Mengapa Pemuda Umno
tidak memilih untuk berdialog?
1:30pm Wed Jan 22nd, 2003
Sdr Anuar Rashid dalam suratnya
(Umno Youth on free media offensive ahead of polls) menganggap tindakan
Pemuda Umno membuat laporan polis terhadap malaysiakini kerana
menyiarkan surat Petrof (Similarities between 'new Americans' and
bumiputera’ pada 9 Jan) sebagai "tindakan tipikal orang Melayu dah tidak
ada idea lagi".
Pemuda Umno sudah tentu tidak dapat mewakili orang
Melayu. Namun, tuduhan ketandusan idea, juga tentu sukar ditelan Pemuda
Umno yang merupakan sayap penting Umno, parti tunggak kerajaan Barisan
Nasional (BN).
Jika kes ini berlaku dalam media arus perdana, gimik
politik Pemuda Umno tersebut mudah mencapai tujuan menindas pendapat
yang tidak disenangi mereka, berkat kerjasama pihak pentadbiran media
yang pro-kerajaan atau terpaksa bertunduk kepada pihak berkuasa untuk
menjamin pembaharuan permit KDN setiap tahun.
Seperti kata Ketua Editor malaysiakini, Steven
Gan: "Dasar forum surat akhbar web ini ialah menggalakkan diskusi bebas
dan terbuka tentang isu-isu kontroversi", dan "kami percaya surat yang
telah disiarkan itu tidak mengandung sebarang hasutan yang sanggup
menimbulkan keganasan kaum, sebaliknya ia berasaskan kepada kajian
perbandingan mengenai fakta-fakta tertentu."
Penjelasan Gan tersebut disokong oleh Badang (On
warpath against defenceless M'sians again?) yang berpendapat: "Dalam kes
ini, mereka tidak dapat mengingkari satu surat yang ditulis dengan
begitu baik sekali berasaskan hujah-hujah rasional", "mereka bukan
memilih untuk berdialog secara membina demi mematahkan perkara-perkara
yang dikemukakan oleh Petrof, tetapi tersembunyi di belakang teriakan
basi politikus Malaysia - isu-isu sensitif".
Dr Jacob George dalam suratnya (Focus on more
pressing wrongs than harmless letter) malah menulis tentang kekhuatiran
beliau: "Apa yang saya lebih khuatir ialah cubaan politikus petualang
mengambil kesempatan dari isu ini dengan alasan palsu bahawa ' ia akan
menimbulkan huru-hara di negara ini' , untuk mencapai agenda politik
mereka."
Satu alasan
Kekhuatiran Dr Jacob terbukti benar. Pada tengah hari
Jan 20, 2003, pejabat malaysiakini telah diserbu polis selama
empat jam, dan 15 CPU (unit proses pusat) dan empat buah server telah
dirampas untuk 'pemeriksaan forensik'.
Dalam sidang akhbar selepas serbuan itu, Gan
menyifatkan tindakan polis itu sebagai satu alasan untuk menutup operasi
malaysiakini. Tambah beliau: "Ikrar kerajaan tidak akan
menyunting kandungan Internet, kini hancur berkecai.
"Memandangkan perkembangan terbaru ini, rasanya Pemuda
Umno perlu menjelaskan sama ada pergerakan itu terlibat dalam 'agenda
politik tersembunyi' yang bertujuan untuk 'menutup operasi
malaysiakini' seperti sangkaan Gan tersebut.
Dalam sebuah negara demokrasi, Pemuda Umno memang
berhak untuk membuat laporan polis terhadap mana-mana pihak. Namun, jika
tanpa 'agenda politik tersembunyi', rasanya sukar hendak dipertikaikan
bahawa ianya lebih membina untuk berdialog daripada membuat laporan
polis terhadap malaysiakini, terutamanya berasaskan faktor-faktor
berikut:
Pertama, surat Petrof merupakan susulan perdebatan di
antara Manjit Bahtia (Why? PM Why?) dengan Delimma (No apologies for
Malaysian way). Manjit Bahtia , seorang penghijrah ke Australia, dalam
suratnya telah membuat beberapa bidasan terhadap Dr Mahathir Mohamad
yang dianggapnya 'berlagak sebagai wira orang Melayu' dengan
mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang 'karut dan bertentangan'.
Manjit juga mempersoalkan kebolehan bakal Perdana
Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, kerana belum teruji . Surat beliau
diakhiri dengan pertanyaan kenapakah rakyat bukan-Melayu masih dilayani
sebagai warga negara kelas kedua (Cina) dan kelas pariah (India dan
lain-lain), dan kenapa pula mereka tidak boleh diterima sebagai 'bumiputera'?
Mentaliti penghijrah
Surat Manjit dianggap Delimma sebagai 'serangan cetek'
seorang 'penghijrah Malaysia yang putus asas' . Delimma tidak bersetuju
dengan 'rumusan mudah Manjit' (padahal Delimma yang rumuskan - penulis)
bahawa kesulitan politik Malaysia sekarang adalah berpunca daripada 'kegagalan
Mahathirisme'.
Delimma juga menafi kaum bukan-Melayu dilayani sebagai
warga negara kelas kedua, dan meminta Manjit memberikan penjelasan
selanjutnya. 'Pandangan malap' Manjit dikatakan berpunca daripada
mentaliti penghijrah yang tiba- tiba mendapati "segala-galanya tidak
betul di negeri Denmark" (petikan daripada Hamlet).
