PAPER PRESENTED IN SYMPOSIUMS AND CONFERENCES AND PUBLISHED IN JOURNALS 1990-2001



 
 

Ikonografi Motif pada Komponen Ukiran Kayu di Dalam Tokong  Cina

Lim Lee Hock
[email protected]
Ismail Said
[email protected]
Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina
Universiti Teknologi Malaysia, 81300, Sekudai, Johor, Malaysia


Abstract

Wood carving in Chinese temple is a manifestation of a craftsman’s idea into a piece of timber. The manifestation is always in abstraction, symbolizing artistic expression into three types of architectural components, namely, structural, elemental and ornamental. These carved components always incorporate a wide variety of decorative motifs popular in traditional Chinese art, drawn from source rooted in legendary, philosophical, historical and religious tradition. It is interesting to see how the ancient buildings were developed, with their unique timber structures and decorative styles. Its unique designs and decorative techniques are valuable and can be used in modern temple architecture. The oldest Chinese temple in Malaysia is the Cheng Hoon Teng Temple in Malacca. Its history reflects stages of construction and renovation. The significance and notability of the temple lies, not only in its historic importance, but also in its living viability. The article discusses on seven types of  motif that are manifested in the carving of this temple. Among these, the motif of dragon, lotus and ruyi, which bring a symbolic meaning, dominate the whole temple carving. The article also discusses the importance of the wood carving components in Chinese architecture focusing on Cheng Hoon Teng Temple.
 
 

Abstrak

Ukiran kayu pada tokong Cina merupakan manifestasi idea seorang tukang ukir pada kayu. Manifestasi ini selalunya dalam bentuk abstrak yang simbolik kepada tiga jenis komponen senibina iaitu, kerangka, elemen dan hiasan.Komponen yang terukir ini biasanya menggabungkan pelbagai motif hiasan yang popular dalam seni tradisional Cina, diukir dari lagenda, falsafah, sejarah dan agama (Lu, 1999). Adalah menarik untuk melihat bagaimana bangunan lama diperkembangkan dengan kerangka kayu dan gaya perhiasannya yang unik. Rekabentuknya yang istimewa dan teknik perhiasannya adalah bernilai dan dapat digunakan pada bangunam moden.  Tokong Cina yang tertua di Malaysia ialah Tokong Cheng Hoon Teng di Melaka. Sejarah perkembangannya menunjukkan beberapa tahap pembinaan dan pengubahsuaian. Kepentingan tokong ini bukan sahaja dinilai dari segi sejarahnya tetapi juga viabilitinya. Kertaskerja ini menjelaskan tujuh jenis motif yang diterapkan didalam ukiran tokong ini. Antaranya, motif naga, bunga teratai dan ruyi yang membawa maksud simbolik paling menonjol dalam tokong ini.
 
 

1.0 Pengenalan

Tokong merupakan bangunan agama yang penting dalam kehidupan masyarakat Cina. Masyarakat Cina yang datang ke Tanah Melayu pada awal 1800-an turut membawa bersama nilai kepercayaan dan kebudayaan mereka setelah menyeberangi Lautan Cina Selatan. Tanda kesyukuran bagi mereka yang sampai dengan selamatnya ke Tanah Melayu dan juga golongan lain yang berjaya dalam bidang perniagaan setelah menetap di sini telah mendorong mereka untuk mendirikan rumah-rumah ibadat dan tokong.
Tokong Cina banyak dilengkapi dengan komponen berukir termasuk komponen kerangka, elemen dan hiasan. Hasil-hasil seni ukiran ini yang wujud dari melihat elemen alam sekitar adalah ciptaan jiwa yang dijelmai melalui impian yang mencerminkan keadaan harmoni di antara manusia dan alam semulajadi. Ketiga-tiga komponen ini memainkan peranan penting dalam memaparkan ciri-ciri senibina Cina yang tersendiri.
Sesungguhnya, seni ukiran pada komponen bangunan adalah satu kesenian yang perlu dihayati oleh generasi sekarang kerana ianya dapat menunjukkan daya gambaran yang peka dan kreatif serta menunjukkan bakat pengukir Cina yang menghidupkan ukiran dari segi konsep, reka bentuk dan pertukangan. Ia merupakan satu bidang yang harus diwarisi oleh setiap generasi. Maka adalah wajar corak dan motif ukiran pada komponen-komponen Tokong Cheng Hoon Teng dikaji. Kertaskerja ini adalah rumusan dari kajian yang dilakukan oleh pengarang pada tahun 2001. Kajian tersebut  menentukan ikonografi yang merupakan gambaran imej yang artistik dan simbolik pada komponen ukiran senibina tokong Cina. Pembentukan imej ukiran pada kayu seperti naga, jentayu dan singa merupakan simbol yang berasal dari aspek kepercayaan, adat dan sejarah rakyat yang diwarisi turun-temurun. Warisan sejarah dan sastera Cina yang kaya telah membekalkan cerita dan simbol yang menarik untuk diterapkan dalam bentuk ukiran.
 
