
Mengenal Kebesaran Allah (swt)
By Al-Habib Hasan Bin Mohammad Alatas
Jikalau kita berjalan di tepian pantai dan melihat kesan-kesan
tapak kaki manusia di atas pasir, tentulah kita akan terfikir bahawa sudah ada
orang yang menjejaki kawasan itu. Hal ini juga dapat mendekatkan diri kita
kepada keyakinan, bahawa adanya sesuatu unsur yang menggerak dan mentadbir alam
semesta mengikut peraturannya sendiri. Jika diteliti perjalanan bumi, tempat
tinggal kita sekarang, yang berputar mengikut paksinya dalam tempoh 24 jam dan
juga planet lainnya seperti matahari, bulan, dan sebagainya, tentulah kita akan
bertanya kepada diri kita sendiri tentang beberapa perkara.
Siapakah yang
mengatur ini semua? Siapakah yang meletakkan jarak antara matahari dan bumi
sedemikian baiknya? Bagaimana dan apakah yang bakal berlaku jika bumi terlalu
dekat ataupun terlalu jauh jaraknya dengan matahari? Siapakan yang mengatur
semua ini? Jika kita menganggap hal ini adalah disebabkan oleh adanya daya
tarikan graviti antara planet-planet, maka tentulah pula kita akan bertanya;
Siapakah penciptanya?
Jika kedudukan matahari dengan bumi terlalu dekat,
maka ia akan menyebabkan suhu bumi terlalu tinggi dan akan menyebabkan
kemusnahan. Demikian sebaliknya, bumi akan menjadi terlalu sejuk yang mana akan
menyukarkan sebarang hidupan untuk menghuninya.Dapatkah pula kita mengira jumlah
bintang yang berada di angkasa? Sungguh pun ramai pakar sains yang mencubanya,
namun tiada seorang pun yang berjaya menentukan jumlah sebenarnya. Semua hal ini
akan kembali kepada kenyataan bahawa ada sesuatu kuasa yang mentadbirnya, iaitu
‘Allah (swt)'.
Kewujudan dan pentadbiran alam semesta adalah suatu tanda
akan kebesaran Allah (swt) yang langsung tidak terfikir oleh manusia bahawa
mereka boleh melakukannya.
Allah (swt) berfirman:
Dan di antara tanda-tanda (kekuasaan) Nya, menciptakan langit dan bumi serta
apa-apa yang Dia tebarkan pada keduanya dari makhluk-makhluk melata. Dan Dia
Maha Kuasa menghimpun mereka bila Dia kehendaki. [42:29]
Di perut
bumi pula terdapat pelbagai jenis sumber berharga yang boleh digunakan oleh
manusia untuk membantu kehidupannya, seperti minyak, timah, tembaga, besi, emas,
intan, dan sebagainya. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan di bumi juga diwujudkan supaya
menjadi sumber yang berguna kepada manusia.
Walaupun berbagai jenis
tumbuhan terdapat di muka bumi, semunya berasal dari satu iaitu tanah. Kekuasaan
Allah (swt) jelas terbukti apabila rasa buah-buahan itu pula berbeza-beza,
seperti durian yang sudah tentu lain rasanya dari rambutan, atau tanaman lain
seperti epal, anggur, mangga, timun, labu, dan sebagainya.
Haiwan pula
mempunyai perbezaannya yang tersendiri, seperti ular bergerak secara menjalar,
ayam dengan menggunakan dua kakinya untuk berjalan, manakala lembu pula
menggunakan empat kakinya. Makanan setiap makhluk di alam ini juga berbeza,
seperti lebah suka menghisap madu, manakala lembu pula makanannya
rumput.
Manusia pula lain kejadiaanya dan tabiatnya. Kejadian manusia
seperti yang diterangkan oleh ilmu sains, bermula dengan pertemuan benih lelaki
(sperma) dan benih perempuan (telur). Berjuta-juta sel sperma lelaki akan
bertemu dengan sel perempuan. Apabila kedua-duanya bersatu dan membentuk satu
lembaga yang kemudiannya membelahkan dirinya menjadi dua, dari dua menjadi empat
dan seterusnya membelah dirinya berlipat ganda banyaknya.
Sel ini akan
membelah dirinya sehingga terbentuklah semua sifat pada tubuh seorang bayi dalam
tempoh empat bulan atau 120 hari. Bayi itu akan berada dalam kandungan ibu dan
masih belum dapat menggunakan anugerah pancaindera yang dikurniakan oleh Allah
(swt) kepadanya, namun Allah (swt) Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tetap
membenarkan anak atau bayi itu hidup, dengan memperolehi makanan yang deperlukan
melalui tali pusat yang bersambung dengan rahim ibunya. Apabila bayi itu lahir,
barulah ia dapat melihat dunia dan menggunakan semua panca-indera yang di
anugerahkan itu, tetapi keadaannya masih lemah dan perlukan pertolongan. Ibulah
yang akan menjadi pembimbing hingga ianya dewasa.
