from UMNO website Feb 17th 2003
|
Sdr Editor!
Pemuda UMNO menghadapi satu demi satu provokasi berhubung dengan tindakannya melaporkan surat berbau hasutan oleh penulis bernama Petrof yang disiarkan di Malaysiakini. Artikel Shamsul Akmar bertajuk “Knee-jerk reaction cost Umno Youth an opportunity to rise to the occasion” merupakan kritk terkini yang disiarkan di akhbar News Straits Times.
Menurut Shamsul Akmar, tindakan Pemuda UMNO sebenarnya telah
memberi nafas baru terhadap Malaysiakini, yang sedang tenat, menyebabkan ia
mendapat dana dari sumber asing semula. Menurut Shamsul lagi, `berselindung di
sebalik pihak berkuasa bukan jalan menghasilkan seorang juara.’
Membaca artikel Shamsul, pertamanya, kita tidak fikir beliau faham isu yang
sebenar. Malaysiakini BUKAN sekali memainkan isu perkauman di dalam
penerbitannya. Surat Petrof cuma salah satu darinya. Laporan polis yang dibuat
oleh Pemuda UMNO, hanyalah setelah kali ketiga menemui artikel yang bernada sama.
Steven Gan di dalam responnya, menyatakan bahawa sebab dia menyiarkan surat ini adalah kerana ia `mempunyai fakta kajian perbandingan.’ Alasan ini merupakan alasan yang tidak dapat diterima sama sekali dan mencerminkan kelemahan daya analisis Steven Gan.
Menyiarkan surat yang mempersoalkan kedudukan orang Melayu, dan yang penuh dengan kesilapan fakta, menunjukkan Steven Gan tidak berhasrat mencari kebenaran, sebaliknya kelihatan lebih berniat jahat. Bukankah lebih baik, kebebasan akhbar, diperjuangkan di dalam bentuk menyiarkan kebenaran, bukan kepalsuan?
Keduanya, kita berpendapat mungkin Shamsul terpedaya dengan propaganda yang dimainkan oleh Malaysiakini. Kebebasan akhbar Malaysiakini telah disalah gunakan dengan mensensasikan isu yang bukan merupakan isu pokok.
Pemuda UMNO sedikitpun tidak ambil peduli dengan tuduhan Ku Klux Clan terhadapnya, kerana itu bukan merupakan isu pokok. Pemuda UMNO juga tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memaksa pihak polis mengambil sebarang tindakan terhadap Malaysiakini.
Editorial Laman Web Pemuda UMNO telah mencabar Steven Gan, untuk menerangkan rasional beliau menyiarkan surat Petrof melalui rencana lidah pengarangnya, “Respon Artikel Malaysiakini, Petrof dan Steven Gan Perlu Beri Penjelasan.” Bagaimanapun, sehingga saat ini Steven Gan masih gagal memberikan sebarang jawapan.
Akibat terpedaya dengan propaganda yang dimainkan, Shamsul bukan sahaja tidak dapat melihat isu pokok, tapi terus menulis berkisar dengan isu pinggir.
Ketiganya, Pemuda UMNO tidak sedikitpun berselindung di belakang pihak berkuasa, sebaliknya hanya membuat satu laporan polis yang mudah, sepertimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Hanya orang yang bersalah sahaja berasa takut jika mereka melakukan kesalahan undang-undang.
Dalam hal ini Pemuda UMNO tidak sedikitpun melanggar undang-undang. Jika Pemuda UMNO bertindak membakar pejabat Malaysiakini, barulah adil untuk mengatakan Pemuda UMNO bersalah dan melanggar undang-undang.
Tindakan ini juga tidak boleh dianggap sebagai tindakan pengecut. Apa kurangnya Malaysiakini yang takut berdepan dengan undang-undang Malaysia, dan cuba mendapatkan sebanyak mungkin bantuan dari Suhakam, rakan-rakan di dalam dan juga di luar negara? Pemuda UMNO hanya bertindak dalam batas yang dibenarkan.
Surat Shamsul ini sebenarnya membuka pekung di dada beliau sendiri. Soalan kita kepada Shamsul: Sejauh manakah beliau mengetahui akaun Malaysiakini berada di dalam keadaan tenat. Dapatkan beliau memberikan butir terperinci dengan data-datanya sekali?
Soalan kedua; Apakah beliau akan meng`halal’kan tindakan pihak tertentu memainkan isu sensitif, sebagai provokasi agar dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, supaya isu tersebut boleh dimainkan sebagai jalan terakhir untuk meraih simpati dan bantuan dana asing? Apakah jenis kebebasan akhbar yang tergamak memainkan isu sensitive,hanya untuk mengisi akaun telah kering?
Soalan ketiga: Selama ini pernahkan beliau memantau surat-surat dan artikel berbau hasutan yang disiarkan oleh Malaysiakini? Apakah yang telah beliau lakukan sepanjang tempoh sebulan ini untuk memperdebatkan isi kandungan surat Petrof?
Soalan keempat; Apakah tanggungjawab untuk mempertahankan kedudukan dan maruah orang Melayu hanya terletak di bahu Pemuda UMNO? Apakah, sebagai seorang Melayu, beliau boleh diharap untuk mempertahankan kedudukan dan maruah orang Melayu?
Sebenarnya Pemuda UMNO tidak perlu sampai membuat sebarang laporan polis jika pihak berkuasa memantau tindakan Malaysiakini dengan bersungguh-sungguh. Laporan ini juga tidak perlu, jika orang-orang Melayu turut mengambil tanggungjawab untuk memantau dan menghalang tuduhan-tuduhan salah terhadap kaum Melayu berleluasa.
Soalnya, jika orang Melayu tidak memikul tanggungjawab ini sendiri, bolehkah orang Melayu mengharapkan Pas atau Keadilan? Bolehkah orang Melayu mengharapkan Shamsul Akmar? Berteori ada kalanya jauh lebih mudah dari melakukan.
Tun Faisal Ismail B. Aziz, Gombak