 

2.0 Latar  Belakang Tokong Cheng Hoon Teng

Tokong Cheng Hoon Teng adalah terletak di Jalan Tokong, Melaka. Nama bagi jalan iaitu Jalan Tokong jelas merujuk kepada kepentingan tokong ini.  Keluasan keseluruhan kompleks Tokong Cheng Hoon Teng adalah lebih kurang 49, 520 kaki persegi. Catatan sejarah menunjukkan bahawa Tokong Cheng Hoon Teng telah dibina secara berperingkat. Tarikh pembinaannya yang paling awal tidak dapat dikesan sehingga hari ini. Adalah dipercayai bahawa tokong ini telah wujud pada tapak sekarang di antara tahun 1625 hingga 1644.
Bangunan Tokong Cheng Hoon Teng yang asal adalah kecil dan saiznya adalah lebih kurang sama dengan sebuah pondok ataupun teng. Tokong ini adalah diasaskan oleh Kapitan Cina yang kedua, iaitu Kapitan Li Wei King. Pembinaan ruang pemujaan yang utama, seperti mana yang wujud pada hari ini adalah dibina oleh Kapitan Chan Ki Lock pada tahun 1704. Ruang ini adalah didedikasikan kepada Kwan Yin ataupun Dewi Belas Kasihan. Semasa pemerintahan Belanda di Melaka iaitu pada tahun 1801, tokong ini telah diperbesarkan lagi oleh Kapitan Chua Su Cheong, yang mana pembinaannya melibatkan dua ruang tambahan tepi yang didedikasikan kepada Tuhan Perang ‘Kuan Kong’ di sebelah kanan dan ‘Mah Chor’ di sebelah kiri. Sejak itu, elemen-elemen perhiasan yang cantik telah diletakkan di tokong ini (Chen,1982).
Tokong Cheng Hoon Teng merupakan tempat perhimpunan untuk upacara agama semenjak awal 1800-an. Tokong ini mementingkan ketiga-tiga ajaran iaitu ajaran agama Buddha dan ajaran kefahaman Tao dan Konfucius. Dari segi sejarah, ia membuktikan bahawa masyarakat Cina telah menetap di sini selama beberapa ratus tahun. Ia  mencerminkan corak dan cara hidup masyarakat Cina pada masa dahulu. Senibinanya yang menggabungkan teknik-teknik pembinaan tradisional yang dibawa dari negeri Cina masih dikekalkan dengan baik. Perancangan rekabentuk Tokong Cheng Hoon Teng adalah mengikut ciri-ciri senibina Cina. Prinsip simetri, orientasi, dan paksi telah diterapkan dalam susunatur ruang. Susun atur tokong secara asasnya merupakan satu siri bangunan yang membuka ke halaman dalam satu paksi.
Struktur  kekuda yang utama bagi Tokong Cheng Hoon Teng dibina dari kayu keras. Tiang utamanya adalah berbentuk segi empat dan dilapik dengan alas batu dalam pelbagai bentuk supaya struktur kayu  tidak mudah rosak akibat dari serangan air. Bumbung tokong ini adalah unik dan mempunyai bentuk yang melengkung dan memanjang dengan perabung Yan-Wei Chi. Motif-motif yang cantik digunakan untuk menghiaskan bahagian rabungnya. Motif-motif ini dihasilkan dengan teknik Chien-Nien iaitu potong dan tampal.
Secara keseluruhan, tokong ini direkabentuk berdasarkan prinsip dan ciri-ciri senibina Cina yang mencantumkan keharmonian dengan alam semulajadi dari segi warna dan penggunaan bahan binaan.


Rajah 1: Keratan bangunan melalui ruang pemujaan utama.
(Dilukis semula dari lukisan asal yang dihasilkan oleh Firma Akitek Lawrence Loh, 2000)
3.0 Ukiran dalam senibina tokong

Seni ukiran kayu dalam senibina tradisional Cina mempunyai nilai penggunaan dan nilai estetik yang tinggi. Ukiran digunakan dalam senibina Cina untuk menambahkan indahnya dengan corak yang terkawal, tidak mengatasi bangunan. Hasil ukiran kayu yang baik bukan sahaja menyerikan ruang bangunan malah dapat menimbulkan ciri-ciri pertukangan yang amat mengkagumkan. Ia menunjukkan kepekaan tukang ukir terhadap simbol alam yang dimanifestasikan kepada bentuk nyata.
Komponen kerangka yang utama dalam senibina Cina ialah penggunaan sistem tou-kungnya. Sistem kerangka tou-kung bukan sahaja mempunyai nilai estetik yang tersendiri, tetapi di negara Cina, ia merupakan kerangka yang tahan gempa bumi. Tou-kung juga merupakan elemen yang ganjil dan kerangka yang komplek. Fungsinya ialah mengalihkan beban dan kerangka yang melintang di atas kerangka yang menegak di bawah. Dinding biasanya tidak berfungsi untuk menanggung beban dari struktur bumbung. Berfungsi sebagai komponen elemen, dinding dan tingkap biasanya mempunyai ukiran lebih halus berbanding dengan komponen kerangka. Komponen perhiasan pada senibina Cina pula terbahagi kepada buah buton, lelanggit dan pendakap hiasan.
Komponen kerangka, elemen dan hiasan memainkan peranan penting dalam menyerikan keseluruhan bangunan dan membawa maksud simbolik yang tertentu mengikut kepercayaan masyarakat Cina. Komponen-komponen ini adalah dikemas dengan ta chi, sejenis cecair organik, untuk tujuan perlindungan dan perhiasan. Bahagian yang penting juga dikemas dengan dedaun emas untuk mendapatkan sifat dan kesan yang bersinar dan berseri-seri.
Kekuda dan tou-kung merupakaan komponen kerangka terukir yang utama di Tokong Cheng Hoon Teng. Sistem kerangka dan kekuda yang digunakan dapat diidentifikasikan sebagai sistem Tai Liang Shi. Sistem kerangka ini merupakan bentuk kerangka kayu tradisional yang diadaptasikan untuk keperluan binaan rentangan yang panjang. Secara amnya, sistem tou-kung diperkenalkan di tokong ini pada dua bahagian iaitu: (a) bahagian atas dinding Pai Lou Mian pada ruang pemujaan utama, dan (b) bahagian kekuda di pavilion sembahan, ruang pemujaan utama dan ruang pemujaan sisi. Sistem kekuda yang berada di atas Pai Lou ini adalah sangat unik dari segi butiran. Elemen kerangka pada sistem ini adalah terdiri daripada enam elemen termasuk gegulung, alang yang memanjang, satu tou yang menyokong tiga braket, dua braket yang melengkung, braket perhiasan tou dan lintel (rujuk Rajah 2).


