UMNO Youth website Editorial

January 28, 2003

Lidah Pengarang

Laporan Polis : Benarkah Langkah Pemuda UMNO Serba Sumbang??

Mungkin ada yang berpendapat tindakan Pemuda UMNO membuat laporan polis terhadap satu artikel yang disiarkan oleh laman web Malaysiakini baru-baru ini sebagai satu kesilapan. Mereka yang beranggapan begitu berpendapat seolah-olah Pemuda terlalu cepat melatah dan mengambil jalan mudah untuk meraih populariti.

Jika populariti dikatakan sebagai pendorong Pemuda UMNO bertindak sedemikian ternyata ia adalah satu tuduhan yang dangkal kerana dengan tindakan pihak polis terhadap Malaysiakini hanya akan memberi publisiti secara besar-besaran kepada laman web berkenaan melalui liptuan meluas pihak media baik di dalam negara mahu pun antarabangsa.

Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh Pemuda hanyalah satu tanggungjawab dan amanah mereka selaku parti yang memperjuangkan bangsa, agama dan negara serta mengikut undang-undang yang sedia ada. Tidak lebih dari itu.

Siapa pun yang berfikiran rasional tanpa mengikut telunjuk emosi dan fahaman yang sempit akan bersetuju bahawa artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini di bawah tajuk “Similarities between ‘new Americans’ and bumiputera” oleh Petrof (nama samaran) merupakan satu fitnah dan hasutan yang penuh kebencian terhadap satu kontrak kemerdekaan yang telah dipersetujui sejak 1957.

Mereka yang berupaya menyelami isi kandungan artikel tersebut dengan memperuntukkan sedikit masa menelaah kembali fakta-fakta sejarah lalu tidak akan timbul sebarang keraguan terhadap laporan polis yang dilakukan oleh Pemuda UMNO.

Ini kerana isu hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera bukan merupakan satu isu yang perlu dibahas ataui diperdebatkan. Ia adalah mutlak dan bersifat muktamad.

Pada sudut yang sempit mungkin pihak-pihak tertentu boleh mengatakan bahawa artikel itu tidak akan menjejaskan mana-mana pihak. Apatah lagi, jumlah mereka yang berkesempatan untuk membaca artikel tersebut di laman web berkenaan bukanlah mewakili jumlah yang menggerunkan.

Malah mereka berpendapat, tindakan Pemuda UMNO membuat laporan polis hanya memperbesarkan dan memberi promosi secara percuma kepada laman web berkenaan yang sebenarnya semakin hidup dalam kelesuan.

Kita mungkin boleh bersetuju dengan pandangan berkenaan tetapi umum perlu faham laporan yang dilakukan oleh Pemuda UMNO tidak menjurus kepada arah itu.

Persoalan yang lebih besar adalah mengapa isu sensitif tersebut iaitu mengenai hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera cuba dipertikaikan malah hanya disertakan dengan fakta-fakta yang tidak berasas langsung.

Kita percaya jika artikel itu hanya menyamakan Pemuda UMNO dengan kumpulan yang paling ganas sekalipun di muka bumi ini tidak akan mendatangkan sebarang kudis.

Tetapi kerana artikel itu disiarkan oleh laman web yang dikendalikan oleh mereka yang diberikan hak sebagai warga negara Malaysia yang mengakui kerukunan negara, isi kandungan yang terdapat dalam artikel itu bukan sahaja melampau dan kurang ajar malah cuba mencetuskan sentimen perkauman.

Lebih dahsyat lagi dakwaan yang terkandung dalam artikel tersebut bahawa orang Melayu sama seperti orang Inggeris yang menjajah Amerika Syarikat adalah satu pandangan yang bukan sahaja salah tetapi jelas tidak bertanggungjawab.

Ini kerana orang Melayu telah diketahui oleh pengkaji sejarah merupakan penduduk tetap semenanjung tanah Melayu sejak beribu tahun lalu. Fakta ini tidak boleh diubah oleh siapa sahaja yang mempercayai sejarah melainkan jika seseorang berfikiran beku dan bertujuan untuk melakukan hasutan dengan niat tertentu.

Inilah sebab utamanya mengapa Pemuda bertindak sedemikian. Bukan kerana gila publisiti atau sebagainya tetapi disebabkan rasa kecintaan yang menebal terhadap keamanan dan keharmonian negara yang dikecapi oleh seluruh kaum.

Pada masa yang sama, Pemuda UMNO hanya menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka selaku pertubuhan yang sentiasa cintakan kedamaian dan keamanan negara berkekalan.

Bukanlah kerja Pemuda untuk menjatuhkan hukuman kepada laman web berkenaan kerana Pemuda yakin dengan penuh kepercayaan terhadap undang-undang negara. Biarlah undang-undang tersebut yang membuat penghakiman melalui siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa seperti polis dan mahkamah.

Yang pasti, kita tidak mahu wujudnya lagi pihak-pihak tertentu yang seakan cemburu dengan keamanan dan kemakmuran negara dengan cuba mencetuskan perkara yang pada anggapan kita tidak masuk akal seperti mengubah fakta sejarah.

Tindakan tegas pihak polis terhadap pihak-pihak ini penting sebagai peringatan kepada yang lain agar sentiasa menjaga sesitiviti bukan hanya mengikut nafsu atau sekadar suka-suka mahu pun cuba menguji kekebalan masing-masing dengan mencetuskan isu-isu tertentu yang majoriti rakyat memahami dan mentaatinya.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1