Pembangunan Perisian PPBK Untuk Belajar Menghasilkan Lukisan DUA Dimensi Dengan Menggunakan Perisian AUTODESK COMPUTER AIDED DESIGN RELEASE 14 (ACAD R14).

Kandungan

1.1 Latarbelakang

1.2 Kekuatan Sistem Sekarang

1.3 Kelemahan Sistem Sekarang

1.4 Peluang

  1. Persoalan Kajian
  2. Matlamat Kajian
  3. Objektif Kajian

1.5 Ancaman

Rujukan

 

1.1             LATARBELAKANG

 

Komputer dan teknologi maklumat berkembang dengan begitu pesat dari hari ke hari. Di samping itu, komputer kini lebih laju dan mempunyai keupayaan grafik dan bunyi yang menarik. Menurut Crosley (1988) pada hari ini  komputer mampu untuk membina lukisan perspektif dengan cepat dan berupaya untuk menghasilkan lukisan binaan dengan tepat serta dapat menghasilkan persembahan yang menarik. Kemahiran melukis dengan menggunakan komputer adalah penting bagi pelajar lulusan seni bina di politeknik-politeknik Malaysia.      

    Menurut Brodeur et al.(1998) Computer Aided Drafting atau ringkasannya CAD adalah merupakan satu applikasi lukisan teknikal dengan menggunakan komputer untuk menghasilkan garisan, lengkungan dan objek-objek lain pada skrin komputer. Manakala Autodesk Computer Aided Design atau ringkasannya ACAD adalah merupakan perisian lukisan yang dihasilkan oleh Autodesk Inc. Perisian ini boleh digunakan untuk menghasilkan lukisan teknikal berasaskan komputer. Perisian ini boleh digunakan oleh jurutera dan arkitek di dalam menghasilkan lukisan binaan dan lukisan persembahan. Lukisan binaan adalah lukisan yang boleh dijadikan sebagai asas untuk membina objek manakala lukisan persembahan adalah lukisan yang digunakan untuk mempersembahkan idea yang telah dihasilkan. Subjek lukisan terbantu komputer di Politeknik Port Dickson telah diperkenalkan secara sistematik di dalam kurikulum seni bina sejak tahun 1995. Di dalam kurikulum seni bina subjek ini dinamakan sebagai computer aided design and drafting yang mana ringkasannya ialah CADD. Subjek Computer Aided Design and Drafting 1 (CADD1) diajar pada semester dua manakala subjek Computer Aided Design and Drafting 2 (CADD2) diajar pada semester empat. Bagi subjek Computer Aided Design and Drafting 1 (CADD1) pelajar akan belajar menghasilkan asas lukisan binaan dua dimensi dengan bantuan komputer manakala bagi subjek Computer Aided Design and Drafting 2 (CADD2) pelajar akan belajar asas di dalam menghasilkan lukisan persembahan dengan bantuan komputer.

    Computer Aided Design and Drafting 1 (CADD1) adalah subjek lukisan bantuan komputer peringkat asas. Matlamat subjek ini ialah menyediakan kemahiran kepada pelajar untuk menggunakan perisian Autodesk Computer Aided Design Release 14 (ACAD R14) dalam menghasilkan lukisan dua dimensi.

Bagi mencapai matlamat subjek ini pelajar akan diajar perkara-perkara di bawah iaitu (Jabatan Pendidikan Teknikal 1995) :

a.      Menerangkan cara pengunaan Autodesk Computer Aided and Design Release 14 (ACAD R14) dalam menghasilkan lukisan dua(2) dimensi. Ianya melibatkan penjelasan tentang paparan skrin utama, prinsip kordinat serta kaedah asas untuk membuka dan menutup fail

b.      Menjelaskan perintah-perintah ‘Assist’ yang digunakan untuk membantu perintah-perintah asas yang terdapat di dalam perisian.

c.      Menjelaskan perintah-perintah yang digunakan untuk memilih entiti.

d.      Menjelaskan perintah-perintah paparan

e.      Mengajar pelajar untuk menggunakan perintah-perintah melukis. Ini adalah merupakan kumpulan perintah asas yang digunakan untuk membina objek.

f.        Memahami perintah-perintah ‘construct’ dan ‘modify’. Ini adalah merupakan kumpulan perintah untuk membina objek mudah dan membaiki objek.

g.      Memahami perintah-perintah ‘cut’ and ‘paste’. Ianya adalah kumpulan perintah yang digunakan untuk menyalin, memotong dan memindahkan objek.