Rajah 2: Komponen sistem kerangka tou-kung yang bermotifkan naga dan awan.

Dinding pai lou, pintu, bidai dan pemidang merupakan antara komponen elemen yang terukir di Tokong Cheng Hoon Teng. Dinding hadapan dan dinding panel layar dinamakan dinding muka Pai Lou ataupun dinding fasad. Ukiran pada elemen adalah lebih halus kerana ia menjadi tumpuan pandangan apabila seseorang menjejak ke ruang halaman dari pintu gerbang masuk utama. Bidai dan pemidang berfungsi sebagai latar belakang bagi ruang dalaman dewan pemujaan utama. Ia juga mewujudkan ruang bagi meja pemujaan yang didedikasikan kepada Dewi Kwan Yin, Tuhan Perang Kuan Kong dan Dewi Mah Chor. Ketiga-tiga bidai ini berkeadaan simetri tetapi motif-motif yang terukir di atasnya adalah berbeza-beza. Keutamaan ruang ini ditunjukkan dengan bidainya yang lebih halus dari segi butiran berbanding dengan bidai yang ada di ruang pemujaan nenek moyang (Rujuk Rajah 3).
Bumbung Tokong Cheng Hoon Teng disokong oleh berbilang braket perhiasan bermotifkan flora dan fauna. Kebanyakan motif ini membawa maksud simbolik. Antara motif flora yang dipilih termasuk bunga teratai, ruyi, jambu batu, peach dan anggur manakala motif fauna yang dipilih ialah naga, jentayu, dragon-fish dan burung keria. Sebagai komponen hiasan, buah buton yang bermotifkan bunga teratai di ruang pavilion sembahan berfungsi untuk menutup sambungan komponen kerangka. Ukirannya dalam bentuk tiga-dimensi adalah ketara sekali untuk mengagung-agungkan agama Buddha selaras dengan fungsi bangunan iaitu tokong.
 


Rajah 3: Perbandingan motif bagi pemidang yang terdapat di ruang pemujaan nenek moyang (atas) dan ruang pemujaan Kwan Yin.




4.0 Motif Ukiran

Dalam senibina Cina dan seni ukiran khususnya, unsur-unsur dari alam semulajadi dijelmakan pada papan atau bungkah kayu, mempunyai identiti, gaya dan undang-undangnya yang tersendiri. Ukiran-ukiran ini mempunyai motif dengan sifat gerak garis yang cantik, permukaan rupa yang dinamis hasil kemahiran pertukangan yang teliti. Penyesuaian susunan ukiran motif ini menunjukkan penyatuan dan pilihan rupa yang tepat dan peka.
Motif yang digunakan pada ukiran biasanya membawa simbol atau melambangkan sesuatu erti yang baik berdasarkan legenda, falsafah, sejarah dan tradisi. Motif simbolik ini mempunyai pertalian mistik yang terletak pada persamaan di antara perkataan yang ditentukan bagi setiap nama objek. Motif-motif itu dipilih mengikut aspek kepercayaan rohani dan kebudayaan bangsa Cina terhadap senibina dan alam semulajadi.
Motif ukiran kayu dalam senibina Cina secara umumnya dapat dibahagikan kepada tujuh kumpulan iaitu flora, fauna, geometri, kosmos, kaligrafi, peralatan dan watak manusia. Setiap kumpulan motif ini mempunyai erti dan maksud yang tertentu yang telah termaktub dalam pemikiran masyarakat Cina sebagai petanda yang baik. Terdapat juga ukiran yang dihasilkan dengan gabungan motif yang berlainan seperti flora dan fauna berdasarkan kreativiti pengukirnya. Kebanyakan gabungan motif ini dapat membawa makna yang baik dalam ungkapan peribahasa.

