New Page 1

UMNO Youth website  Feb 20th 2003

Editorial

Isu Pertikaian Hak Orang Melayu – Apakah Ianya Tanggungjawab Pemuda UMNO semata-mata?

Email seorang pembaca Laman Web Pemuda UMNO menjadi jawapan yang agak adil terhadap artikel Shamsul Akmar bertajuk “Knee-jerk reaction cost Umno Youth an opportunity to rise to the occasion” yang tersiar di akhbar News Straits Times.

Selain mendedahkan kelemahan Shamsul, surat tersebut mencabar Shamsul untuk menjawab beberapa soalan. Di antara soalan yang menarik adalah - sejauh manakah beliau mengetahui akaun Malaysiakini berada di dalam keadaan tenat dan dapatkan beliau memberikan butir terperinci dengan data-datanya sekali? Apakah beliau akan meng`halal’kan tindakan pihak tertentu memainkan isu sensitif, sebagai provokasi agar dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, supaya isu tersebut boleh dimainkan sebagai jalan terakhir untuk meraih simpati dan bantuan dana asing?

Kita serahkan kepada Shamsul untuk menjawab soalan tersebut. Kita percaya, Shamsul tentulah mempunyai fakta-fakta yang cukup sebelum menulis. Kita berharap, Shamsul tidak menjadi seorang lagi `Steven Gan’ yang gagal melaksanakan tanggungjawab kewartawanan dengan baik, dan, disebabkan kegagalan ini, cuba berselindung di sebalik alasan `kebebasan akhbar.’

Sebelum artikel Shamsul disiarkan, Editorial Laman Web Pemuda UMNO juga ada menerima panggilan telefon yang mendesak Pemuda UMNO bertindak lebih agresif dan proaktif untuk membalas tuduhan-tuduhan pengkritiknya. Sekiranya tidak, Pemuda UMNO akan kelihatan bersalah.

Bagaimanapun, kita juga bertanya kepada pemanggil tersebut, soalan yang sama seperti yang disoal kepada Shamsul; Apakah yang telah dia lakukan untuk mempertahankan kedudukan orang Melayu? Seperti dijangka – tidak ada.

Entah bagaimana orang Melayu, seperti pemanggil berkenaan, beranggapan bahawa isu yang mempersoalkan kedudukan orang Melayu sebagai isu yang patut diperjuangkan oleh Pemuda UMNO semata-mata. Pada pandangannya, isu tersebut bukan merupakan isu beliau, walaupun beliau berketurunan Melayu.

Di manakah silapnya? Mungkin akibat mendapat pendidikan di universiti `Ivy League’ di luar negara, pemanggil tadi tidak lagi melihat dirinya sebagai Melayu dan melihat tugas mempertahankan kedudukan Melayu bukan tugas beliau.

Mungkin juga, disebabkan Pemuda UMNO begitu berjaya ketika menangani isu Suqui beberapa tahun lalu, maka orang-orang Melayu yang memandang hina usaha Pemuda UMNO dahulu, merasa rendah diri kerana tidak mampu bertindak sehebat Pemuda UMNO, dan meninggalkan beban tersebut di bahu Pemuda UMNO?

Sejak bilakah tanggungjawab untuk mempertahankan kedudukan dan maruah orang Melayu hanya terletak di bahu Pemuda UMNO?

Orang Melayu tidak boleh meletak harapan kepada Pas dan Keadilan untuk memikul tanggungjawab ini. Umpama `sesumpah’ dan `lalang’, Pas dan Keadilan boleh berubah pendirian dan mendakap erat anggota-anggota Suqiu, pada bila-bila masa sahaja.

Orang Melayu perlu diingatkan bahawa di dalam sejarah Melayu, ada watak `Si Kitul’. Orang Melayu juga wajar diingatkan bahawa di zaman Jepun, ada orang Melayu yang sanggup mengkhianati bangsanya kerana sebatang rokok. Watak ini akan terus ada, dan orang Melayu harus berwaspada.

Benar, seperti kata penulis surat tersebut, orang-orang Melayu perlu bersama-sama memikul tanggungjawab untuk memantau dan menghalang perbuatan pihak tertentu yang suka mempertikaikan kedudukan orang Melayu. Tanggungjawab ini bukan tanggungjawab Pemuda UMNO semata-mata.

Orang-orang Melayu yang prihatin tentang keadaan ini wajar membantu Pemuda UMNO untuk memupuk kesedaran di kalangan orang Melayu bagi mencari kekuatan untuk mempertahankan diri dan `menyerang’ pihak-pihak ekstremis ini.

Kita perlu mendidik lebih ramai lagi orang Melayu yang bijak dan dapat membezakan di antara kebenaran dengan propaganda pihak tertentu.

Dalam masyarakat kita ketika ini, keadaan sudah jadi terbalik. Sepatutnya manusia diajar menghormati kebebasan akhbar dengan mengutamakan kebenaran. Bagaimanapun, pada ketika ini, terdapat kecenderungan untuk mengajar manusia untuk melindungi `penipu’ di atas nama kebebasan akhbar.

 

Hosted by www.Geocities.ws

Hosted by www.Geocities.ws

1