h.  Memahami perintah 'layer' yang digunakan untuk membezakan lapisan apabila terdapat banyak grafik dan teks pada lukisan.

i.   Memahami kaedah untuk membina teks pada lukisan yang telah dibuat.

j.   Memahami kaedah mendimensi lukisan yang telah dibuat.

k.  Menggunakan perintah 'hatch' untuk melorek dan meletakkan corak pada lukisan

l.   Menggunakan perintah 'block' iaitu membentuk grafik, teks dan dimensi sebagai satu entiti

m.  Memahami gabungan proses untuk penghasilan set lukisan dua(2) dimensi.

    Kaedah pengajaran yang digunakan pada masa ini ialah pensyarah akan membekalkan pelajar dengan nota yang bersangkutan dengan topik yang hendak diajar. Kemudian penerangan secara teori akan diberikan oleh pensyarah tentang kaedah lukisan yang hendak digunakan. Seterusnya pensyarah akan menunjukkan secara demonstrasi kaedah tersebut dengan menggunakan komputer. Proses ini akan dilihat oleh pelajar melalui LCD projektor yang terdapat di dalam makmal. Pelajar juga akan dibekalkan dengan contoh-contoh lukisan yang telah di hasilkan oleh pelajar yang lepas berserta dengan gred yang dicapai. Contoh ini akan bertindak sebagai panduan kepada pelajar supaya mereka tidak melakukan kesilapan yang sama.Pelajar seterusnya akan cuba menghasilkan objek yang sama yang telah ditunjukkan kepada mereka sewaktu demonstrasi. Pelajar akan mempelajari langkah kerja yang perlu digunakan dengan kaedah urutan atau jujukan.       

    Kefahaman pelajar terhadap topik yang diajar diuji melalui tugasan, ujian dan projek kecil yang diberikan pada sepanjang semester. Proses penilaian untuk kelas ini akan dijalankan secara formatif dan secara sumatif.  Penilaian formatif ialah penilaian yang dibuat semasa kelas berjalan sepanjang semester.  Penilaian ini melibatkan kuiz dan tugasan yang diberikan kepada pelajar. Kuiz adalah merupakan soalan pendek yang diberikan kepada pelajar sewaktu proses pembelajaran untuk menguji kefahaman pelajar terhadap teori yang telah diberikan. Manakala tugasan adalah merupakan latihan amali yang akan mempraktikkan teori yang telah disampaikan dengan menghasilkan objek berdasarkan teori yang telah dipelajari.Pelajar akan menghantar tugasan yang telah disiapkan melalui disket kepada pensyarah. Manakala penilaian sumatif ialah penilaian yang dibuat untuk melihat kefahaman pelajar terhadap topik yang telah diajar selepas sesuatu proses pembelajaran. Penilaian ini dibuat melalui ujian dan projek kecil yang diberikan kepada pelajar. Ujian akan dijalankan di dalam kelas dan pelajar akan menghantar jawapan mereka melalui disket. Ujian akan diberikan kepada pelajar untuk menguji kefahaman terhadap proses yang terlibat di dalam menghasilkan sesuatu objek. Sebagai contoh sekiranya pelajar ingin diuji terhadap kefahaman mereka di dalam menggunakan perintah ‘block’ maka ujian akan dibuat berdasarkan kefahaman pelajar kepada objek yang perlu menggunakan perintah blok untuk dihasilkan. Bagi menguji urutan kerja yang lebih  komplek, pelajar akan diminta untuk menghasilkan satu projek kecil yang dijalankan secara kumpulan yang melibatkan beberapa kaedah dan proses kerja. Sebagai contoh bagi menguji kefahaman pelajar terhadap proses penghasilan pelan maka pelajar akan diminta untuk menghasilkan satu set lukisan binaan yang melibatkan pelan, butiran tingkap, butiran pintu dan kemasan lantai. Pada akhir projek kecil pelajar akan diminta untuk mempersembahkan projek mereka dalam bentuk helaian kertas ataupun persembahan dengan bantuan komputer.

keatas

 

1.2             KEKUATAN SISTEM SEKARANG

Berdasarkan kepada pendekatan yang ada sekarang kekuatan yang dapat dikenalpasti pada sistem ialah seperti berikut :

a.      Pendekatan tutorial yang digunakan oleh pensyarah telah dapat memudahkan pelajar untuk memahami proses asas penghasilan sesuatu objek secara jujukan.