· Flora
Motif flora banyak digunakan di Tokong Cheng Hoon Teng pada komponen elemen dan hiasan. Kebanyakan motif yang diukir mempunyai ciri-ciri yang tertentu untuk memberi maksud kepada bangunan dan perabadan Cina. Braket hiasan yang terdapat pada ruang pavilion sembahan adalah terdiri dari ukiran bermotifkan flora termasuk ruyi, bunga teratai, buah jambu batu, buah peach dan anggur. Motif-motif ini mempunyai maksud simbolik yang sendiri.
Penggunaan motif flora yang paling menonjol dalam tokong ini ialah bunga teratai yang melambangkan motif kesucian dalam agama Buddha. Motif ini digunakan pada komponen elemen dan hiasan. Buah buton yang bermotifkan bunga teratai di ruang pavilion sembahan berfungsi untuk menutup sambungan kayu pada bahagian alang. Ia membawa simbol kebersihan dan kesucian. Perkataan teratai adalah sebunyi dengan perkataan berterusan (lian) dalam bahasa Cina. Ia sentiasa digunakan dalam corak tradisional dengan harapan yang baik. Bunga teratai juga sebunyi dengan perkataan he yang melambangkan perkahwinan yang sepadan selama-lamanya (Knapp, 1994).

Rajah 4: motif bungai teratai, bunga kekwa, bunga peony dan ruyi merupakan antara motif flora yang diukir.



Buah jambu batu mempunyai banyak biji bijih. Biji bijih (zi) adalah homonim dengan anak dan cucu. Tangan Buddha ataupun nama saintifik fingered citron dan fu shou dalam bahasa Cina merupakan tumbuhan malar hijau dan berbuah kuning. Fu adalah homonim dengan perkataan kebahagian dalam bahasa Cina. Jadi, ia digunakan untuk melambangkan kebahagian. Pokok peach dan buahnya sentiasa digunakan untuk melambangkan panjang umur. Ia melambangkan keamanan, kebahagian dan kecantikan pemandangan pada musim bunga. Kombinasi ketiga-tiga motif ini melambangkan shan duo, iaitu berlebihan dari segi bilangan anak dan cucu, kebahagian dan panjang umur (Lee, 1994).
 


Rajah 5: Motif jambu batu, tangan Buddha dan buah peach merupakan buah-buahan yang diukir.



· Fauna
Banyak jenis haiwan yang dipilih sebagai motif ukiran pada Tokong Cheng Hoon Teng. Antara motif fauna yang diukir termasuklah burung keria, singa, gajah, burung xi que dan dragon fish. Haiwan mitos yang diukir pula terdiri daripada naga dan jentayu.
Di tokong ini, motif naga, singa dan gajah banyak digunakan pada komponen kerangka. Motif singa dan gajah boleh didapati pada bahagian kekuda. Motif naga pula boleh didapati pada bahagian tou-kung dan berfungsi sebagai pengimbang kepadanya. Motif ini berulang-ulang pada bahagian atas dinding Pai Lou. Selain itu, terdapat juga motif naga yang diabstrakkan dalam bentuk geometri pada komponen elemen seperti bukaan pada dinding Pai Lou yang mengasingkan ruang pemujaan utama dengan ruang pavilion sembahan. Motif naga dalam komponen hiasan pula terdapat pada pintu gerbang masuk dan ruang pemujaan utama.
Motif naga kelihatan mengalu-alukan pelawatnya ke tokong ini pada bukaan membulat di pintu gerbang utama. Di sini, motif naga yang memegang bunga teratai melambangkan keagungan agama Buddha dan menunjukkan fungsi bangunan ini sebagai institusi keagamaan. Teknik penghasilannya secara tebuk terus membenarkan penglihatan ke dalam ruang dalaman tokong walaupun pintu telah ditutup untuk menambahkan perasaan mistik kepada tokong ini (rujuk Rajah 6.a). Motif Guaizi merupakan motif naga yang diringkaskan. Ulangan motif ini bermaksud kebahagiaan yang tidak adalah batasan. Motif ini terdapat pada dinding Pai lou serta pada kerangka kekuda di ruang pavilion sembahan dan ruang pemujaan utama (Rujuk Rajah 6.b).

                   6.a                                                               6.b

Rajah 6: Motif naga merupakan haiwan mitos yang banyak diukir di TCHT.


 


Gajah mempunyai sifat yang kuat dari segi fizikal tetapi lembut dari segi emosi. Di negara Cina, singa menunjukkan tanda pengesahan undang-undang. Dalam agama Buddha pula, singa merupakan binatang yang mengawal dan melindungi tokong dan juga tempat-tempat yang suci. Gajah ataupun xiang adalah homonim dengan alamat bertuah. Terdapat peribahasa Cina yang digunakan semasa menyambut tahun baru untuk mendoakan segala-galanya akan berwajah baru dan segar semula selepas berakhirnya satu tahun. Huruf xiang digunakan dalam peribahasa tersebut.
 

· Geometri
Elemen-elemen geometri digunakan secara berulang-ulang bagi menimbulkan kesan hiasan. Terdapat juga motif geometri yang dihasilkan secara  abstrak daripada corak flora, fauna dan kaligrafi. Motif geometri banyak terdapat pada komponen elemen di tokong ini. Bidai dan pemidang yang terdapat di ruang pemujaan utama mempunyai motif yang sangat halus dan dikemas dengan dedaun emas untuk menyerikan butirannya.
Terdapat juga motif geometri yang digubah berdasarkan motif naga. Motif ini boleh didapati pada braket hiasan. Bentuk-bentuk geometri ini dapat menghasilkan corak yang ringkas bagi menimbulkan kesan hiasan. Fungsinya ialah untuk menyatukan komponen ukiran yang berlainan dari segi hiasan.


