New Page 1

 

 

Jaga Sensitiviti, Jangan Berselindung Dan Mencabul Kebebasan Media

21 Januari 2003

Oleh Kazman Kamal

Kuala Lumpur -- Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Azimi Daim berkata tindakan pihak polis terhadap pengendali laman web Malaysiakini semalam seharusnya menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak agar tidak berlindung di atas nama kebebasan media untuk menyiarkan artikel yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kebebasan media yang sering dilaungkan sepatutnya tidak disalahguna dengan mengenepikan soal-soal sensitiviti sehingga boleh menganggu gugat keamanan negara.

“Bagi Pemuda tindakan pantas pihak polis tersebut tidak boleh dipolitikkan kerana pihak polis sendiri mempunyai kefahaman tertentu untuk melakukan tindakan terutama berhubung soal keselamatan rakyat dan negara.

“Tuduhan atau fitnah melampau sesetengah pihak tanpa fakta yang kukuh bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh menjadikan rakyat sebagai mangsa ekoran kekeliruan yang ditimbulkan”, katanya kepada laman webPemuda ketika diminta mengulas tindakan polis terhadap pejabat Malaysiakini.com semalam.

Tegasnya, selama ini laman web terbabit sudah mendapat pelbagai peluang meskipun acapkali menyiarkan artikel yang kontroversi yang cuba mengusik isu-isu sensitif terutama soal perkauman.

“Tanpa tindakan tegas pihak berkuasa, Pemuda yakin tuduhan-tuduhan liar yang tidak berasas ini akan terus bermaharajalela dan kita khuatir jika ia tidak dikawal akan menghancurkan keharmonian negara selama ini.

“Justeru, semua pihak selepas ini mestilah berhati-hati dalam sebarang perbuatan yang boleh mengundang suasana tidak baik di kalangan rakyat. Soal kebebasan adalah terlalu luas. Yang penting setiap kebebasan yang diberikan tidak mendatangkan impak yang buruk kepada rakyat dan negara”, katanya.

 

 


 

Hosted by www.Geocities.ws

Hosted by www.Geocities.ws

1