Oleh Waibi
Linggi
Sikap sengaja ingin memburuk-burukkan mutu perkhidmatan Polis DiRaja
Malaysia (PDRM) nampaknya terus dimainkan oleh laman web Malaysiakini
apabila kali ini mereka menyiarkan pula artikel bertajuk 'Police the
'most corrupt', survey found' - 'kaji selidik dapati polis paling
teruk salahguna kuasa' pada 20 Mei 2002.
Artikel yang ditulis oleh Claudia Theopilus itu mengambil kira studi
yang dijalankan bersama oleh Malaysian Institute of Management (MIM)
dan Kuala Lumpur Society for Transparency and Integrity (KLSTI) di
Selayang Baru dan Bandar Baru Selayang, yang berpopulasi seramai
164,000 orang.
Sekali lagi polis Malaysia cuba dikategorikan oleh laman web itu
sebagai agensi kerajaan paling teruk dari segi salahlaku anggotanya.
Pengkelasan ini turut menggambarkan seolah-olah standard PDRM adalah
tidak jauh berbeza dengan standard pasukan polis beberapa buah negara
ASEAN yang disahkan sebagai buruk oleh badan-badan penganalisis
antarabangsa.
Yang ingin dipersoalkan dalam studi yang seterusnya menjadi bahan
rujukan Claudia untuk menulis artikel itu ialah kaji selidik ke atas
orang awam Selayang Baru yang kebanyakannya kaum Cina dan India
berpendapat dengan merasuah pihak-pihak tertentu dalam agensi kerajaan,
banyak masalah dapat diselesaikan.
Inilah isu yang ingin dibangkitkan. Kaji selidik itu mendapati
responden Cina dan India paling ramai jumlahnya yang bersetuju bahawa
adalah tidak bersalahan untuk merasuah dan ini adalah pendekatan
terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Hanya dengan bersandarkan dari jumlah pihak-pihak yang memberi
pendapat bahawa adalah mudah untuk menyelesaikan masalah dengan pihak
berkuasa dengan merasuah mereka terutama pihak polis, satu justifikasi
telah dapat dirumuskan oleh Malaysiakini bahawa pihak polislah yang
paling teruk tahap korupnya di kalanagan agensi kerajaan yang ada.
Ini adalah tidak adil. Dipercayai ramai di kalangan pihak yang dikaji
selidik itu memberikan pendapat hanya bersandarkan sedap mulut dan
membuat kenyataan umum berdasarkan hearsay.
Dipercayai ramai yang ditanya itu mungkin tidak pernah sekalipun
menghadapi insiden di mana mereka terpaksa merasuah pihak berkuasa -
polis khususnya. Di manakah kekuatan fakta kaji selidik yang
dijalankan itu?
Satu lagi persoalan ialah mengapakan begitu ramainya kaum Cina dan
India yang membuat tanggapan bahawa untuk memudahkan urusan, merasuah
pihak berkuasa adalah langkah terbaik. Apakah mesej yang mereka ingin
sampaikan?
Adakah ia bermaksud jika kita melanggar undang-undang maka tidak perlu
takut kerana untuk menyelesaikannya maka rasuah sahaja anggota pihak
berkuasa.
Nampaknya satu justifikasi mudah telah diberikan kepada anggota pihak
berkuasa oleh pelanggar undang-undang ini. Meletakkan kesalahan
terhadap orang lain tanpa sedikitpun sedar keburukan sebenar diri
sendiri.
Survey dilakukan yang menjadi bahan rujukan Malaysiakini tidak boleh
dijadikan asas untuk menuduh pihak polis sebagai yang paling teruk
terbabit dalam korupsi.
Ianya amat tidak adil dan benar-benar mencemarkan imej institusi
kepolisan di negara ini yang baru-baru ini telah diiktiraf oleh
Interpol sebagai antara yang tercekap dan terbaik di Asia.
Nampaknya Malaysiakini dalam memberikan gambaran negatif kepada PDRM
tetap terus konsisten. Mereka dari sejak zaman kejatuhan bekas
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi telah memulakan
siri-siri memberi gambaran buruk kepada pihak polis.
Adalah sesuatu yang bohong untuk mengatakan bahawa pihak polis tidak
mempunyai sebarang cacat cela tetapi adalah sesuatu yang tidak
munasabah sekiranya jasa PDRM yang dapat menyediakan ketenteraman di
kalangan masyarakat selama ini tidak diambil kira oleh laman web itu
sebaliknya lebih ghairah menonjol-nonjolkan kelemahan tanpa fakta dan
bukti sahih.
Apakah motif Malaysiakini sebenarnya? (www.jihad-info.net) |