Hati
Tenang Jiwa Lapang
Hati atau roh adalah hakikat kejadian manusia, kerana itu ia diberi keupayaan
untuk merasa sanang dan susah. Ia
sangat sensitif terhadap apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasai.
Dari sanalah ia menentukan sikap manusia samada positif atau negatif.
Memang hakikat pencipaan hati oleh Allah SWT adalah suatu yang maha ajaib.
Kelajuan perjalanan hati tidak terhitung dan ruang gerakannya tiada had.
Hati atau roh tidak mati sewaktu jasad lahir manusia mati. Hati berpindah ke alam Barzakh dan seterusnya ke akhirat.
Bagi orang mukmin yang suci hatinya dia dapat melihat di syurga kelak.
Itulah dia hati manusia. Ia juga
disebut roh. Tempatnya ialah di
dalam hati jasmani. Hati rohaniah
ini umpama burung yang bersangkar di dalam hati jasmaniah. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan kerana hati manusia
boleh menerima perintah dan larangan; ia disebut rohul amri.
Manakala hati tidak bersifat demikian, ia disebut rohul hayah.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging.
Jika baik daging itu, baiklah manusia.
Jika jahat daging itu jahatlah manusia.
Ketahuilah, itulah hati.
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Hati boleh baik dan jahat. Rasa
senang apabila ia dipuji. Rasa
menderita apabila di keji. Rasa
riak dan megah apabila mendapat kelebihan dan kejayaan.
Rasa ujub (hairankan diri) apabila mempunyai kemampuan.
Rasa rendah diri (inferiority complex) apabila ia mempunyai kekurangan.
Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa atau ada ilmu atau ada kekayaan
atau ada kekayaan. Rasa tidak
senang (hasad) apabila tengok orang lain lebih.
Rasa dendam apabila orang menganiayainya.
Simpati dengan orang susah. Rasa
keluh kesah apabila dapat susah. Rasa
terhutang budi dan terima kasih pada orang yang menolong.
Rasa gerun apabila berhadapan dengan perkara yang menakutkan.
Rasa jijik apabila berhadapan dengan benda kotor.
Begitulah riak-riak hati yang beralih-alih kepada berbagai-bagai riak rasa
dengan sendirinya, apabila dirangsang oleh faktor-faktor luar.
Perasaan itu akan kemudian akan mempengaruhi sikap lahir manusia.
Kalau rasa hati itu baik, baiklah tindakan manusia.
Dan kalau rasa hati itu jahat maka jahatlah tindakan lahir manusia.
Dengan kebolehan dan kuasa yang penting, hati seolah-olah raja yang bertakhta
didalam diri manusia. Dialah yang menentukan baik buruk manusia.
Akal adalah penasihatnya. Anggota-anggota
lahir adalah rakyat jelatanya yang taat kepada arahannya.
Nafsu dan syaitan adalah musuhnya. Demikian struktur kerja yang berlaku dalam diri manusia.
Kita mesti memahami dan beri perhatian penting pada persoalan ini, kerana baik
jahatnya kita bergantung pada hati serta pengurusan kita dalam hati.
Siapa mengabaikan urusan hati, ertinya membiarkan dirinya berjalan dalam
gelap. Nasibnya belum tentu selamat
dunia dan akhirat.
Hati boleh dididik. Lihat apa kata
Allah tentang hati.
Firman
Allah:
Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya.
(Asy - Syams: 9)
Sesungguhnya
beruntunglah orang yang membersih diri (dengan beriman ).
Dan dia ingat nama tuhannya lalu dia sembahyang.
(Al - A’la: 14 - 15)
Pada hari itu, tidak berguna lagi harta anak-anak. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah membawa hati yang
selamat.
(Asy - Syuara: 88-89)
Allah memerintahkan kita agar mendidik hati hingga hati itu menjadi hati yang
selamat. Yakni hati yang bersih
daripada sifat-sifat yang jahat (mazmumah).
Cara-cara pendidikan hati terdapat dalam ilmu tasawuf. Tajuk ini tidak
bermaksud menerangkan cara mendidik hati. Ia
bermaksud menceritakan wajah hati yang sudah dididik, yang sudah bersih dan
selamat. Yakni hati yang ada pada
para mukmin. Antara sifat-sifat
hati mukmin ialah:
1. Sensitif dengan Tuhan.
Hatinya akan gerun dan gentar apabila teringat tuhan.
Terasa betapa besarnya kekuasaan Allah yang boleh buat apa sahaja
terhadap dirinya. Betapa lemahnya
dia kerana tiada upaya menolak sebarang takdir Allah.
Ini berdasarkan firman Allah:
Apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan
menjungkirbalikkan bumi bersama kamu sehingga dengan tiba-tiba bumi itu
bergoncang?
(Al Mulk: 16)
Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan
mengirimkan badai yang berbatu. Maka
kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatanku?
(Al Mulk: 17)
Katakanlah, “Terangkanlah kepada Ku jika sumber air kamu menjadi kering maka
siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir di bumi.”
(Al Mulk: 30)
Dengan menghayati persoalan-persoalan ini hati mukmin menjadi gerun dan gentar
apabila mengingati Allah: Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang
apabila disebut Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan
ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (keranaNya) dan kepada Tuhanlah mereka
bertawakal.
(Al - Anfal: 2)
2. Orang mukmin apabila mendapat
nikmat kejayaan dan kelapangan hidup matinya terasa syukur kepada Allah, kerana
dirasanya semua itu adalah pemberian Allah, bukan hasil usahanya.
Hatinya rasa terhutang budi dan malu pada Allah, sebab Allah
menghadiahkannya nikmat itu walaupun dirinya banyak dosa dengan Allah dan tidak
memberi apa-apa bakti pada Allah. Bimbang
sekali hatinya kalau-kalau nikmat itu disalah gunakannya.
