Hikmah Puasa Ramadhan

By Al-Habib Hasan Bin Mohammad Alatas

 

“Puasa merupakan alat menahan segala bentuk keburukan, ia ‘perisai' menghalang manusia menurut hawa nafsu”

Bulan yang diberkati Allah (swt) iaitu bulan Ramadhan. Di dalamnya penuh mengandungi hikmah yang merupakan nikmat Allah (swt) yang amat besar bagi hamba-hambaNya yang saleh, iaitu Puasa Ramadhan. Puasa ialah menahan diri dari segala apa yang membatalkannya, bermula dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari dengan berniat, untuk mematuhi perintah Allah (swt).

Puasa merupakan ibadah yang tua sekali yang telah juga diwajibkan kepada umat manusia sejak dahulu kala. Hanya cara dan waktunya agak berbeza menurut perbezaan umat dan zamannya.

Allah (swt) berfirman:
Hai sekalian orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu puasa, sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertaqwa… [2:183]

Tujuan utama berpuasa ialah supaya kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah (swt), sebagaimana tersebut diakhir surah Al-Baqarah ayat 183 yang maksudnya supaya kita bertaqwa. Maksud taqwa disini ialah supaya kita menjadi orang yang taat setia dan patuh kepada Allah (swt), menjalankan perintah Allah (swt) dengan penuh keikhlasan dan kejujuran, semata-mata kerana Allah (swt) bukan disebabkan hal-hal yang lainnya. Taqwa adalah darjat yang tertinggi dalam kehidupan seseorang yang beriman kerana terpeliharalah ia dari kejahatan.

Semua apa yang diperintah Allah (swt) mengandung hikmah yang banyak di dalamnya, barang siapa menjalankannya dengan baik, maka ia akan beruntung dan akan menikmati faedah bagi dirinya sendiri. Demikian pula ibadah puasa Ramadhan juga mengandungi banyak hikmah di dalamnya baik untuk kepentingan rohani juga untuk kepentingan jasmani.

Puasa merupakan alat ataupun perisai untuk menjaga diri kita supaya kita terselamat dari tipu daya hawa nafsu jahat yang ingin menjahanamkan diri kita. Puasa juga dapat diumpamakan sebagai brek yang ada pada kereta untuk menahan kereta itu daripada melanggar orang atau benda lain, juga untuk menahan jangan sampai kereta tadi jatuh ke dalam jurang kehancuran. Berbahagialah mereka yang berpuasa, dan rugilah mereka yang mengabaikan puasa.

Puasa merupakan tempat latihan rohani dan jasmani kita untuk menjadi manusia yang baik dan tabah menghadapi segala cubaan hidup, untuk menjadikan kita manusia yang tahan uji dan sabar dalam menghadapi segala rintangan dan halangan dalam kehidupan kita sehari-hari.


Perasaan

Kuasa menanamkan perasaan senasib bagi seluruh mereka yang beriman, kerana sama-sama melakukan ibadah puasa, dengan tidak membeza-bezakan antara yang kaya dengan yang miskin, yang berpangkat tinggi dengan yang berpangkat rendah, semuanya sama-sama hamba Allah (swt), yang wajib taat dan patuh kepada segala perintahNya.

Walaupun demikian, Allah (swt) memiliki sifat kasih sayang, memiliki sifat rahmat kepada hamba-hambaNya yang lemah, sakit ataupun musafir, kepada mereka ini bolehlah menggantikan ibadah puasa pada hari yang lain, setelah ia sembuh dari sakitnya ataupun dia telah kembali ke tempat ia menetap, apabila ia sanggup melakukannya dan tidak membahayakan bagi dirinya.

Allah (swt) berfirman:
Dalam bulan Ramadhan itu diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu serta Pembela (antara yang hak dan yang batil). Barangsiapa yang menyaksikan diantara kamu bulan Ramadhan hendaklah dia mempuasakannya, dan barangsiapa yang sakit atau dalam perjalanan maka (puasakanlah) bilangan (yang tidak dipuasakan itu) pada hari-hari yang lain. Allah (swt) menghendaki kemudahan bagi kamu dan Dia tidak menghendaki kesulitan bagi kamu; dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (harinya) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (swt) atas petunjuk-Nya yang telah diberikan kepadamu dan supaya kamu bersyukur. [2:185]


Sudah sepatutnya kita bersyukur kepada Allah (swt) yang telah banyak memberikan petunjuk kepada kita, puasa itu adalah salah satu petunjuk Allah (swt), apabila kita lakukan dengan baik maka puasa itu akan menguntungkan diri kita sendiri, dan rugilah mereka yang meninggalkan puasa walaupun sehari saja dengan tidak ada uzur, bererti ia telah mensia-siakan kesempatan yang baik sekali yang telah disediakan Allah (swt) untuk melatih dirinya.

Bagi mereka yang susah sekali melakukan puasa disebabkan keadaan dirinya yang sedemikian rupa sehingga akan membahayakan dirinya apabila ia mengerjakan puasa, kepada orang yang seperti ini juga kasih sayang Allah (swt) senantiasa menyertainya, kepada mereka ini juga dilonggarkan dengan kemudahan dari Allah (swt) supaya mereka membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin, sebagai ganti puasanya.


