New Page 1

berita harian logo

Polis rampas peralatan komputer Malaysiakini.com


POLIS merampas komputer dan kelengkapan di pejabat
Malaysiakini.com, semalam.

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai peralatan komputer milik syarikat Mkini.com Sdn Bhd bagi membantu siasatan berhubung laporan Pergerakan Pemuda Umno yang mendakwa Malaysiakini.com menyiarkan artikel berunsur hasutan, semalam.

Sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi termasuk beberapa pegawai Unit Forensik Jenayah Siber, merampas 19 unit pemprosesan berpusat (CPU) dan empat unit sistem pelayan (server).

Pasukan itu dilihat memasuki pejabat portal berita internet itu di Jalan Bangsar Utama 9, Bangsar, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Selepas melakukan perbincangan kira-kira satu setengah jam, pasukan itu merampas semua CPU termasuk empat server.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya, Asisten Komisioner Syed Ismail Syed Azizan, mengesahkan mengenai rampasan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Pasukan itu turut menyoal siasat Ketua Pengarang Malaysiakini.com, Steven Gan dan Ketua Eksekutifnya, Premesh Chandran.

Pada 18 Januari lalu, Pemuda Umno membuat laporan polis di IPD Dang Wangi terhadap Malaysiakini dengan mendakwa laman web itu menyiarkan artikel berunsur hasutan yang ditulis seorang individu yang dikenali sebagai Petrof pada 9 Januari lalu.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Azimi Daim, berkata artikel itu berniat jahat kerana menyamakan Pemuda Umno dengan kumpulan perkauman Klu Klux Klan di Amerika Syarikat.

Beliau berkata, artikel itu juga mempertikaikan hak orang Melayu dengan membuat tuduhan palsu yang boleh menimbulkan kebencian pihak lain terhadap Pemuda Umno.

Sementara itu, Gan berkata, polis bertindak demikian selepas pihaknya enggan mendedahkan identiti penulis artikel berkenaan.

“Kami menjaga etika kewartawanan yang tidak akan mendedahkan sumber berita yang diterima,” katanya pada sidang akhbar selepas polis melakukan rampasan itu.

Beliau mendakwa tindakan polis merampas semua komputer milik Malaysiakini.com adalah satu tindakan untuk menutup terus laman web berkenaan.

“Dengan merampas komputer dan server, tentu sukar bagi kami untuk meneruskan perniagaan dan sekali gus menampakkan seperti mahu kami tutup kedai.

“Pemuda Umno yang bertindak demikian mungkin berasakan kami satu ancaman kerana pilihan raya semakin hampir,” katanya.

Beliau berkata, Malaysiakini.com yang berusia tiga tahun sebelum ini pernah menerima dua laporan polis mengenai dakwaan lain tetapi tidak pernah diambil tindakan seperti itu.

Hosted by www.Geocities.ws

Hosted by www.Geocities.ws

1