Melayu terus ketinggalan jika ketepikan pendidikan


MUAR: Ibu bapa perlu meningkatkan kesedaran anak masing-masing mengenai kepentingan pendidikan bagi memastikan generasi muda Melayu mampu bersaing dengan kaum lain yang lebih maju dalam pengetahuan dan kerjaya.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong, Datuk Dr Haris Salleh, berkata negara menuju ke arah maju pada 2020 serta memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam semua bidang.


Katanya, tanpa pendidikan, latihan dan kemahiran boleh menyebabkan generasi muda Melayu tidak dapat mengejar kejayaan dan ketinggalan menikmati pembangunan arus perdana.

"Kerajaan menyediakan pelbagai peluang pendidikan termasuk kemudahan asas dan logistik selain bangunan pusat pendidikan yang lengkap dengan pelbagai peralatan canggih dan moden.


"Ini semua bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pelajaran dan menimba ilmu mengikut sistem pendidikan yang disediakan," katanya pada pelancaran Program Interaktif Melalui Internet (Portal Score A), Parlimen Bakri, di sini, kelmarin.

Majlis anjuran bersama Gerakan Belia 4B Malaysia (Belia 4B) Parlimen Bakri, Pejabat Pelajaran Daerah dan Syarikat Score A, Kenshido International Sdn Bhd (KISB), diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Jeram, Bakri.


Hadir sama Timbalan Pengerusi Belia 4B Parlimen Bakri, Mohd Hatta Md Noor, Pengerusi Biro Gerak Ilmu Belia 4B negeri, Abdul Rezam Mohd Akhir, Pengurus KISB, Romeyzee Zainuddin dan guru besar SK Simpang Jeram, Asidah Talib.


Dr Haris berkata, program interaktif melalui internet memudahkan pelajar menghadapi peperiksaan secara efektif dan mendapat A dalam semua mata pelajaran.


"Melalui program itu juga dapat memberi kefahaman lebih meluas kepada pelajar sekali gus mengurangkan kebimbangan untuk menghadapi peperiksaan.


"Maklumat yang diperoleh melalui internet juga dapat menambah keyakinan pelajar menjawab soalan peperiksaan dengan betul serta menjamin memperoleh keputusan A dalam semua subjek." katanya.


Kira-kira 200 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Sekolah Menengah (PMR) dalam kawasan Parlimen Bakri menyertai program berkenaan.


Mereka adalah murid darjah enam dan pelajar tahun tiga membabitkan empat sekolah menengah kebangsaan (SMK) dalam kawasan Parlimen berkenaan.


Sempena program itu, setiap pelajar menerima kad pintar bernilai RM200 tiap seorang sumbangan Belia 4B Parlimen Bakri.


Oleh Jamaludin Husin

Sumber : Berita Harian Selasa 16 Mei, 2006

 

Hosted by www.Geocities.ws

1