Jihad
By: Naufal Alkaff

Bismillah Al-Rahman Al-Rahiim.

“Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, sesungguhnya mereka akan Kami berikan petunjuk dan sesungguhnya Allah S.W.T. bersama orang-orang yang selalu berbuat kebaikan.” [29:69]

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad pada jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [2:218]

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah siapa orang-orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.” [3:142]

“Tidaklah sama antara orang-orang beriman yang duduk (tidak turut berperang) tanpa halangan, dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwa mereka atas orang-orang yang duduk satu darjat. Dan kepada masing-masing mereka, Allah menjanjikan kebaikan (syurga). Dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang-orang yang duduk dengan pahala yang besar.” [4:95]

“Kemudian sesungguhnya Tuhanmu (pelindung) terhadap orang-orang yang hijrah setelah mereka difitnah, kemudian mereka berjihad dan sabar, sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [16:110]

“Dan berjuanglah kamu pada agama Allah dengan sebenar-benar perjuangan…” [22:78]

Setiap ummat Islam perlulah mengetahui makna erti jihad itu dengan sebenar-benarnya. Jihad adalah satu ibadah yang amat mulia dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah (swt). Jihad bermaksud pengorbanan jiwa, harta, masa, tenaga, dan yang berkenaan dengannya pada jalan yang benar dan diredhai Allah (swt).

Jihad terbahagi kepada beberapa bahagian. Ianya tidak hanya khusus kepada satu, iaitu apabila berkata mengenai jidad, kita akan berfikir kepada peperangan atau sebagainya. Islam tidak suka ummatnya saling bercakaran dan hidup dengan penuh kejahilan. Islam menghendaki ummatnya hidup dengan aman dan apabila timbul sebarang masalah, diselesaikannya dengan bermesyuarah dan menggunakan akal serta bukannya dengan pertumpahan darah atau dengan keadaan yang tegang dan mengikut nafsu serta ego.

Setiap manusia di muka bumi ini adalah bersaudara sesama mereka. Tidak kira orang itu berlainan agama atau sebagainya. Maksud jihad yang utama sekali adalah jihad melawan nafsu daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Allah (swt). Salah satunya adalah sabar iaitu sifat terpuji (mahmudah) yang dituntut dalam Islam yang mana membawa maksud melakukan sesuatu pekerjaan  dengan bersungguh-sungguh, tanpa berasa penat, jemu, tidak berputus asa, dan tabah dalam menghadapi sesuatu.

Ini dapat dibuktikan dengan sikap Rasullullah (saw) dahulu dalam menyampaikan dakwahnya dan sepatutnya diambil contoh oleh setiap ummat muslimin apatah lagi pada masa kini ini. Baginda melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh kesabaran walaupun menempuhi pelbagai rintangan yang amat dahsyat dan akhirnya memperolehi kejayaan. Jikalau kita lihat manusia pada masa kini yang boleh dikatakan tamadunnya sudah lebih maju, mereka tidak mempunyai kesabaran dalam diri sama sekali. Apatah lagi jikalau mereka sudah biasa dengan kehidupan yang mewah dan serba senang.

Jihad yang kedua adalah menentang perkara-perkara mungkar yang berlaku dalam masyarakat atau sekeliling kita. Ianya dapat membanteras segala kemungkaran, penganiayaan, dan kezaliman yang berlaku dalam masyarakat bagi mewujudkan suasana yang aman, sejahtera, dan harmoni serta dapat membangunkan dan menjayakan masyarakat. Secara tidak langsung, ianya juga dapat mewujudkan keinsafan serta seseorang itu dapat memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing dan mengukuhkan perpaduan ummah bagi mendapat tempat yang mulia dan tinggi di sisi keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Makna jihad yang ketiga adalah jihad menentang musuh sama ada musuh orang Islam dan agama atau musuh yang mengancam keselamatan negara dan rakyat. Dalam perkara yang ini, ianya perlulah difikirkan dengan amat teliti. Yang penting, kita perlu ingat yang Allah (swt) menghendaki makhluknya hidup dalam suasana yang aman dan mengerjakan sesuatu perkara dengan bijak. Tidak mahulah kita tergolong mereka yang berada dalam kemungkaran dan tidak mendapat rahmat Allah (swt).

Dalam kehidupan ini, kita perlu mengamalkan dan mengutamakan yang lebih utamanya atau pokoknya dahulu. Jikalau akarnya masih kurang kuat dan batang pokok itu masih goyah, utamakanlah untuk memperbaiki yang itu dahulu. Sememangnya jihad itu wajib bagi setiap muslimin dan ianya bukan berdasarkan kekerasan. Ianya dapat dilakukan melalui ilmu pengetahuan, harta benda, tenaga, dan jika ada keinginan dalam diri, tiada sesuatu yang mustahil. Inilah sebabnya tiada paksaan dalam memeluk Islam kerana yang utama adalah dengan niat yang suci dan murni serta keikhlasan yang sebenar-benarnya bagi mendapat kebahagian dunia akhirat.

-Back-

Hosted by www.Geocities.ws

1