Rajah 7: motif-motif geometri pada pemidang


· Kosmos
Motif awan dan ombak merupakan motif yang diilhamkan dari alam semulajadi. Para pengukir telah menggunakan bentuk awan yang tertentu sebagai ilham dan menamakannya awan bertuah ataupun xiang yun. Bentuk awan yang bersambungan membawa erti berkekalan dan berterusan. Motif awan ini adalah sesuai bagi tokong ini sempena dengan nama tokong iaitu Tokong Cheng Hoon Teng bermaksud Tokong Awan Hijau.
Motif yang terdapat di tokong ini tidak wujud secara tunggal. Motif ini telah digabungkan dengan motif yang lain. Motif awan banyak diukir bersama motif naga dan kaligrafi sementara ombak adalah bersama tumbuhan air seperti bunga teratai.

· Kaligrafi
Motif kaligrafi dapat menyampaikan maksudnya secara terus menerus dengan maksud tersuratnya sendiri. Terdapat lapan ungkapan yang terdapat di Tokong Cheng Hoon Teng. Kesemua ukiran ini wujud pada komponen elemen seperti pintu masuk sisi, dinding Pai Lou dan pemidang.


8.a: Feng Tiao Yu Soon                            8.b:  He Jing Ping Ann

Rajah 8: Motif kaligrafi yang diuir pada dinding Pai Lou Mian.


 

Keempat-empat pintu sisi telah dihiaskan dengan motif ukiran yang bertujuan untuk mengagung-agungkan kemuliaan agama Buddha. Motif yang terdapat pada dinding Pai Lou pula bertujuan untuk mendoakan keselamatan. Dua ungkapan yang terdapat pada komponen ini ialah Feng Tiao Yu Soon dan He Jing Ping Ann. Ungkapan Feng Tiao Yu Soon terdiri daripada perkataan Feng yang bermaksud angin dan Yu yang bermaksud hujan. Ungkapan ini bermaksud keadaan cuaca yang yang baik. Dalam masyarakat kuno Cina, kegiatan ekonomi yang utama ialah bidang pertanian. Keadaan cuaca yang baik akan menjamin hasil yang lumayan. Ungkapan He jing Ping Ann pula terdiri daripada perkataan he jing yang bermaksud kesemua ahli keluarga dan ping ann yang bermaksud sihat sejahtera. Ungkapan ini membawa maksud kesemua ahli keluarga berada dalam keadaan sihat sejahtera.

· Peralatan
Alat-alat yang berunsur keagamaan juga banyak digunakan dalam ukiran terutamanya dalam senibina tokong. Alat-alat seperti payung, kanopi, pasu, roda dan ikatan dikatakan sebagai peralatan yang suci dalam agama Buddha. Berus yang digunakan untuk mengebas debu pula dikaitkan dengan ajaran Tao.
Ruyi merupakan motif yang digubah dari sejenis kulat ling zhi yang dipercayai dapat hidup selama-lamanya apabila seseorang menelannya. Motif ini diulang dengan banyaknya pada komponen-komponen ukiran yang terdapat di tokong ini. Motif ini amat diminati kerana bentuknya yang menarik. Pemilihan motif ini adalah dipengaruhi oleh faktor simbolik, homonim dan agama.
Di Tokong Cheng Hoon Teng, motif ruyi diukir bersama rumput yang malar hijau ataupun wan nian qing dapat membentuk ungkapan wan shi ru yi dalam bahasa Cina yang bermaksud segala-galanya adalah berjalan dengan lancar mengikut hasrat hati. Selain itu, ruyi juga dikaitkan dengan agama Buddha. Pada zaman dahulu, ayat-ayat dari kitab ditulis di atasnya semasa upacara penyebaran agama. Selain itu, motif ruyi turut diukir bersama motif naga dalam bentuk abstrak pada braket hiasan di ruang pavilion sembahan dan dinding Pai Lou Mian.

· Watak Manusia
Keunikan motif watak manusia pada tokong ini ialah penggunaannya untuk memikul alang di ruang pavilion sembahan. Terdapat enam pasangan watak manusia iaitu pasangan orang Eropah dalam pakaian pejabat East India Company, pasangan orang Eropah dalam pakaian tentera dan pasangan orang Cina dalam pakaian seluar pendek dan sarung. Selain itu, terdapat juga empat braket hiasan yang bermotifkan watak manusia di ruang pemujaan utama dan ruang pavilion sembahan.


