
Hikmah Puasa Ramadhan (2)
By Al-Habib Hasan Bin Mohammad Alatas
“Marilah kita meneguhkan iman dengan menunaikan ibadah puasa dan
memperbanyakkan amal kebajikan”
Sungguh banyak hikmah yang terkandung
dalam ibadah puasa di bulan Ramadhan. Antaranya, ibadah puasa Ramadhan akan
membuat rohani dan jasmani kita lebih sihat. Oleh kerana itu marilah kita
pergunakan kesempatan yang baik ini dengan berpuasa selama bulan Ramadhan untuk
lebih meningkatkan kesihatan rohani dan jasmani kita.
Sudah sekian lama
kita hidup di dunai ini, sudah tentu sedikit sebanyak kita telah melakukan
perbuatan-perbuatan yang mendatangkan dosa, secara disedari ataupun tidak. Jiwa
kita mungkin telah ‘berkarat', ataupun hati kita telah diselubungi oleh ‘kotoran
dosa'. Apabila kotoran ataupun karat tadi tidak segera dilenyapkan, maka manusia
yang sentiasa melakukan dosa terus-menerus, hatinya menjadi tertutup, sehingga
segala petunjuk Allah (swt), tidak memberi apa-apa bekas kepada dirinya,
sehingga manusia tadi hanya rupanya saja seperti manusia tapi tingkah-lakunya
ataupun perangainya seperti haiwan.
Kalau manusia
telah jatuh kepada darjat haiwan, maka nilainya tidak ada lagi, dan tergolonglah
ia kepada orang yang rugi, baik di dunia ataupun di akhirat.
Allah (swt)
berfirman:
… sungguh Kami menciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk.
Kemudian Kami mengembalikannya kepada yang serendah-rendahnya, kecuali
orang-orang yang beriman dan beramal saleh, maka bagi mereka pahala yang tiada
putus-putusnya. [95:4-6]
Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian,
kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh dan saling berwasiat dengan
kebenaran dan saling berwasiat dengan kesabaran.
[103:1-3]
Mulia
Berdasar firman Allah
(swt) tersebut, maka nyatalah kepada kita bahawa darjat manusia akan menjadi
rendah dan ia berada dalam kerugian apabila ia tidak beriman dan tidak pula mau
mengerjakan amal saleh, oleh kerana itu marilah kita di dalam bulan suci
Ramadhan yang mulia ini lebih memperkuatkan iman kita sambil memperbanyak amal
saleh sehingga kita tidak tergolong dalam manusia darjat yang rendah dan tidak
pula berada dalam kerugian.
Kalau kita mau merenung sejenak, maka
nyatalah kepada kita bahawa nilai manusia baru menjadi tinggi dan berada dalam
keuntungan apabila ia beriman dan mengerjakan amal saleh, dengan kata-kata lain
ia baru meningkatkan darjatnya kepada darjat yang tinggi dan kemuliaan serta
mencapai kebahagian apabila ia beriman kepada Allah (swt) dan banyak melakukan
amal-amal saleh ataupun pekerjaan yang baik dan mulia di sisi Allah
(swt).
Cubalah bandingkan dimana nilai manusia, jika dibandingkan dengan
seekor lembu yang tergolong kepada haiwan ataupun binatang. Walaupun manusia
mempunyai kelebihan akal, tapi tidaklah cukup, kerana jika kita bandingkan
kedua-duanya yang sedang berjalan bersama , apabila lembu dan manusia itu
bertemu sebidang kebun dimana di dalamnya terdapat beraneka macam tanaman,
kedua-duanya mempunyai keinginan untuk masuk ke dalam kebun itu.
Lembu
tidak dapat masuk kerana ada pagar, akan tetapi bagi manusia itu tidak menjadi
halangan baginya, dengan menggunakan akal fikirannya, maka berusahalah ia untuk
masuk ke dalam, dengan memanjat pagar tadi, kalau dilihatnya ada orang lain
menjaganya, maka akal fikirannya mengajarkan kepadanya untuk datang pada malam
hari, di kala orang tidak ada, ataupun di kala sepi maka masuklah orang itu ke
dalam kebun tadi, untuk mengambil segala apa yang ada dalam kebun itu yang bukan
menjadi hak miliknya. Lembu tidak pandai menipu dan berbohong ataupun
berputar-belit, akan tetapi manusia berbagai ragam penipuan dapat dilakukannya
dengan akal fikirannya itu.
