuk dari segi persembahan dan kemantapan vokal selain mengkaji cara terbaik melayan peminat.

Siti juga berharap dapat menyiapkan sebuah album yang dapat memuaskan hati semua peminat Siti. Sekarang ini, Siti tidak mahu memikirkan perkara itu lagi kerana Siti hanya akan bercuti tahun depan.

Ini kerana, sepanjang tahun ini, banyak agenda yang perlu Siti buat dan jayakan.

Khamis ini, Siti akan berada di Pulau Pinang bagi mempromosikan produk True Illusion (Maybelline) dan akan berada terus di sana untuk membuat persembahan sempena Sukan Malaysia (SUKMA).

Sukan tahun ini diadakan di Pulau Pinang dan nampaknya tahun ini Siti sekali lagi diundang membuat persembahan bagi menghiburkan para atlit dan penonton.

Bagi peserta yang menyertai peraduan Pepsi-BP yang dianjurkan baru-baru ini, anda mungkin mendapat keputusannya tidak lama lagi kerana pada 28 Mei ini, Siti akan menghiburkan pemenang peraduan itu. Jangan lupa nantikan keputusannya dan mungkin anda bertuah dapat menonton persembahan Siti nanti.

Nampaknya, setakat ini dahulu catatan Siti minggu ini. Bertemu lagi minggu hadapan.

Salam mesra. Wassalam.

MINGGU LEPAS: Hibur Permaisuri 14hb Mei 2000

KORESPONDEN | UTAMA

Hosted by www.Geocities.ws

1