Rajah 9: Motif ukiran watak manusia



5.0 Faktor Pemilihan Motif dalam komponen ukiran

Motif-motif yang terdapat pada komponen-komponen terukir di Tokong Cheng Hoon Teng bukan sahaja dapat menyerikan bangunan tetapi mempunyai maksud yang tersendiri. Kajian mendapati lapan faktor dikenalpasti mempengaruhi pemilihan motifnya termasuk faktor agama, hiasan, bahan binaan, penggunaan fizikal, sejarah, tradisi, homonim dan simbolik.
Faktor agama memainkan peranan dalam menentukan motif-motif yang diukir di Tokong Cheng Hoon Teng. Bunga teratai merupakan ikon yang banyak digunakan sama ada pada komponen kerangka, elemen ataupun hiasan. Dalam agama Buddha, bunga teratai melambangkan bunga yang suci kerana keadaan fizikalnya yang bersih walaupun tumbuh dari air yang kotor. Selain itu, motif gajah juga dianggap sebagai binatang suci dalam agama Buddha. Ukiran arca singa  boleh didapati pada bahagian kerangka.


Rajah 10: motif bunga teratai dan gajah yang merupakan binatang suci dalam agama Buddha turut diukir di TCHT


 


Motif ukiran tradisional pada komponen ukiran adalah berlainan dengan motif yang ada pada seni lukisan. Ia merupakan satu bidang seni yang menggabungkan teknik ukiran dan lukisan, dan memerlukan kemahiran pertukangan yang tinggi. Motif ini mempunyai keunikan dan nilai penggunaannya yang tersendiri. Motif ukiran yang terdapat di Tokong Cheng Hoon Teng mempunyai ciri-ciri yang berlainan dari segi keseimbangan, keunikan dan bentuk. Sesetengah komponen yang terukir ini mempunyai motif yang halus dari segi butirannya manakala ada  komponen yang diukir dengan motif yang mudah. Ukiran-ukiran ini saling melengkapi antara satu sama lain untuk mewujudkan kepingan ukiran yang menarik.
Banyak motif yang dipilih untuk menghiaskan senibina Tokong Cheng Hoon Teng secara keseluruhan. Keindahan dan kecantikan serta sifat-sifat ataupun karektor yang ditonjolkan oleh sesuatu objek itu telah menarik perhatian pengukir untuk diadaptasikan ke dalam ukiran mereka. Motif –motif ini mempunyai pelbagai variasi dan banyak diulang. Kepelbagaian motif ini wujud dalam kesatuan dan mewujudkan suasana dan pandangan penglihatan yang harmoni.
Pemilihan motif pada komponen yang terukir di tokong ini juga disebabkan oleh kesesuaian motif serta komposisi bagi sesebuah ukiran tersebut. Sebagai contoh, motif bunga peony digunakan kerana bentuk bunganya yang besar dan menjadi punca kepada sebuah ukiran yang seterusnya diikuti oleh daun-daun yang sederhana besar dan kecil. Komposisi ini akan menghasilkan sebuah ukiran yang menarik.

Rajah 11:  Motif yang terdapat pada dinding Pai Lou dapat membenarkan pengudaraan dan pencahayaan.


Nilai kualiti ukiran berkait dengan pemilihan spesis kayu. Motif –motif yang dipilih biasanya bergantung kepada bahan binaannya samaada kayu keras ataupun kayu lempong. Selain itu, sifat ketahanan kayu seperti sangat tahan lasak, sederhana tahan lasak dan lempong juga penting dalam menentukan kekuatan serta ketahanan kayu dari beban tanggungan dan serangan serangga perosak. Kayu yang keras diperlukan  untuk komponen kerangka yang berfungsi untuk menanggung beban dan membentuk rangka bangunan. Pengimbang pada bahagian tou-kung, misalnya, diukir dengan motif naga yang ringkas. Kualiti visual tercapai dengan motifnya yang tidak melampau dalam mencapai kestabilan berskala. Pemidang kayu pada ruang pemujaan utama pula diukir dengan motif yang berlubang-lubang bagi membenarkan cahaya menyinari dalam ruang dan mewujudkan suatu pemandangan yang indah selain membantu dalam mempertingkatkan peredaran udara ke dalam bangunan.
Penggunaan fizikal komponen yang terukir juga mempengaruhi motif yang ada padanya. Komponen kerangka mempunyai motif yang lebih kasar berbanding dengan komponen elemen dan hiasan. Terdapat ukiran dalam motif awan dan naga yang berfungsi sebagai pengimbang bagi sistem tou-kung yang terdapat di tokong ini. Bagi bukaan yang terdapat pada dinding Pai Lou Mian, motif ukiran kaligrafi dengan teknik tembuk terus dibenarkan kerana dinding ini tidak berfungsi untuk mengagihkan beban. Ukiran ini berfungsi dalam mengasingkan ruang di samping membenarkan penglihatan menerusinya. Pada masa yang sama, ia membenarkan pengaliran udara serta asap dari colok yang dibakar.
Terdapat motif yang dipilih berdasarkan faktor sejarah. Motif ini diukir dalam bentuk watak manusia yang wujud berpasangan. Watak manusia ini mewakili bangsa berlainan yang mengekalkan tokong ini. Daripada arca tersebut, arca pasangan orang Eropah kelihatan mengalami kesulitan dalam memikul alang tersebut manakala arca pasangan orang Cina berkeadaan sebaliknya.  Kemungkinan ini adalah kerana orang Cina ingin meluahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kuasa penjajah.
Motif peralatan empat bidang kesenian yang tradisional telah diukir pada dinding Pai Lou Mian. Motif ini ialah hap, catur, buku dan lukisan. Motif peralatan ini masing-msing mewakili bidang seni musik, percaturan, pembelajaran dan penulisan. Empat bidang ini melambangkan cara hidup yang harmoni dan tahap pemikiran, ilmu serta intelek yang tinggi. Penggunaan motif ini telah menunjukkan betapa pentingnya empat bidang asas ini perlu dimahiri oleh seseorang.