Seterusnya Delimma mempertahankan dasar ekonomi Dr
Mahathir dan tindakan beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah
negara Islam. Kesalahan Perdana Menteri juga dianggap lumrah kerana
tidak wujud pemimpin yang 'sempurna'.
'Bangsa Malaysia' disanjung sebagai agenda terakhir Dr
Mahathir untuk meningkatkan integrasi kaum di negara kita Beliau juga
yakin Abdullah Badawi akan berjaya memainkan peranan Perdana Menteri
seperti Dr Mahathir dahulu.
Berasaskan kepintaran dan hasrat untuk berjaya, beliau
yakin Abdullah Badawi boleh! Rencana Petrof justeru itu ditulis untuk
menjawab Delimma yang dianggap sebagai "bumiputera tipikal yang bersikap
puas hati dan angkuh, dan mahir dalam mengeluarkan
justifikasi-justifikasi basi untuk mempertahankan politik hak istimewa
yang merosakkan, yang merebak di Malaysia."
Kematangan
Tidak sukar difahami kenapa perbandingan oleh Petrof
tersebut tidak disenangi Pemuda Umno, tetapi mereka padahal berhak untuk
berdebat dengan Petrof seperti Delimma berdebat dengan Manjit. Kita
harus berkeyakinan bahawa kita akan lebih menghampiri kebenaran selepas
perdebatan dilakukan.
Kita juga harus menaruh kepercayaan kepada daya fikir,
keintelektualan, kematangan dan imbangan antara rasionaliti dan emosi
pembaca malaysiakini khasnya, dan rakyat pelbagai kaum kita amnya.
Kestabilan negara kita tidaklah begitu rapuh sehingga
satu surat dalam forum diskusi akan menimbulkan huru-hara di negara kita,
sekiranya tiada 'agenda politik tersembunyi' golongan politikus yang
ingin memperalatkan sesuatu situasi yang sengaja direka-rekakan.
Pemuda Umno juga tentu amat marah kerana disamakan
dengan Ku Klux Klan yang bersifat fasis di Amerika. Namun, jika setiap
kali hak istimewa orang Melayu disentuh, Pemuda Umno terus melenting dan
meminta mereka yang menyentuhnya diambil tindakan di bawah Akta Hasutan,
malah digertak dengan 'keris' dan 'api'. Tidakkah tingkahlaku ini lebih
mirip dengan sifat fasis daripada sifat demokratik yang mesra rakyat dan
pro-keamanan?
Tidak dapat dinafikan hak istimewa orang Melayu hingga
sekarang masih dilindungi undang-undang yang terbabit, tetapi
kebaikannya kepada orang Melayu juga boleh dipertikaikan, bukan saja
oleh orang bukan-Melayu, tetapi juga oleh pemimpin Melayu.
Awang Sulung
Tak perlulah saya mengulangi 'Teori Membuang Tongkat'
Perdana Menteri kita yang sudah diketahui umum. Memadailah saya memetik
beberapa perenggan dari rencana Awang Sulung yang tersiar pada 2 Jun,
2002 di Mingguan Malaysia seperti berikut:
"Pada hemat Awang, hak istimewa itu kini telah
menjadi musuh besar orang Melayu dan bumiputera lain. Ia membuatkan
mereka mengambil mudah banyak perkara dan membesar dengan mentaliti
subsidi - semuanya mesti ditolong, mesti diberi dan mesti dipermudahkan
kerana mereka Melayu.
"Meratap dan menangis supaya hak dan keistimewaan
kita dikekalkan sampai bila-bila samalah seperti mengakui kita masih
lemah dan tidak boleh hidup tanpanya. Ia juga menunjukkan bahawa kita
takut menghadapi bukan Melayu di atas padang yang sama rata. Jika Melayu
masih memerlukan perlindungan yang sama setelah 30 tahun, mereka sepatut
berasa malu. Keistimewaan itu yang dianggap sebagai hak kelahiran boleh
bertukar menjadi satu penghinaan terhadap mereka."
Tujuan saya memetik 'Teori Membuang Tongkat' Perdana
Menteri kita dan rencana Awang Sulung tersebut hanya untuk menasihatkan
Pemuda Umno supaya jangan cepat melenting, jangan cepat hendak
menggunakan Akta Hasutan untuk menindas sesiapa saja yang menyentuh hak
istimewa orang Melayu.
Perkara ini padahal masih ada ruang untuk
diperdebatkan tentang kebaikan dan keburukannya, jangan menggunakan 'isu
sensitif' atau 'Akta Hasutan' untuk mematikan dialog yang membina.
Akhir sekali, sekalipun Petrof diambil tindakan di
bawah Akta Hasutan akibat tekanan Pemuda Umno, dan malaysiakini
ditutup operasinya akibat 'agenda politik tersembunyi' yang didalangi
oleh pihak yang tertentu, apakah faedahnya kepada Pemuda Umno, selain
daripada dipandang sebagai pengecut yang tidak berani berdebat secara
rasional di forum diskusi dalam malaysiakini, dan lebih terserlah
sifat fasisnya yang pantang disebut orang?