|
Home
Agenda
I.M.I.M
OP List
Gallery
Comments
Mengenai Islam
Lucu
Debat
Ucapan
berita IM
Aktiviti
Tahukah Anda
Berita Dunia
Links
|
Tahukah Anda 
- Nahas udara terburuk di dunia setakat ini (31 Disember 2002) adalah perlanggaran antara dua pesawat jumbo Boeing 747 di Tenerife, Kepulauan Canary, pada 27 Mac 1977, dalam kabus tebal. Seramai 582 orang terkorban.
Kedua-dua pesawat itu masing-masing dimiliki oleh Pan Am dan syarikat Belanda, KLM. Disebabkan jarak penglihatan yang buruk disebabkan kabus itu, dan juga trafik di darat yang sibuk kerana menunggu kebenaran untuk berlepas, pesawat KLM itu telah berlepas dari hujung satu-satunya landasan yang sedang digunakan, sementara pada masa yang sama jet Pan Am itu masih berada di atas landasan, tidak jauh di depan, cuba untuk keluar ke laluan sisi. Meskipun anak kapal kedua-dua pesawat menyedari bahaya yang mendatang, tiada yang dapat dilakukan untuk mengelak tragedi.
.
- Monopoli penghasilan dan perdagangan sutera oleh kerajaan purba China ditamatkan pada abad ke-6 apabila telur ulat sutera dan biji pokok mulberry diseludup keluar ke Eropah oleh paderi-paderi yang menyembunyikannya di dalam tongkat mereka untuk mengelakkan para pemeriksa.
Keanggunan sutera telah sekian lama menjadi misteri buat dunia Barat hinggakan Maharaja Justinian dari Byzantine mengerahkan dua orang paderi ke negara China dengan tujuan untuk mengupas rahsia penghasilan sutera. Pada ketika itu, pembuatan sutera dikawal ketat oleh kerajaan, hinggakan setiap pedagang dan pengembara yang keluar dari China diperiksa dengan teliti supaya rahsia itu tidak terbongkar.
Sehingga ke hari ini sutera adalah fabrik terhasil dari bahan semula jadi paling mahal dan paling tinggi permintaannya. Ulat sutera yang diberi makan daun mulberry akan menganyam kepompong menggunakan hanya seutas benang sutera sebagai persediaan untuk metamorfosis menjadi kupu-kupu.
..
- Industri kapal udara (airship) mungkin satu-satunya industri yang pupus di zaman moden ini disebabkan kemalangan, biarpun hanya dua kecelakaan telah berlaku - R101 milik British (1930), diikuti Hindenburg milik Jerman tujuh tahun berikutnya, yang mencatatkan angka korban terkumpul kurang dari 100 orang. .
- Pada bulan Mei 2001, seorang jurutera marin yang sedang menjalankan kajian sonar di perairan luar pesisir Cuba telah menemui apa yang kelihatan seperti peninggalan sebuah kota purba, 2000 kaki di bawah paras laut. Mampukah penemuan ini memecahkan misteri berkaitan Atlantis? Kajian masih sedang dijalankan secara tertutup dan di bawah kawalan ketat.
Sebelum ini, penemuan struktur ganjil di luar pesisir Kepulauan Bimini turut menggemparkan dunia dan mencetuskan semula kehangatan lagenda Atlantis. Struktur itu kelihatan seperti susunan batu yang membentuk satu tembok panjang (lihat gambar di sebelah kanan). Walau bagaimanapun, ramai pakar geologi mengatakan struktur itu boleh terbentuk melalui proses semula jadi yang jarang-jarang berlaku. Namun, spekulasi masih berterusan.
.
- Pada 8 Julai 2003, kembar bercantum Iran yang terkenal, Ladan dan Laleh Bijani, meninggal dunia ketika pembedahan untuk memisahkan mereka. Mereka adalah kembar bercantum pertama cuba dipisahkan ketika dewasa.
Ladan dan Laleh sanggup mengambil risiko yang sangat besar demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik bagi mereka berdua. Bercantum di bahagian kepala dan berkongsi satu salur darah utama, pembedahan untuk memisahkan mereka sangat berbahaya oleh kerana mereka sudah mencapai usia dewasa dan tempat mereka bercantum itu. Pakar perubatan di Hospital Raffles, Singapura (tempat mereka dibedah) telah menyatakan risiko salah seorang mahupun kedua-dua mereka tidak dapat diselamatkan.
Walau bagaimanapun, mungkin mereka akan sentiasa dikenang sebagai insan-insan kembar bercantum yang memilih untuk memberanikan diri menghadapi risiko.
.
- Malaysia memiliki dua "hari lahir" - 31 Ogos 1957 iaitu apabila Tanah Melayu (Malaya) mengisytiharkan kemerdekaan daripada British, dan 16 September 1963 iaitu apabila Persekutuan Malaysia dibentuk.
Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan setelah beberapa siri perundingan di antara kerajaan British dan pemimpin tempatan diketuai Tunku Abdul Rahman (yang seterusnya menjadi Perdana Menteri pertama serta dianggap sebagai Bapa Kemerdekaan), melibatkan kesemua negeri di Semenanjung Tanah Melayu kecuali Singapura.
Persekutuan Malaysia pula terbentuk berikutan penyertaan dua negeri di Pulau Borneo iaitu Sabah dan Sarawak, serta Singapura (Brunei yang turut dianjurkan memasuki persekutuan itu membatalkan hasratnya). Pada tahun 1965, Singapura dikeluarkan dari Malaysia berikutan ketegangan akibat percanggahan pendirian para pemimpin, lalu terbentuklah negara Singapura yang berasingan.
.
|