Message from Y.B. Dato’ Aziz Shamsuddin,
Deputy Education Minister
Ucapan Timbalan Menteri Pendidikan,
di Pelancaran Perasmian Portal Pendidikan Interaktif
SCORE A PROGRAMME™pada 25 Ogos 2002
Syabas kepada Edu-2U Portal
Sdn.Bhd atas usaha mereka kerana mampu menganjurkan program ini dengan jayanya.
Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium
utama kepada agenda globalisasi. Pengaruh globalisasi menjangkau ekonomi,
teknologi, bahasa, budaya, ideology, pendidikan dan dari segenap aspek kehidupan
masyarakat. Perubahan teknologi terutamanya perkembangan pesat yang berlaku
dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) telah mengubah cara kita berfikir
dan berkomunikasi.
Generasi muda harus mempunyai ilmu dan kemahiran dalam
teknologi ini. Disinilah rasionalnya kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan
Malaysia
bertindak merealisasikan matlamat ini dalam pendidikan bermula dari peringkat
sekolah rendah ke peringkat pengajian tinggi. Anjakan paradigma harus berlaku
kerana masa tidak menunggu kita lagi. Warga pelajar harus disediakan untuk
menguasai dan menerokai medium teknologi maklumat dan perkembangan ilmu
pengetahuan untuk memampukan mereka mampu bersaing dalam dunia global. Gelombang
baru yang berlaku dalam pendidikan dengan menggunakan teknologi maklumat wajib
diterima.
Keprihatinan kerajaan dalam isu ini di kalangan generasi
muda sepatutnya disahut oleh semua pihak bagi memastikan kemampuan kita bersaing
menguasai maklumat serba canggih. Perjuangan bangsa bukan sahaja terletak diatas
bahu kita tetapi kita harus berganding bahu dengan generasi sekarang. Disini
jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam merealisasikan cita-cita murni ini.
Bertitik tolak dari inilah usaha Edu-2U Portal Sdn.Bhd.
harus dipuji. Inisiatif syarikat ini harus dilanjutkan ke seluruh negara.
Badan-badan kerajaan dan swasta sepatutnya mengambil tanggungjawab dan bertindak
untuk memastikan usaha ini direalisasikan.
Saya telah dimaklumkan juga bahawa syarikat Edu-2U
Portal Sdn.Bhd., merupakan syarikat perintis menghasilkan program yang
komprehensif untuk pelajar. Lebih membanggakan modul pembelajaran yang
disediakan bersifat interaktif dan dwibahasa. Kejayaan inovatif ini mampu
mengubah persepsi masyarakat terhadap kemampuan pelajar dalam menguasai
Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
Usaha untuk melahirkan portal pendidikan interaktif
Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris ini amat saya kagumi. Teknologi
berubah menuntut semua perubahan termasuk cara kita belajar. Saya yakin jika
program ini dimanfaatkan dengan baik ia dapat menbantu pelajar kita dalam
penguasaan bahasa, ilmu matematik dan sains.
Syabas sekali lagi kepada Edu-2U Portal Sdn.Bhd yang
menunjukan keprihatinan mereka untuk menyahut gelombang baru dalam dunia
pendidikan. Portal pendidikan interaktif ini mampu melahirkan masyarakat celik
IT yang bermula dari peringkat kanak-kanak seiring dengan berpatah Melayu “
Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya”
Dengan kata kata itu, maka saya dengan besar hati
merasmikan Pelancaran Portal Pendidikan Interaktif Matematik dan Sains dalam
Bahasa Inggeris.
Y.B. Dato’ Abdul Aziz Shamsuddin
Timbalan Menteri Pendidikan
________________________________________