|
TINDAKAN pantas polis menyiasat aduan
Pemuda Umno berhubung surat pembaca yang disiar laman web Malaysiakini.com
yang didakwa berunsur hasutan kini mendapat perhatian antarabangsa.
Selain terkejut dengan kepantasan polis dalam melakukan siasatan, perhatian
umum juga tertumpu kepada aspek kebebasan media negara ini yang dianggap
sama tarafnya dengan lain-lain negara dunia ketiga dan negara bekas komunis.
Jika unsur hasutan menjadi factor utama mengapa tindakan merampas unit
pemprosesan pusat (CPU) dan sistem pelayan (server) Malaysiakini.com
bernilai lebih RM150,000 dibuat, polis perlu menjelaskan mengapa puluhan
aduan membabitkan kenyataan menghasut pemimpin-pemimpin Umno termasuk
Presidennya tidak disiasat.
Pemuda Umno juga seringkali mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dan
pernah mengugut membakar Dewan Perhimpunan Cina Selangor semata-mata kerana
tidak bersetuju dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan komuniti Cina.
Adakah sebarang tindakan diambil bagi menyiasat insiden tersebut?
Polis juga tidak sepatutnya bersikap double-standard dalam tindakannya
terhadap laman web popular seperti Malaysiakini.com tetapi membiarkan media
yang tidak popular seperti Televisyen Malaysia terus menyiarkan
berita-berita dan komentar berunsur hasutan yang khusus ditujukan kepada
parti-parti lawan politik BN.
Dua impak besar timbul dari tindakan ke atas Malaysiakini.com itu. Pertama;
ia memberi publisiti meluas kepada laman web tersebut yang selama ini
kekurangan dana untuk terus beroperasi. Kedua; ia menjejaskan projek Koridor
Raya Multimedia (MSC), projek lavish impian Dr Mahathir yang menjanjikan
Malaysia sebagai pusat prasarana terunggul dunia di bidang teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) selepas Silicon Valley.
SALAHUDDIN HAJI AYUB
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat
Nota: Kuala Lumpur
21 Januari 2003
|