b.      Teori dan diikuti dengan demonstrasi pendek untuk perintah seperti ‘draw’ dan ‘modify’ telah dapat membantu pelajar untuk mengunakan ingatan jangka pendek dalam melakukan semula perkara yang diajar secara amali.

c.      Contoh-contoh kerja pelajar yang lepas telah dapat membantu pelajar untuk menilai secara sendiri tahap kerja yang perlu dihasilkan bagi sesuatu tugasan yang diberi.

d.      Nota yang diberikan kepada pelajar diawal kuliah telah dapat membantu pelajar untuk menjadikan ianya sebagai panduan semasa menjalankan tugasan secara amali.

e.      Kuiz yang diberikan sewaktu kuliah telah dapat membantu pelajar untuk menguji kefahaman mereka sewaktu kuliah sedang berjalan.

f.        Ujian yang dijalankan setelah sesuatu topik itu diajar akan dapat menilai kefahaman pelajar terhadap sesuatu proses kerja yang telah dipelajari.

g.      Projek kecil yang disediakan pada akhir semester akan melatih pelajar kepada suasana pekerjaan yang sebenar diindustri. Melalui projek ini juga pelajar akan dilatih untuk bekerja secara berkumpulan.

keatas

1.3             KELEMAHAN SISTEM SEKARANG

  Walaubagaimanapun terdapat beberapa kelemahan yang ketara dari sistem sekarang iaitu :

a.      Kekurangan bimbingan dengan kaedah tutorial kepada pelajar secara individu telah menyebabkan pelajar perlu mengambil masa yang agak lama dalam memahami proses sesuatu topik yang diajar dengan lebih berkesan.

b.      Skop maklumat dan keluasan sesuatu topik yang tidak dinyatakan dengan jelas telah menyebabkan pelajar tidak mendapat gambaran awal sejauh mana langkah kerja yang harus mereka ikuti untuk menghasilkan sesuatu objek

c.      Penggunaan ikon yang banyak semasa demonstrasi menyukarkan pelajar untuk memahami proses penghasilan lukisan dan  mengingati proses kerja yang perlu dilalui di dalam menghasilkan sesuatu objek.

d.      Pensyarah yang tidak mencukupi iaitu seorang pensyarah bagi tiga puluh pelajar akan membantutkan perjalanan kelas kerana sekiranya pelajar tidak memahami sesuatu langkah kerja maka mereka tidak dapat untuk meneruskan proses penghasilan lukisan sehinggalah dibantu oleh pensyarah.

e.      Pelajar yang lemah bahasa Inggeris akan memerlukan masa yang lebih lama untuk memahami sesuatu proses kerja kerana mereka perlu melakukan rujukan kepada kamus sewaktu kelas sedang berjalan.

f.        Tidak terdapat rujukan yang mudah bagi pelajar di luar waktu kuliah kerana tutorial online hanya dapat digunakan oleh mereka yang dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik manakala buku manual yang terdapat di luar dijual dengan harga yang mahal. Disamping itu waktu perpustakaan yang terhad juga tidak dapat membantu pelajar di luar waktu kelas.

g.      Kesan audio dan grafik adalah aspek yang penting dalam proses pembelajaran yang melibatkan komputer. Menurut Reindhart (1995) kombinasi deria penglihatan dan pendengaran dalam satu program multimedia mampu meningkatkan kadar ingatan sebanyak 50 peratus. Kurang kesan audio dan grafik sewaktu pembelajaran akan melambatkan kefahaman pelajar ke atas kaedah yang dipelajari terhadap perisian ini.

keatas

 

1.4             PELUANG

1.4.1            Persoalan Kajian

Dari kelemahan sistem yang ada sekarang terdapat beberapa perkara yang perlu difikirkan di dalam mereka bentuk perisian PPBK  iaitu :

a.      Bagaimanakah untuk memastikan pelajar benar-benar faham prinsip asas kordinat Autodesk Computer Aided Design Release 14 (ACAD R14) .

b.      Untuk memudahkan pelajar memahami kandungan  perisian dengan lebih tersusun maka apa yang perlu difikirkan ialah bagaimanakah untuk membina sebuah perisian yang menggunakan ayat-ayat yang ringkas, menjelaskan skop perisian, menentukan sasaran dan memperlihatkan tujuan perisian ini.