Kalau-kalau tidak dapat diterima sebagimana di perintahkan. Al hasil, dengan hati yang begitu orang itu akan menambahkan
amal baktinya kepada Allah SWT. Itu
tanda syukur dan untuk membalas kurniaan Allah.
Firman Allah :
Jika
kamu bersyukur ke atas nikmat Aku akan Ku tambah nikmat itu.
(Ibrahim: 7)
3. Jika terbuat dosa, sekalipun
dosa kecil apalagi kalau dosa besar hati mukmin gelisah, takut dan hilang
ketenangan. Rasa menyesalnya bukan
kepalang. Sebab dia rasa bersalah
dengan Allah.apa kata Allah dan apa hukumannya yang Allah akan beri?
Itu yang ditakuti. Bersungguh-sungguhlah ia meminta ampun.
Hatinya menangis hingga kadang-kadang matanya turut menangis sedaya upaya dia
mahu dosanya diampuni, sebab dia tahu dosa yang tidak diampuni dunia, nerakalah
padahnya.
4. Hati Mukmin sentiasa hudhur
dengan Allah, yakni merasa sentiasa diawasi oleh Allah. Allah melihat dirinya mendengar padanya, dan mengetahui
segala isi hatinya ertinya dia benar-benar berada dalam pehatian dan kekuasaan
Allah yang maha besar.
Firman
Allah:
Sesunggunya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.
Apakah manusia itu menyangka bahawa sekali-kali tiada seorang pun
berkuasa atasnya? Dia mengatakan “Aku telah menghabiskan harta yang banyak.
Apakah dia menyangka bahawa tiada seorang pun yang melihatnya.
(Al-Balad: 4 – 7)
Kerana itu orang mukmin sangat menjaga hukum atau perintah Allah.
Takut untuk melanggar kata Allah yakni takut dimurkai oleh Allah.
Oleh kerana sangat menjaga perintah Allah maka walau berhadapan
dengan keinginan hawa nafsu yang memuncak namun kalau perkara itu ditegah oleh
Allah maka ia akan menghindarinya. Allah
berfirman:
Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri
daripada keinginan hawa nafsunya maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.
(An Naazi’at: 40 – 41)
Firman Allah lagi:
Apabila mereka lalu ditempat yang melalaikan mereka lalu dengan cara terhormat.
(Al-Furqan : 72)
5. Hati mukmin sangat Tawaduk
dan Khuduk kepada Allah. Yakni
sangat merendah diri pada Allah kerana dia sedar dirinya adalah ciptaan Allah.
Asalnya dari setitis air mani yang hina.
Terlalu lemah tiada kuasa apa-apa kalau bukan dengan kehendak
allah.Setiap detik ia memerlukan bantuan Allah untuk meneruskan hidupnya.
Firman
Allah:
Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari setitis air mani yang becampur
yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu kami
jadikan dia mendengar dan melihat.
(Al Insaan :2)
Sebab itu hati mukmin sangat membesarkan Allah dalam setiap tindak tanduknya.
Tidaklah ia menyombongkan diri walau dengan sesama manusia.
Ia berjalan di bumi denagn rendah hati dan tenang.
Firman Allah : Hamba Allah (Ar-Rahman) itu ialah mereka yang bejalan dimuka bumi
dengan tenang.
(Al-Furqan : 63)
6. Kalau diuji oleh Allah hati
mukmin sabar dan redha. Bahkan
dengan tenang dengan ujian. Ia
bersangka baik dengan Allah bahawa ujian adalah untuk penghapusan dosa atau
peningkatan darjat oleh Allah. Tidaklah
orang mukmin itu mengeluh dan mengadu-ngadu serta marah-marah terhadap ujian
yang datang
samada difitnah, ditohmah, disakiti, ditimpa bencana alam atau apa juga pun.
Ia sedar itu semua daripada Allah dan Allah bermaksud baik dengan ujian
itu. Maka ia hanya mengadu dan
mengharap pada Allah sahaja. Firman
Allah: Apakah manusia mengira ia akan dibiarkan begitu saja mengatakan
kami telah beriman sedang mereka belum diuji.
(Al-Ankabut : 2)
Dengan itu hati mukmin apabila diuji akan bertambah keimanannya.
7. Hati Mukmin sentiasa
terkenang-kenang zat Allah maklumlah setiap detik rasanya ia menerima nikmat
daripada Allah: Ilmu, harta, anak isteri, udara, air, makanan, bumi,
langit, matahari, dan segala-galanya. Ia
lemas dengan nikmat yang tidak terhitung. Cinta dan rindunya tertumpah pada zat yang maha baik lagi
maha mulia itu. Allah menceritakan
tentang hati mukmin: iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah pada waktu
berdiri, duduk dan sambil berbaring.
(Al - Imran : 191)
Itulah di antara ciri-ciri hati orang mukmin.
Dan itulah dia yang mencetuskan akhlak-akhlak yang baik dengan Allah dan
dengan manusia. Hal ini tidak
berlaku pada orang kafir dan munafik. Hati
yang seumpama inilah yang membawa keikhlasan, kejujuran, kasih sayang dan
harmoni serta yang membuahkan keamanan, kedamaian dan kebahagiaan kepada
masyarakat.
Begitulah peranan hati orang mukmin didalam pembentukan kehidupan masyarakat,
yang tidak wujud hari ini. Hati
yang sempurna itulah yang hendak kita perjuangkan agar ia wujud.
Moga-moga Allah memberi hidayah dan taufik kepada kita semua.
Sekian. Wassalam