Segala kebaikan ataupun keburukan,
kebahagiaan atau kemalangan yang ada di dunia ini, sebahagian besarnya adalah
disebabkan amal perbuatan manusia. Jika ia beriman dan beramal saleh, maka
dilakukannya amal perbuatan yang menguntungkan makhluk Allah (swt) lainnya, akan
tetapi jika tidak maka dengan akal fikirannya itu dilakukannya bermacam-macam
kejahatan di dunia ini. Bermacam bala bencana yang ditimbulkan di dunia seperti
peperangan, pergaduhan yang telah berlaku adalah disebabkan oleh kerana manusia
yang banyak akal fikirannya akan tetapi tidak pula beriman kepada Allah (swt),
dan tidak pula mau melakukan perbuatan yang baik.
Kalau kedua makhluk
Allah (swt) itu (manusia dan lembu) mati, maka cubalah nilai antara keduanya
itu, mana satu yang lebih tinggi nilainya? Apakah manusia atau lembu? Kalau kita
mau mengkajinya maka kita akan melihat lembu lebih tinggi nilainya, berapa harga
daging lembu satu katinya? Berapa pula nilai kulit, tulang dan lainnya yang ada
pada lembu? Dan cubalah bandingkan dengan nilai daging, kulit ataupun tulang
manusia, berapa pula nilainya?
Oleh kerana itu marilah kita menguatkan
iman kita kepada Allah (swt) dan mengerjakan amal perbuatan yang baik
sebanyak-banyaknya. EnsyaAllah kita akan tergolong kepada darjat yang tinggi dan
hidup berbahagia.
Puasa menjadikan tubuh badan kita lebih sihat. Selama
hampir sebelas bulan dalam setahun kita makan dan minum di siang hari, sehingga
tali perut (usus) kita tidak henti-hentinya bekerja keras untuk menghadamkan
makanan. Oleh kerana itu banyaklah di antara kita yang telah menderita sakit
perut, seperti sembelit, ceret-beret, dan bermacam-macam penyakit
lainnya.
Oleh kerana itu ibadah puasa Ramadhan sangatlah berguna untuk
menjaga kesihatan jasmani kita, dengan berpuasa selama sebulan dibulan Ramadhan
maka dapatlah usus kita mendapat masa rehat selama sebulan, walaupun ia masih
terus menghadamkan makanan akan tetapi tidak sekuat sebelumnya. EnsyaAllah
dengan demikian kita akan menjadi lebih sihat, terutama sekali perut kita tidak
selalu menderita sakit.
Kesihatan
Demikian
pula selama hampir sebelas bulan di dalam setahun kita terus-menerus mengisi
perut kita dengan berbagai ragam makanan, malah ada yang makan berlebih-lebihan.
Hal yang seperti ini akan mendatangkan kesan kepada jasmani kita, tubuh kita
menjadi lebih gemuk, malah ada yang berat badannya telah melebihi dari ukuran
kesihatan.
Oleh kerana itu timbullah pula bermacam-macam penyakit yang
sering menimpa mereka yang berat badannya telah berlebihan. Ada yang menderita
dengan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan bermacam-macam
lagi. Timbullah pula beraneka pil-pil untuk menguruskan badan dijual di
kedai-kedai. Rumah-rumah solek juga menjadi demikian laris perniagaannya kerana
iklan-iklan untuk menguruskan badan, bukan sedikit wang yang telah dibelanjakan
untuk menguruskan badan atau mengurangi berat badan supaya sesuai dengan tinggi
tubuh kita.
Dengan tibanya bulan Ramadhan, bersyukur kita kepada Allah
(swt), dimana tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak, malah dapat menjimatkan
perbelanjaan, kerana dengan berpuasa selama sebulan maka EnsyaAllah kita dapat
menghilangkan segala yang tak berguna, seperti kelebihan lemak dan daging.
Dengan demikian tubuh kita akan menjadi lebih sihat.
Allah (swt) berfirman:
Hai keturunan Adam (as), pakailah
perhiasanmu pada setiap (masuk) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah
berlebihan. Sesungguhnya Allah (swt) tidak menyukai orang-orang yang
berlebih-lebihan. [ 7:31 ]
Allah (swt) mengingatkan kita hal
tersebut bukanlah bererti kita dilarang makan dan minum yang sedap dan lazat,
tidak sekali-kali, akan tetapi peringatan Allah (swt) itu hanyalah supaya kita
mengatur makan dan minum kita jangan sampai melampaui batas, sebab ini akan
merugikan kita.
“Dua kali nikmat puasa; Pertama ialah semasa kita
berbuka, dan kedua ialah ketika di Hari Raya”
| Back |