c.   Bagaimanakah tajuk yang akan dipelajari dapat disusun secara sistematik dan bagaimanakah untuk mengurangkan pautan apabila hendak mendapatkan maklumat.

d.      Bagi memudahkan penggunaan perisian kursus ini apa yang perlu dilihat ialah bagaimanakah untuk memudahkan penggunaan ikon dan arahan-arahan semasa proses pembelajaran sesuatu topik.

e.      Bagi memastikan pelajar faham dengan topik yang dipelajari maka bagaimanakah perisian kursus ini dapat menyediakan latihan mengikut tahap kesukaran yang sesuai dengan topik yang dipelajari.

f.      Kekurangan tenaga pengajar semasa pelajar menjalankan tugasan akan cuba diatasi di mana perisian kursus ini akan dibina dengan faktor bagaimanakah sistem bantuan atau help dapat disusun semasa latihan agar pelajar boleh dibantu dengan mudah bila berada dalam keadaan yang memerlukan.

g.     Perisian Autodesk Computer Aided Design Release 14 (ACAD R14) yang  sedia ada menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Ianya menyukarkan pelajar untuk menggunakan perisian ini dengan baik. Oleh itu bagaimanakah perisian kursus ini dapat dibina untuk menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam teknik pengajaran dan pembelajaran. Selain dari aspek bahasa, bagaimanakah untuk menggunakan gaya bahasa yang mudah dan tidak terlalu teknikal supaya sesuai dengan kumpulan sasaran yang akan menggunakan perisian kursus ini.

h.      Bagaimanakah untuk membina antaramuka yang sesuai seperti meletakkan konsep ramah pengguna dan  mengurangkan pergerakan semasa berada pada sesuatu skrin paparan. Selain dari itu bagaimanakah warna serta ketebalan huruf yang sesuai dapat digunakan untuk menampakkan kepentingan sesuatu tajuk. Kedua-dua persoalan ini akan membantu menjadikan perisian kursus ini menarik dan mudah difahami.

i.      Bagaimanakah nilai-nilai murni akan dapat dimasukkan ke dalam perisian ini sebagai satu aspek pengajaran dan pembelajaran.

keatas

1.4.2             Matlamat Kajian

Tujuan projek ini ialah untuk membangunkan satu perisian PPBK mengenai kaedah menghasilkan lukisan dua dimensi dengan menggunakan perisian ACAD R14 untuk kegunaan pelajar-pelajar seni bina di politeknik-politeknik Malaysia.

keatas

1.4.3             Objektif Kajian

Bagi mencapai tujuan kajian di atas beberapa strategi-strategi penting akan diambil iaitu :

a.      Menjadikan perisian ini sebagai satu tutor peribadi dalam pengajaran dan pembelajaran perisian Autodesk Computer Aided Design Release 14 (ACAD R14).

b.      Perisian kursus ini akan dapat menunjukkan skop maklumat, objektif tajuk, sasaran pengguna dan tujuan.

c.      Membina perisian ini dengan topik yang diatur dengan sistematik.

d.      Membina perisian yang mudah untuk digunakan.

e.      Membina perisian yang menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dan menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami.

f.        Perisian ini akan bersifat ramah pengguna.

g.      Membina perisian yang akan memasukkan unsur audio dan grafik pada tempat yang sesuai.

h.      Membina perisian yang dapat menerapkan nilai-nilai murni dan pembudayaan tempatan.

keatas

1.5             ANCAMAN

Untuk merealisasikan perisian kursus ini skop kajian akan memberi penumpuan kepada beberapa elemen iaitu :

a.      Menghadkan perisian kursus ini  kepada kaedah lukisan dua dimensi.

b.      Dihadkan kepada penggunaan perisian ACAD R14.

c.      Skop kurikulum yang akan digunakan adalah khusus untuk pelajar seni bina politeknik-politeknik Malaysia.

keatas

 

Rujukan

Crosley, M.N. 1998. The Architect’s Guide to Computer-Aided Design.
  
         U.S.A.

Brodeur, J. 1998. dan Strobel, S. 1988. CAD versus manual drafting.
            http://agro.msun.edu/drafting/html/introto.htm (18 Disember 2000).

Jabatan Pendidikan Teknikal. Kementerian Pendidikan Malaysia. 1995.
            Kurikulum Diploma Seni Bina.

Reindhart, A. 1995. New ways to learn.
            http://www.byte.com/art/9503/sec7/art1.htm  (9 January 2001)


keatas

    

Hosted by www.Geocities.ws

1