Dengan ilmu yang
dianugerahkan oleh Allah (swt), setiap bayi pasti akan tahu dengan sendirinya
bagaimana untuk menyusu dari ibunya tanpa diajar. Barangkali ada yang tidak
mempercayai tentang kekuasaan Allah (swt) dalam hal ini dengan mengatakan bahawa
ianya kerana pembawaan ibu bapa, tetapi di sini kita perlu bertanya: Siapakah
pula yang memberikan pembawaan ini kepada ibu, ayah, nenek dan datuk mereka
sebelumnya?
Jika kita berfikir sejenak tentulah kita akan sedar betapa
besarnya hikmah dan kasih sayang Allah (swt) kepada kita. Semenjak kita dalam
kandungan hingga kita meninggal dunia, kasih sayang Allah (swt) tiada pernah
putus, walaupun kita sentiasa derhaka kepadaNya. Manusia yang masih kafir dan
tidak percaya mengenai kewujudan Allah (swt) juga masih dapat menggunakan segala
kemudahan dan keperluan yang disediakan oleh Allah (swt) dalam kehidupan
mereka.
Manusia athesis (yang tidak percaya adanya tuhan) dan hanya
berpandukan pengetahuan logiknya kepada benda-benda yang dipegang dan dilihat,
tidak memikirkan perkara ini. Sekiranya mereka berfikir, tentulah pula mereka
akan sedar dan insaf bahawa tidak semua perkara dapat dilihat dengan panca
indera.
Lampu, engin kereta, peralatan yang besar-besar seperti yang
terdapat di kilang-kilang, semestinya memerlukan tenaga elektrik untuk
menjalankannya, sedangkan tenaga elektrik itu tidak dapat dilihat dengan mata
kasar. Contoh yang paling mudah dan dekat kepada kita ialah udara, yang kita
perlukan untuk bernafas, tetapi tidak pernah pula melihat udara itu dengan mata kasar.
Suara yang kita guna setiap hari dalam perhubungan kita dengan orang lain,
adalah sesuatu yang tidak boleh dilihat atau dipegang, tetapi kita masih terus
menggunakannya dan boleh membuatkan kita gembira, bersedih dan
sebagainya.
Disekeliling kita pula banyak perkara yang diketahui tetapi
amat sukar digambarkan seperti perasaan senang, susah, sakit, dan sebagainya.
Banyak hal yang tidak dapat dilihat tetapi menjadi keperluan pula kepada manusia
dan Allah (swt) telah menciptanya untuk kemudahan dan manfaat sekalian manusia,
tetapi terpulanglah kepada manusia untuk memahami dan beriman
kepadaNya.
Allah (swt) adalah yang Maha Suci dan Maha Sempurna, yang
merupakan sumber kepada segala kebaikan manusia, baik di dunia mahupun di
akhirat. Sungguhpun manusia yang engkar akan berdalih dengan menyatakan bahawa
sesuatu yang tidak boleh dilihat atau dirasa oleh pancaindera sendiri, tidak
boleh dipercayai, tetapi kenyataan seperti ini memang sukar
dibuktikan.
Banyak hal dan kewujudan sesuatu yang dipercayai oleh manusia
hanya didasarkan kepada kepercayaan semata-mata, seperti keadaan di Khutub Utara
dan Khutub Selatan. Keadaan di kedua-dua kutub yang dikatakan sejuk itu hanyalah
sekadar pengetahuan, kerana bukan semua diantara kita pernah menjejakkan kaki ke
sana. Demikian pula pengetahuan kita mengenai siapakan sebenarnya diri kita;
anak siapa atau siapa ibu bapa kita sebenarnya, kerana kita sendiri tidak pernah
menyaksikan sendira apabila kita dilahirkan. Pengetahuan kita hanya berdasarkan
‘bukti' manusia yang melihat atau ‘rekod' manusia
semata-mata.
Kepercayaan manusia kepada Allah (swt) adalah berdasarkan
kepada apa yang pernah disampaikan melalui para Anbia dan Rasul-Rasul Allah
(swt), yang semestinya tidak pernah berdusta.
Rasullullah (saw) adalah
suatu contoh yang baik sehingga Baginda mendapat gelaran Al Amin, atau ertinya
orang yang boleh dipercayai. Untuk mewujudkan atau memperkukuhkan keyakinan
kepada Allah (swt), maka kita seharusnya mengenal kebesaranNya sebagai Allah
(swt) yang satu, yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.
Allah (swt) berfirman:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan
bumi dan silih bergantinya malam dan siang adalah tanda-tanda bagi orang-orang
yang mempunyai fikiran (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah (swt) dalam
keadaan berdiri, duduk, berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan
bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan Kami, tidaklah Engkau ciptakan ini dengan
sia-sia; Maha Suci Engkau maka hindarkanlah kami dari siksa neraka”.
[3:190-191]
| Back |