Lukisan                            Hap


Buku                              Catur

Rajah12 : motif peralatan yang melambangkan empat bidang kesenian


Banyak motif yang dipilih kerana sebutan motif itu sendiri yang sebunyi dengan sesuatu perkataan yang baik maksudnya. Perkataan-perkataan ini kelihatan serupa dengan ejaannya walaupun ia adalah berlainan dalam penggubahan nada suara di dalam sebutan. Antara motif yang dipengaruhi oleh faktor homonim termasuklah: bunga teratai, peony, bunga kekwa, singa, gajah, burung xi que,  pasu bunga dan ruyi. Motif-motif ini diukir secara individu dan gabungan dengan motif yang lain untuk membentuk peribahasa dalam bahasa Cina. Burung egret dengan bunga teratai membentuk ungkapan yi lu lian ke yang bermaksud kejayaan. Motif burung magpie dengan bunga kekwa pula membentuk ungkapan ju jia huan le yang bermaksud kegembiraan bagi seisi keluarga.


Yi Lu Lian Ke                                              Ju Jia Huan Le

Rajah 13: motif yang berdasarkan faktor homonim


Motif fauna seperti singa (shi zi) adalah homonim dengan perkataan Shi dalam bahasa Cina. Peribahasa yang terbentuk daripada perkataan ini termasuklah Shi Shi Ru Yi yang bermaksud segala-galanya adalah berjalan dengan lancar mengikut hasrat hati seseorang. Motif gajah ( da xiang) pula mempunyai perkaitan homonim dengan perkatan Xiang. Perkataan ini adalah sebunyi dengan  zai xiang, iaitu satu jawatan yang tinggi dalam istana. Maka, motif gajah diukir sebagai hasrat pengukirnya untuk memegang jawatan yang tinggi. Selain itu, peribahasa yang terbentuk daripada perkataan xiang termasuklah tai ping you xiang dan wan xiang qen xing yang masing-masing menggambarkan suasana yang tenteram dan harmoni.
Motif-motif simbolik banyak digunakan pada komponen-komponen yang terukir di Tokong Cheng Hoon Teng. Motif-motif ini digunakan sebagai tanda yang baik. Kebanyakan motif ini berasal dari aspek kepercayaan, adat dan sejarah rakyat yang diwarisi turun temurun. Sesetengah motif ini dipilih kerana sifat fizikalnya sendiri. Di Tokong Cheng Hoon Teng, terdapat pasangan arca singa yang berfungsi sebagai asas untuk sistm tou-kung di ruang pemujaan utama. Pasangan arca ini melambangkan keseimbangan masyarakat dan keutuhan institusi kekeluargaan. Arca singa jantan di sebelah  kanan adalah diukir dengan motif duit –duit syiling manakala arca singa betina pula diukir dengan seekor anak singa. Kedua-dua arca ini menunjukkan sistem kekeluargaan masyarakat Cina di mana pihak lelaki bertanggungjawab untuk mencari rezeki di luar manakala pihak wanita diberi  tanggungjawab untuk menguruskan rumah.

Rajah 14: Singa membawa lambang simbolik dalam kepercayaan masyarakat Cina.



