January 23, 2003
Lidah Pengarang
Malaysiakini Wajar Diajar Memahami Soal Sensitiviti
‘Pelanduk
mungkin lupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk walau
sesaatpun’. Mungkin itulah perumpamaan yang paling tepat untuk
mengibaratkan situasi Malaysiakini ketika ini.
Malaysiakini mungkin lupa bahawa tiada sesiapapun yang boleh
melanggar peruntukan undang-undang. Bagaimanapun undang-undang tidak pernah
melupakan Malaysiakini. Kita berpendapat Pemuda UMNO selama ini tidak
mempunyai sebarang niat untuk menutup Malaysiakini, malah Pemuda UMNO
tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya.
Selama ini Pemuda UMNO dan orang Melayu banyak bersabar dengan apa saja yang
disiarkan oleh Malaysiakini, walaupun terdapat isi kandungan
Malaysiakini yang tidak tepat, berat sebelah, terpesong faktanya, berunsur
spekulasi dan menghasut rakyat mempertikaikan segala keputusan kerajaan.
Bagaimanapun keputusan editorial Malaysiakini menyiarkan surat seorang penulis yang bernama Petrof, akhirnya mengundang padah. Ini bukan kali pertama Malaysiakini menyiarkan surat-surat berbau perkauman dan mencabar maruah orang Melayu.
Sebelum surat yang bertajuk ‘Similarities between ‘new Americans’ and bumiputera’ oleh Petrof ini, Malaysiakini telah menyiarkan dua lagi surat yang membawa nada yang sama. Salah satunya adalah ‘Time to end the bumi/non-bumi divide’ oleh penulis yang menggunakan nama Joe Fernandez, pada 12 Disember 2002.
Terdapat satu lagi surat yang penulisnya menggunakan nama samaran keturunan India. Dia menulis tentang `kesengsaraannya’ menjadi warga Malaysia berketurunan India. Kononnya diskriminasi berlaku ke atas kaum India di Malaysia, sehingga hendak menelefon sanak saudara di India pun, dia terpaksa membayar bil telefon yang lebih tinggi kerana mengikut kadar yang sengaja dikenakan oleh kerajaan. Baginya, itulah harga yang terpaksa dibayar kerana menjadi warganegara Malaysia berketurunan India.
Perbuatan menyiarkan surat-surat sebegini adalah melampau. Kita tidak tahu atas pertimbangan apakah editorial Malaysiakini menyiarkan surat sebegini. Menurut editornya, Steven Gan, di dalam reaksinya terhadap laporan Pemuda UMNO, `surat-surat ini telah menjalani proses pemilihan yang ketat’ dan `surat-surat ini disiarkan kerana mempunyai fakta kajian perbandingan’.
Sekiranya kita meneliti kualiti dan fakta surat yang disiarkan, dan merujuk kembali kenyataan Steven Gan tadi, pasti kita akan berasa amat hairan, bagaimanakah Malaysiakini boleh diberikan anugerah di peringkat antarabangsa. Sekiranya diteliti surat-surat yang disiarkan, kita akan dapati, ianya hanya luahan emosi tanpa bersandarkan fakta sebenar.
Orang Melayu dengan mudah boleh mematahkan hujah-hujah yang diutarakan oleh penulis-penulis surat tersebut. Kita boleh menghuraikan dengan jelas fakta-fakta sejarah dan pengiktirafan-pengiktirafan yang telah diberi oleh masyarakat dunia terhadap Kesultanan Melayu dan masyarakat Melayu. Malah sekiranya mahu, kita juga boleh mewujudkan laman web untuk memperdebatkan perkara ini dengan orang bukan Melayu.
Walau bagaimanapun, apakah yang mahu kita capai dari perdebatan ini? Apakah integrasi kaum dapat dicapai dengan cara sebegini? Perdebatan dalam isu ini hanya akan menyakitkan hati pelbagai pihak dan merosakkan lagi keharmonian di antara kaum.
Apakah keputusan editor Malaysiakini menyiarkan surat-surat sebegini adalah untuk mencabar maruah orang Melayu? Perbuatan Malaysiakini ibarat cacing yang telah naik ke mata. Kenapakah mereka menjadi terlalu berani? Apakah editorial laman web berkenaan merasa yang mereka kebal dari undang-undang?
Malaysiakini tidak akan mendapat pengajaran yang wajar dan adil sekiranya tindakan tegas tidak diambil ke atas mereka.
Tindakan terlalu berani mereka seolah-olah cuba mencabar undang-undang hingga membenarkan pendapat-pendapat berbau perkauman ini mendapat tempat di dalam ruangan laman web mereka.
Biarpun Malaysiakini tidak memerlukan lesen dari kerajaan untuk beroperasi, ia sebenarnya tidak boleh sama sekali mengabaikan tanggungjawabnya untuk memelihara keharmonian kaum.
Malah Malaysiakini sepatutnya lebih arif sekiranya pihaknya menyalahi undang-undang bukanlah terlalu sukar untuk pihak berkuasa menjejaki mereka.
Malaysiakini bukan merupakan organisasi maya. Malaysiakini mempunyai pejabat. Penyuntingnya orang Malaysia dan berada di Malaysia. Wartawan-wartawannya juga berkeliaran di sana sini. Mereka juga mempunyai akaun-akaun dengan bank-bank di dalam negara. Justeru, ini tidak menjadikan halangan untuk pihak berkuasa menghidu tingkah laku sumbang mereka.
Malaysiakini ketika ini cuba memutarbelitkan isu ini dengan mengaitkannya tindakan Pemuda UMNO membuat laporan polis adalah kerana dikaitkan dengan isu Ku Klux Clan.
Bagaimanapun sekiranya kita membaca surat tersebut, kita tahu surat tersebut menyebut lebih banyak lagi perkara yang boleh menyakitkan hati orang Melayu. Pemuda UMNO hanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang Melayu.
Siapa lagikah yang mahu mempertahankan orang Melayu kalau bukan UMNO.
Tidak mungkin kita dapat mengharapkan Pas untuk mempertahankan maruah orang Melayu. Ahli-ahli Pas sendiri keliru dan tidak dapat memastikan sama ada mereka berketurunan Arab atau Melayu. Mungkin mereka takut hendak mempertahankan Melayu – kononnya takut jadi `assabiyah’, takut jadi sesat atau takut jadi `kafir’ semata-mata kerana mahu mempertahankan maruah Melayu.
Kita bangga kerana Pemuda UMNO telah melakukan apa yang sepatutnya. Kita juga berterima kasih kepada pasukan polis kerana telah bertindak pantas menahan bahan-bahan bukti untuk membantu siasatan terhadap Malaysiakini.
Bagaimanapun kita tahu Pemuda UMNO tidak terbabit dalam proses perlaksanaan undang-undang. Terpulanglah kepada pihak polis untuk menegakkan undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan negara.
Semoga pihak polis dapat mengumpulkan bukti secukupnya dan dapat mengelakkan segala kesilapan dari segi prosedur kerana kita mahu individu terbabit dijatuhi hukuman sewajarnya.