Oleh
Qammarol Latief
Kuala Lumpur -- Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membuat satu
laporan polis berhubung penyiaran sebuah artikel oleh laman web
Malaysiakini yang jelas berbau perkauman dan boleh menimbulkan ketegangan,
kebencian serta huru-hara kepada ketenteraman negara.
Artikel yang menggunakan nama samaran Petrof bertarikh 9 Januari 2003
itu secara terang-terang cuba mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu
yang telah termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Azimi Daim yang membuat laporan
polis itu berkata kandungan artikel berkenaan ternyata membuat tuduhan
palsu yang kononnya kerajaan Malaysia tidak memberi layanan adil terhadap
kaum lain di negara ini.
Jelasnya, artikel tersebut juga telah mendakwa kerajaan telah bertindak
untuk tidak melantik kaum lain sebagai pegawai kanan kerajaan di samping
mengabaikan hak orang asli dan hanya memberi keistimewaan kepada kaum asli
berkenaan setelah mereka memeluk agama Islam.
“Penulis yang hanya menggunakan nama samaran itu turut mempertikaikan
hak istimewa orang Melayu dalam pembelian rumah, pemilikan harta dan saham
dalam syarikat awam.
“Malah tulisan beliau yang menyamakan Pergerakan Pemuda UMNO seperti
kumpulan Ku Klux Klan di Amerika Syarikat juga adalah berniat jahat kerana
cuba memberi gambaran kepada masyarakat bahawa Pemuda UMNO juga sanggup
bertindak ganas malah sanggup membunuh seperti mana yang dilakukan oleh
kumpulan tersebut terhadap kaum lain di Amerika Syarikat”, katanya ketika
ditemui selepas membuat lapoaran polis itu di Pejabat Polis Jalan Bandar
di sini, hari ini.
Justeru, tegas beliau, Pemuda ingin meminta supaya satu siasatan dan
tindakan segera diambil terhadap artikel ini dan pihak yang menyiarkan
artikel ini juga harus bertanggungjawab.
Tambahnya, siasatan dan tindakan tegas perlu diambil memandangkan
artikel ini secara keseluruhannya merupakan sebuah artikel berbentuk
hasutan yang amat melampau.
Laporan polis yang dibuat pada jam 11.18 pagi itu telah diterima oleh
L/KPL Mohd Fadzeal Abu selaku anggota bertugas dan siasatannya akan
dikendalikan ASP Alzafny.