Lemah

Termasuklah dalam golongan yang boleh meninggalkan puasa ini orang-orang yang sangat tua dan sangat lemah pula tenaganya, orang-orang yang sakit merana bertahun-tahun dan tak ada harapan untuk sembuh lagi, wanita hamil ataupun yang sedang menyusukan anaknya, apabila ia berpuasa akan membahayakan dirinya atau bayinya, mereka yang mencari penghidupan dengan pekerjaan yang sangat berat sehari-hari, maka kalau ia berpuasa ia tidak sanggup mengerjakan pekerjaan itu, kerana tenaganya menjadi lemah sekali (ini pun mestilah jangan dibuat-buat). Pekerjaan ini tidak dapat digantikan pada malam hari.

Orang-orang yang sangat payah melakukan puasa seperti yang tersebut tadi kewajipan baginya membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin sebagai ganti satu hari puasanya, sebanyak secupak makanan atau seperempat gantang fitrah (boleh juga diberikan setiap harinya kepada seorang miskin dengan cukup lauk-pauknya, terdiri dari makanan yang biasa dimakannya sehari-hari, yang mengenyangkannya).

Barang siapa yang mengeluarkan fidyah lebih daripada itu adalah lebih baik lagi. Barang siapa yang sanggup berpuasa adalah lebih baik baginya, dan menggantikan puasanya pada waktu ia tidak hamil atau tidak bekerja berat lagi.


Kifarah

Mereka yang membatalkan puasanya di bulan Ramadhan kerana memperturutkan hawa nafsunya, iaitu mencampuri isterinya diwaktu siang hari bulan Ramadhan, maka orang yang seperti ini mestilah membayar denda (kifarah) iaitu wajiblah ia memerdekakan seorang budak mukmin (salah satu cara Islam menghapuskan perbudakan).

Kalau ini tidak sanggup ia melakukannya maka wajiblah ia berpuasa dua bulan berturut-turut, kalau ini pun tak sanggup ia melakukannya, maka wajiblah ia memberi makan enam puluh orang miskin, untuk setiap orang miskin secupak makanan.

Ini merupakan pengajaran bagi orang-orang yang suka memperturutkan hawa nafsunya, kerana dalam bulan puasa masih juga tidak berubah perangainya, padahal peringatan Allah (swt) telah ada, selama hampir sebelas bulan ia dapat memenuhi kehendaknya, hanya diberikan kesempatan dalam sebulan untuk mengubah perangai kehaiwanan atau memikirkan perut saja. Ini perlu dilatih supaya tabiat yang buruk itu dapat dirubah, supaya manusia ini teratur hidupnya, segala sesuatu dilakukan jangan melampau batas, kalau terlampau batas buruk padahnya.

Supaya puasa kita mencapai tingkat yang tinggi maka selain daripada menahan diri dari makan dan minum ataupun mencampuri isteri selama bulan Ramadhan, juga kita disuruh menjaga segala anggota tubuh kita dari perkara-perkara yang diharamkan Allah (swt), disamping itu kita juga haruslah senantiasa mengingat Allah (swt), janganlah sekali-kali kita melupakannya.

Bagaimanakah cara kita menjaga segala anggota tubuh kita daripada segala yang diharamkan Allah (swt)? Caranya ialah menjaga atau memelihara pandangan mata dari melihat hal-hal yang haram, memelihara lidah daripada memperkatakan sesuatu yang keji, seperti mengumpat, membuat fitnah, berbohong, menipu, segala apa yang kita katakan hanyalah kebenaran, menjaga segala anggota lainnya dari hal-hal yang haram, seperti makan makanan yang haram, minum minuman yang haram, dan sebagainya.

Kalau dapatlah kita memelihara semua ini, EnsyaAllah puasa kita akan mencapai tingkat yang tinggi, apa lagi jika kita senantiasa hanya mengingat Allah (swt) tidak ada satu bendapun di dunia ini yang dapat mempengaruhi diri kita dari mengingat Allah (swt). Selama bulan puasa segala amal baik kita akan dibalas berlipat ganda, apa lagi jika kita beramal baik di saat Lailatul Qadar kerana Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan.

Allah (swt) berfirman:
Dan tahukan engkau apakah lailatulqadar itu? Lailatulqadar itu lebih baik dari seribu bulan. [97:2-3]


Oleh kerana itu, perbanyaklah amal kebaikan selama bulan Ramadhan melebihi amal kebaikan sebelumnya, perbanyaklah bersedekah, memberi perbukaan kepada mereka yang berpuasa, dengan mengajak yang fakir miskin berbuka puasa ketempat kita, sebagaimana Baginda Rasullullah (saw) pernah ditanya oleh sahabat, sedekah apakah yang lebih baik ya Rasullullah (saw)?

Rasullullah (saw) bersabda:
Perbanyaklah membaca dan memahami Al-Quran selama bulan Ramadhan, sebagaimana setiap tahun Jibrail (as) turun di bulan Ramadhan menemui Rasulluallah (saw) untuk membacakan Al-Quranulkarim.


Kita berdoa kepada Allah (swt) semoga diberinya kesihatan tubuh kepada kita semua, dan Allah (swt) memberikan ketabahan dan kesabaran kepada kita di dalam melakukan ibadah puasa di tahun ini dengan sebaik-baiknya, dan semoga dapatlah kita merubah segala yang tidak baik menuju kepada yang baik. Amin…

 

| Back |

Hosted by www.Geocities.ws

1