6.0 Kesimpulan: Kepentingan Ukiran dalam Tokong Cheng Hoon Teng

Tokong Cheng Hoon Teng dibina secara berperingkat. Sistem kekuda yang ada pada tokong ini jelas menunjukkan bahawa ruang pemujaan yang utama telah mengalami pertukaran. Gaya, bentuk dan pembinaan yang sediada menunjukkan bahawa ianya tidak dibina pada masa yang sama. Dalam setiap tahap perkembangan kompleks tokong ini, kepentingan komponen-komponen ukiran kayu tidak pernah diketepikan.
Sebagai komponen kerangka, elemen dan hiasan, ukiran kayu yang terdapat di tokong ini mempunyai fungsi fizikal masing-masing dalam menyokong struktur bangunan, mengasingkan ruang, mengawal keselamatan dan menambahkan kecantikan bagi keseluruhan senibina tokong. Komponen-komponen ini penting dalam memaparkan ciri-ciri senibina Cina.
Komponen-komponen terukir yang terdapat di Tokong Cheng Hoon Teng dapat menunjukkan turutan ruang dalam tokong ini sendiri dari segi pemilihan motif dan kehalusan kerja pertukangannya. Ruang pemujaan yang utama misalnya mempunyai motif yang lebih kompleks berbanding dengan ruang pemujaan nenek moyang.
Ukiran pada TCHT jelas menunjukkan kesenian tradisional Cina yang unggul. Ukiran kayu ini menerapkan teknik lukisan dan teknik pertukangan yang halus. Corak penyobekan kayu mengikut lorekan pensel yang dilukis oleh tukang ukir. Lebih-lebih lagi, ia memaparkan tahap kemahiran yang tinggi di samping menunjukkan seni pertukangan yang tersendiri dalam sejarah pembangunan senibina tradisional masyarakat Cina di Malaysia.
Seni ukiran merupakan satu seni pertukangan tradisional. Dalam kronologi pembangunan sejarah, motif dalam bentuk objek telah mencatatkan gaya hidup, perkembangan, arah tuju dan identiti sezaman. Pada masa yang sama, ia melambangkan warisan dan khazanah yang tersendiri dan mempunyai potensi dari segi aesthetik, penerokaan dan pembangunan dalam senibina moden.
Ukiran kayu pada TCHT juga menunjukkan nilai estetik yang tinggi. Teknik  yang digunakan untuk mengukir  motif –motif yang dipilih telah melambangkan kemahiran pertukangan yang tinggi dan penghayatan terhadap nilai estetik. Motif ukiran yang mempunyai sifat gerak garis yang cantik dan permukaan rupa yang dinamis merupakan hasil kemahiran pertukangan yang teliti. Ketelitian dan daya fikir tukang ukir inilah telah mewujudkan papan atau bungkah kayu kepada rekabentuk ukiran yang tinggi nilai estatiknya. Ini merupakan khazanah yang penting dari segi nilai sejarah, sains dan ekonomi.
Motif yang dipilih dapat membayangkan tanggapan dan pemikiran masyarakat Cina. Kebanyakan motif yang dipilih mempunyai maksud simbolik yang termaktub dalam pemikiran masyarakat Cina sebagai petanda yang baik dan ucapan yang akan membawa kesejahteraan dan kebahagian. Motif-motif ini mempunyai pelbagai variasi, serta dipengaruhi oleh dunia keagamaan Buddha dan pengajaran Tao. Motif bunga teratai yang melambangkan kesucian banyak digunakan dalam tokong ini.
Ukiran yang terdapat di tokong ini merupakan hasil pemikiran dan keintelektualan para pengukirnya. Ia menunjukkan satu penyampaian dan persembahan nilai-nilai estetik terhadap satu objek, iaitu kepingan ukiran. Motif yang digunakan pada sesuatu keadaan akan mewujudkan satu perasaan untuk memahami istilah kecantikan yang sebenarnya. Kepingan ukiran bagi sesetengah komponen yang bermotifkan naga dan awan dalam bentuk abstrak dan geometri juga menunjukkan tahap kreativiti yang tinggi.
 

7.0 Senarai Istilah

1.    Ruyi  - motif yang dihasilkan daripada sejenis kuman yang
       melambangkan keabadian hidup menurut kepercayaan Cina.
2.    Teng  - pondok kecil
3.    Yan-Wei Chi - perabung yang berbentuk ekor lelayang
4.    Tou-kung  - sistem kerangka yang terdiri daripada kkumpulan
       pendakap dan blok penyangga
5.    Tai chi -           sejenis kemasan organik  yang berbentuk cecair
6.    Tai Liang Shi - sistem alang-rasuk
7.    Pai Lou Mian -  dinding penahan
8.    Dragon-fish - sejenis binatang mitos yang dijelmakan daripada
       ikan kepada naga.
9.    Xi que - burung magpie
10.  Guaizi - motif naga dalam bentuk yang ringkas dan abstrak.
11.  Xiang yun - fenomena awan yang memounyai bentuk yang
      menarik.
12.  Awan hijau - penterjemahan terus daripada Bahasa Cina adalah
      bermaksud awan yang berwarna biru.
 
 

8.0 Rujukan

1. Chen.V.F. (1998) The Encyclopedia of Malaysia: Architecture, Archipelago Press, Kuala Lumpur.

2. Evelyn Lip (1986) Chinese Temples and Deities, Times Books International, Singapura.

3. Hoyt, Sarnia Hayes (1993), Old Malacca, Oxford University Press, New York.

4. Knapp, Ronald G (1990), The Chinese House, Oxford University Press, New York.

5. Kohl, David G (1984), Chinese Architecture in the Straits Settlements and Western Malaya: Temples, Kongsi and Houses, Heinemann Education Books (Asia) Ltd.

6. Lee. Z.D.(1988), Chinese Traditional Auspicious Patterns, Shanghai Popular Science Press, Shanghai

7. Lu. Y.Z. (1999), Mu Gong Diao Ke Ji Shu Yu Chuan Tong Diao Ke Tu Pu, Industri Binaan Cina, Beijing.

8. Mohamad Parip B. Muhammad (1994/95) Peranan Seniukiran Kayu Terhadap Rumah Traditional Melayu Di daerah Hilir Perak), KALAM UTM

9. Syed Amad Jamal (1992), Rupa dan Jiwa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

10. Tang. A. C. (2000), Liu Gen Yu Yi Hen; Wen Hua Gu Ji Yu Hua Ren Yi Shan, Mentor Publishing Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

11. Teo B. K. (2000), Heeren Street in Setting Sun: the Baba's Unique Experience in Cultural  Assimilation, Mentor Publishing Sdn. Bhd., Kuala Lumpur

12. Wolfgang Franke , Chen Tieh Fan (1982) Chinese Epigraphic materials in Malaysia, University of Malaya Press, Kuala Lumpur.
 
 
 
 
 

Ismailsaid2003.All Rights Reserved®
Hosted by www.Geocities.ws

1