|
Nash Rahman
1:33pm Tue Jan 21st, 2003
Tindakan polis menyerbu dan merampas peralatan
komputer akhbar Internet malaysiakini semalam telah menghantar
mesej kepada dunia yang Malaysia tidak toleran dengan pandangan yang
pelbagai, kata presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Azam
Abdul Rahman.
“Ini
pasti boleh menjejaskan imej Malaysia yang dikenali sebagai sebuah
negara yang pelbagai agama dan bangsa yang toleran dan terbuka,” katanya
sebagai mengulas tindakan polis menyerbu pejabat malaysiakini
semalam dan merampas 19 unit komputer.
Serbuan itu dibuat berikutan laporan Pemuda Umno yang mendakwa surat
pembaca yang disiarkan dalam laman web itu telah mempersoalkan hak-hak
keistimewaan orang Melayu dan juga mendakwa ianya turut mengandungi
tuduhan-tuduhan palsu bahawa kerajaan tidak bersikap adil kepada
bangsa-bangsa lain.
Di samping itu, Pemuda Umno juga mendakwa, surat itu turut menyamakan
pergerakan tersebut dengan kumpulan Ku Klux Klan di Amerika.
Mengulas lanjut mengenainya, Azam berkata dunia pasti akan melihat
tindakan polis itu sebagai satu mesej yang menggambar Malaysia yang
tidak toleran dan Malaysia yang tidak menerima hakikat pelbagai
pandangan dan pendapat.
Pada masa yang sama, tegas Azam, Abim juga merasa tidak senang dengan
sebarang bentuk pandangan yang menimbulkan kebencian, khususnya terhadap
dasar-dasar kerajaan yang dianggap sebagai anti bangsa lain sedangkan
hakikatkan tidak begitu.
Tindakan polis
Oleh itu, katanya, sentimen kebencian antara kaum harus dielakkan oleh
semua pihak, termasuk pihak pembangkang dan pemerintah, ketika
mengutarakan apa juga pandangan dalam kontak pembangunan negara.
“Dalam hal ini, kita merasa tindakan polis itu telah menghantar mesej
yang salah kepada dunia, dan pada masa yang sama, kita ingin menegur
rakyat Malaysia supaya memberi pandangan yang bernas tanpa menimbulkan
sebarang kebencian agama dan bangsa lain,” katanya.
Sementara itu, parti Keadilan membantah keras tindakan polis yang
dianggapnya bertindak secara keterlaluan terhadap malaysiakini.
Setiausahanya, Sahri Bahri berkata, malaysiakini merupakan
antara perintis kepada e-media di negara ini yang turut memberi
sumbangan besar kepada perkembangan media elektronik dan siber.
“Tindakan begitu tidak sepatutnya dilakukan terhadap malaysiakini,
dan ianya juga memberi isyarat kepada peneroka dan pengendali e-media
lain bahawa kita tidak mengamalkan kebebasan akhbar,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan polis merampas peralatan komputer di
malaysiakini sebagai tindakan keterlaluan.
Berat sebelah
“Sepatutnya perkara ini boleh disiasat dengan lebih tertib...jadi
kita memang melihat bahawa ia merupakan tindakan ‘double standard’ polis
kerana tiada tindakan diambil terhadap laporan-laporan polis yang dibuat
sebelum ini, termasuk terhadap naib ketua Pemuda Umno, Aziz Sheikh
Fadzir, yang mengugut membakar dewan perhimpunan Cina Selangor.
“Walhal, dalam isu malaysiakini, mereka begitu cekap dan
pantas, seolah-olah wujud campurtangan eksekutif dan tangan-tangan di
belakang yang cuba mengganggu dan menekan media yang lebih terbuka,”
tegasnya.
Pemuda Umno pula, kata beliau, sepatutnya lebih memberi tumpuan
kepada isu-isu yang lebih besar yang membabitkan kepentingan rakyat,
seperti isu sekolah agama rakyat (SAR) dan isu pengajaran sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris.
Semakin terhakis
PAS
pula menyifatkan tindakan polis terhadap malaysiakini itu
menunjukkan bahawa kebebasan akhbar di negara ini semakin terhakis.
“Melalui tindakan itu, kita nampak sangat kebebasan media di Malaysia
semakin hari semakin disekat,” kata setiausaha agungnya, Nasharuddin Mat
Isa.
“Bila ada sahaja laporan yang tidak menyebelahi kerajaan, macam-macam
tindakan diambil, tetapi tiada tindakan dikenakan terhadap media perdana
yang membuat pembohongan terhadap pembangkang...ia mencerminkan sikap
berat sebelah pihak berkuasa...,” tegasnya. |